Epilog Cinta Kau & Aku (1 & 2)


1.

“Tati!”

Laungan seseorang dari jauh menyentakkan lamunan Izzati. Pandangannya jatuh ke arah sahabat baiknya merangkap minah kepoh itu. Kelihatan laju sungguh kawannya itu mengayuh basikal. 

“Weh, aku ada gosip girl ni” Kepoh sungguh nadanya. Tak menyempat-nyempat turun dari basikal tua itu.

Izzati pun apa lagi, kepoh samalah jawabnya. Okey, bukan kawannya saja yang kaki kepoh. Dia pun kaki kepoh juga!

“Kelas kau Jah oii, gosip apa weh? Tak sabar ni”

“Ni, kau ingat tak mamat sweet talker tu?”, soal Mia sudah melabuh punggung di sebelahnya.

“Mamat yang cakap lembut gigi dari lidah lembu tu?” Membuntang mata Izzati inginkan kepastian.

“Hah la. Mamat mana lagi Tati oii” Panjang benar ‘oii’ yang keluar dari mulut Mia.

Izzati membuat muka menyampah. “Tak payah nak gosip pasal dia sangat. Aku ni kan, tak boleh dengar langsung nama dia. Bajet hot sangat” Peristiwa lama seakan-akan bagai diulang tayang semula.

Mia mencuit bahu sahabat baiknya. “Laa, takkan pasal kes rampas-merampas tu kau nak berdendam lagi?”

Izzati mendengus kecil. “Aku bukan kisah sangat pasal rampas-merampas tu. Aku terkilanlah. Sebab…”

“Sebab kau memang minat dia kan?”, potong Mia laju.

“Mana ada aku suka dia. Kau tau kan, aku lagi seminggu nak bertunang. Tak ada masa aku nak fikir pasal mamat tu dah”

Argh, tak perlu lagi dia nak ceritakan hal yang lepas. Nasi pun dah jadi bubur. Untuk apa lagi dia kenangkan. Tapi, sebaris nama tu, dia tak akan lupa. Sampai mati!

“Weh, kau menungkan apa?”

Terpinga-pinga Izzati dibuatnya. Ya Allah, suara kawannya tu, kalau boleh nak pecah gegendang telinganya. Bingit!

“Kau datang ni, abang kau tahu tak?” Izzati menukar topik perbualan. Rimas jika bergosip tentang si mamat sweet talker.

Mia mencebik. “Aku dah besarlah Tati. Abang aku tu asyik nak kongkong aku je. Rimas tau tak. Aku rasa macam nak ikut kau kerja kat KL. Boleh tak?”

Mati Izzati menjeling tajam. Kelihatan Mia tersengih-sengih seperti kerang busuk. Menyampah pula dia melihat. Sepak kang baru tahu. Desis hati kecilnya.

“Warung nasi lemak tu macam mana? Kata nak majukan perniagaan arwah mak kau”

Keluhan kecil tercetus juga di bibir Mia. “Macam mana aku nak kembangkan. Abang Din tu asyik minta duit je. Kerjanya tak mahu. Akulah yang dikerahnya. Penat Tati. Kadang-kadang aku rasa sedih. SPM dapat bagus pun tak guna. Kat kampung juga aku ni. Lainlah kau” Suaranya bertukar sayu, kepalanya ditunduk sambil meramas jari-jemarinya. Tanpa ditahan, setitis air jernih jatuh terkena tangan kanannya.

Terus tangan sahabat baiknya dicapai. “Ala, kau jangan sedih-sedih. Aku faham apa yang kau rasa” Tubuh langsing Mia di peluk erat. Bahu Mia diusap-usap lembut.

“Dulu Abang Din tak macam tu. Sejak dia bercampur dengan budak-budak tak ada masa depan tu, terus jadi macam ni. Aku risau kalau dia terjebak dengan dadah ke, judi ke..”

“Syhh, jangan cakap benda yang buka-bukan”, cantas Izzati. “Kau kena yakin dengan Abang Din. Mungkin dia bergaul je. Tak semesti dia buat kerja-kerja macam tu”, sambung Izzati cuba menenangkan Mia.

“Aku pun harap macam tu la” Mia meleraikan pelukan. Wajah Izzati dipandang lama.

“Kenapa kau tengok aku macam tu. Weh, aku normal tau. Tak minat kaum sejenis ni” Muka Izzati sudah tegang merah.

Mia ketawa lucu. “Teruklah kau ni. Sampai ke situ kau fikir. Otak kotor”, ejek Mia menolak kepala Izzati.

Terpinga-pinga Izzati menepis tangan Mia. “Apa ni, main-main kepala pula”, marah Izzati terus-terusan menolak tangan Mia yang cuba menolak kepalanya lagi.

“Okey, okey. Aku mengalah. Lawaklah kau ni” Sisa tawa Mia masih lagi kedengaran.

Mulut Izzati sudah mencebik geram. “Apa yang lawaknya. Teruklah kau ni” Tangan Izzati cuba mencubit peha Mia. Namun, pantas juga dihalang oleh Mia.

“Dah la. Penatlah nak berperang dengan kau”

“Tahu pun”, balas Izzati mendengus kecil.

“Tati, kau dah bersedia ke nak bertunang?”

Izzati terdiam. Lambat-lambat dia mengangguk. “Dah itu pilihan yang aku ada”

“Kenapa kau macam tak ceria je bila cakap pasal hal ni?”

laju Izzati menggeleng kepalanya. “Aku dah bersedia. Kau jangan risau”, jawab Izzati pura-pura menceriakan suara.

Bersedia? Terima pinangan pun bersebab. Untuk jatuh cinta mungkin tiada masalah baginya. Tapi, macam mana kalau…

“Weh, termenung pula dia” Bahu Izzati ditampar Mia.

Hanya senyuman yang terukir untuk menutup lamunannya. Wajah Mia dipandang lama. Lantas tangan Mia dipegangnya.

“Kau sahabat aku dunia akhirat” Serentak ayat yang meluncur keluar oleh kedua-dua sahabat itu. Tawa besar meletus di mulut masing-masing.

*****
“Sejauh mana pun kau berlari, setiap dendam aku, kau akan ingat. Sampai mati!”

“Astagfirullahaladzim…” Istighfar panjang dia ketika ini.

Wajahnya diraup berkali-kali. Walaupun bilik tidurnya berhawa dingin, namun peluh tetap membasahi leher dan dahinya.

Pandangannya jatuh ke ruangan bilik. Kosong. Ya, jiwanya kosong.

“Ya Allah, dah bertahun aku hidup dalam penyesalan. Macam mana aku nak tebus semua kesalahan aku?”, desisnya seolah-olah bercakap dengan seseorang.

Saiful terus bangun dari katil. Ada sesuatu dia perlu lakukan untuk menenteramkan hatinya ketika ini. Laju langkah kakinya menuju ke bilik air. Lama dia termenung di cermin.

“Kau terlalu ego!” Lantang suaranya bagaikan memarahi diri sendiri di dalam cermin itu.

Matanya mula digenangi air jernih. Lantas, seluruh wajahnya sudah lencun dengan air mata. Teresak-esak dia menangis. Lagaknya seperti anak kecil yang sedang menangis.

“Aku minta maaf…” Sudah saban hari dia menutur kata maaf. Jiwanya makin terseksa tatkala kenangan dahulu menghantui dirinya.


2.

Rumah papan dua tingkat itu kelihatan sunyi. Mana tidaknya, bukan hari minggu pun. Semua orang dah mula bekerja. Cuma dia saja yang bercuti. Izzati mengeluh kecil. Lambat-lambat kakinya melangkah ke arah dapur. Bunyi masakan yang ditumis sudah dapat mengagak siapa gerangan yang berada di dapur.

Izzati mengambil tempat duduk di meja makan. Lambat-lambat dia bersuara, “Che Nab, Zati nak bincang sikit boleh?”

Che Nab yang sedang sibuk mengacau bahan tumisan, sesekali megerling ke arah anak saudaranya. “Hal apa Zati?”, soal Che Nab tetap fokus pada masakannya.

“Kalau Zati tak balik masa bertunang nanti boleh tak?”

Che Nab tetap tenang mendengar. Pantas tangannya mencapai bekas garam, gula untuk dimasukkan ke dalam masakan.

“Kamu dah bincang ke dengan dia?”

“Belum lagi Che Nab”, balas Izzati bagaikan nak tak nak saja suaranya keluar.

Che Nab menutup api dapur. Sebaik tangannya dibasuh dan dilap, dia mengambil tempat di sebelah Izzati.

“Yang kamu tengok bihun tu kenapa? Nak makan ke tak?”

Che Nab mencedok bihun goreng ke dalam mangkuk bersih.

“Amboi, banyaknya Che Nab makan?” Membuntang mata Izzati melihat.

“Che Nab tak sempat makan tadi. Sibuk betul Pak Mail kamu tu pagi tadi”, balas Che Nab membuatkan wajah Izzati berubah mendung.

Bihun goreng tidak dijamahnya. Entah kenapa dia tiada mood sebaik saja nama Pak Mail disebut.

“Kamu terasa hati dengan Pak Mail ke?”

Izzati mengangguk lemah. “Hal tu kan dah lama. Takkan Pak Mail tak faham? Bukan Zati nak benda tu terjadi”, balas Izzati cuba membela diri.
“Dah la Zati. Jangan kisahkan sangat Pak Mail kamu tu. Lama-lama nanti, hilanglah marahnya tu. Kamu pun dah nak bertunang kan..”

“Hah, elok sangatlah tu. Jangan nanti nama aku busuk lagi. Cukuplah sekali dia dah malukan aku”, cantas Pak Mail yang tetiba muncul di ruang dapur.

Liur Izzati ditelan berkali-kali. “Zati dah nak balik KL ni Che Nab. Zati nak kemas barang kejap”, tukas Izzati sudah panas punggung. Dia terus bangun dan meninggalkan meja makan.

“Eh, bihun kamu tu..”

“Biarkan dia. Makin besar kepala dah sekarang ni”, potong Pak Mail lantang bersuara.

Jantung Izzati makin berdegup kencang sewaktu melintasi Pak Mail. “Tumpang lalu Pak Mail”, mohon Izzati menundukkan wajahnya. Gerun juga menatap wajah bapa saudaranya.

Sebaik saja kakinya mencecah kamar tidur, pintu terus ditutup. Dengan lega dia menghela nafas panjang.

“Sampai bila nak marah aku? Bukan salah aku pun”, rungut Izzati menghempas punggung di birai katil.

Tangannya terus mencapai telefon bimbit di tepi bantal. Jarinya ligat menekan-nekan pada skrin telefon.

Bakal Tunang : Assalamualaikum. Awak balik hari ni kan? Jom jumpa esok.

Izzati : Bukan hari-hari kita akan jumpa di office ke?

Bakal Tunang : Hahahaha….nak ajak bergurau pun dah tak boleh

Izzati tersenyum lebar. Kepalanya digeleng berkali-kali. Baru saja dia hendak membalas, satu lagi mesej diterima.

Bakal Tunang : Hati-hati drive.

Izzati : Okey.

*****

“Epul, jom lepak malam ni” Saiful menjawab dengan gelengan di kepala. 
“Aku tengok kau dah berubah sekarang. Apa cer bro?”

“Aku tak ada masa nak lepak-lepak”, balas Saiful lantas menyemak kertas kerja di tangannya.

“Kau bergaduh dengan Tira ke?”

“Tak pun. Okey je aku dengan Tira” Saiful sekadar membalas perlahan.

Kening Hariz terangkat sebelah. “Betul ke ni? Tira ngadu kat aku yang kau dah berubah. Weh, kau kan sweet talker kot. Takkan dah pencen awal kot”

Saiful tersenyum hambar. Wajah Hariz dipandang lama. “Aku dah tak buat lagi kerja-kerja macam tu”

“Biar betul ni? Kau dah tak minat kat perempuan ke?”

“Ishk, kau ni. Mana ada. Kalau aku tak minat perempuan, buat apa aku kahwin dengan si Tira tu”, tukas Saiful lantas menyambung semula kerjanya.

Kepala Hariz terangguk berkali-kali. “Kau dah lain Epul”, gumam Hariz perlahan.

Keluhan kecil terlontar juga di mulut Saiful. “Riz, tu masa zaman kita muda-muda. Sekarang ni, kita kena pandang ke depan. Sampai bila kau nak buang masa dengan benda-benda tak berfaedah tu? Aku kalau boleh nak Tira berubah”, luah Saiful penuh kesal.

“Kalau kau nak berubah, kau berubah seorang. Aku nak pergi makan. Kau nak join tak?”

Saiful menggeleng laju. “Enjoy your lunch

Sebaik saja tubuh Hariz hilang dari pandangan, sekali lagi dia menghela nafas panjang. Matanya ditutup rapat. Bayangan seseorang yang pernah disakiti satu ketika dulu mucul di ruangan mata. Makin lama, bayangan itu makin jauh dan kabur.

Pantas juga Saiful membuka mata. “Mana aku nak cari dia?”, soalnya sendirian. Buntu mencari jawapan dengan persoalan yang bermain di mindanya.

“Sayang, jom lunch

Lamunan Saiful tersentak. Pandangannya jatuh ke arah Tira yang sudah mengambil tempat di depannya. “Okey, awak nak makan apa? Saya minta Zurin tempahkan”

Muncung mulut Tira mendengar. “Selalu macam ni. Sayang, you kena makan tau. Kalau sakit nanti, siapa yang susah? I juga yang susah nanti”

Saiful tersenyum kecil. “Makan. Tapi, saya makan kat sini je. Tak ada mood nak keluar. Kerja berlambak lagi tak siap”

“Itulah, I suruh you minta tolong dengan papa tak nak. Nak berdikarilah, tanggugjawablah bagai. Kalau you dengar cakap I, dah lama kita hidup mewah”, bebel Tira melampias ketidakpuasan.

Dahinya dipicit berkali-kali. Rimas dengan bebelan isterinya. “Syarikat ni baru nak kukuh. Boleh tak kalau awak bersabar. Lagi satu, boleh tak kalau awak cuba berjimat sikit? Takkan hari-hari awak nak enjoy je?”

Tira yang mendengar makin berapi jadinya. Dia pula yang kena berleter. Kalaulah dia tahu, dah lama dia ikut Hariz. Ini tidak, terpaksa mendengar bebelan suaminya.

“Kalau you tak nak makan, I tak kisah. Tak perlu nak berleter bagai. Semaklah you ni. Dah macam orang tua pula. Okey, bye”, tukas Tira tidak mahu lagi lama-lama di dalam bilik itu. Panas betul hatinya.

Saiful melepaskan nafas berat. Terasa seakan-akan ada seketul batu menghempap kepalanya tika ini. Ya Allah, aku dah penat…keluhnya dalam hati tiada siapa yang mendengar. Ya, hanya dia dan juga Sang Pencipta!

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)