bab 65 & 66

bab 65

Sawah padi yang hijau kekuning-kuningan bagaikan menari lembut tatkala disapa angin petang. Aqilah terasa nyaman dan tenang tika ini. Melihat kanak-kanak bermain layang-layang membuatkan matanya segar. Otaknya ringan daripada dibebani masalah yang melanda rumahtangganya.

Alangkah bagus jika dia kembali semula ke zaman kanak-kanak. Sudah pasti dia akan mengajak Datuk Johar dan Datin Sofea menetap di Kedah. Namun, semua itu tidak akan berlaku lagi. Mana tidaknya, dia bukan boleh kembali ke zaman dahulu. Hanya kenangan yang meresap masuk ke dalam minda dan menjadi teman yang setia di kala kesunyian.


“Hah, buat apa seorang diri kat sini?”

Bagaikan hendak pecah jantung apabila disergah dari belakang. Lemah semangatnya. Siapa lagi yang suka mengganggunya dalam ketenangan kalau bukan Aisyah.

“Aisyah memang suka buat akak terkejut eak?”

“Ala, maaf Kak Ila” Barisan gigi putih tersusun elok sewaktu dia tersengih.

“Aisyah ni, sama je dengan Abang Haikal. Time akak nak tenangkan diri, suka menyibuk”

“Jadi, Aisyah menyibuklah ni? Kalau macam tu, Aisyah baliklah” Ada rajuk pada nadanya.

“Eh, akak tak bermaksud macam tu. Temankanlah akak kat sini” Aqilah cuba memujuk. Tidak menyangka adik iparnya memiliki sekeping hati yang kecil dan cepat terasa!

“Dah tu, samakan Aisyah dengan Abang Haikal pula. Mana adil” Seperti budak kecil, mulut Aisyah sudah muncung panjang.

“Alololo....Akak gurau je la. Abang Haikal lagi penyibuk. Temankan akak sekejap boleh?”

“Betul ni?”

Aqilah mengangguk.

“Kalau macam tu, akak kena belanja Aisyah makan”

“Eleh, syarat yang tak seberapa tu? Bila-bila masa pun boleh” Aqilah memetik jarinya di depan Aisyah.

Aisyah mencebik kecil. “Akak nak duduk sini sampai bila?”

Aqilah diam. Matanya kembali memandang kanak-kanak yang sibuk berlari menaikkan layang-layang ke udara.

“Macam nak halau akak je” Senyumannya tetap terukir cantik.

“Bukan menghalau. Aisyah suka kalau akak duduk lama-lama kat sini. Tapi, akak tak rindukan Abang Haikal ke?”

Mulut Aqilah bagaikan terkunci. Dia memeluk tubuh lalu menyandar pada sepohon pokok yang rendang. Matanya dipejam rapat. Wajah Haikal muncul dalam lelapnya.

“Akak ni, macam Abang Haikal. Orang tanya, dia buat derkk je”, tegur Aisyah lantas menampar paha Aqilah.

“Akak rindu dia sangat-sangat. Tapi...”

“Akak tak percaya pada cinta Abang Haikal ke?”, potong Aisyah laju.

Mata Aqilah dibuka semula. Raut Aisyah ditatap lembut. “Sukar untuk akak percaya lagi. Mata ni pernah jadi saksi. Macam mana lagi akak nak percaya untuk kesekian kali? Sebelum ni, akak mula beri kepercayaan. Tapi, sekali lagi akak ditipu. Kalau betullah dia nakkan Zu, beritahu saja”, luah Aqilah sudah digernangi air hangat.

“Akak tak boleh salahkan Abang Haikal seratus peratus. Dia tak salah pun. Aisyah tahu, mesti Kak Ila tak tahu pasal kes abang Haikal dengan Zu. Betul tak?”

Kening Aqilah menampakkan garis-garis halus. “Akak tak faham” Matanya kian mengecil untuk menangkap maksud kata-kata daripada Aisyah. 
“Akak tak dapat tangkap ke masa Aisyah borak dengan Abang Haikal? Kan Aisyah ada cakap pasal ‘Kalau rindu, selesaikan masalah ni dengan cepat. Ceritakan hal yang sebenar pada Kak Ila. Jangan menyesal pula’. Akak tak dapat tangkap ke apa maksud Aisyah?”

Aqilah menggeleng. “Akak ingatkan pasal hal kerja yang Aisyah maksudkan”

Senyuman Aisyah makin lebar. “Hah, sebab akak tak tahulah, benda ni akan berlarutan. Lepas tu, dua-dua makan hati. Macam mana masalah nak settle kalau akak larikan diri. Abang pula asyik pendam je” Panjang lebar Aisyah berhujah.

“Apa kata, Aisyah saja yang cerita. Akak nak tahu apa yang terjadi sebenarnya? Bolehkan Aisyah ceritakan pada akak?”, rayu Aqilah betul-betul ingin tahu.

“Aisyah tak mahu cerita. Tapi, akak akan tahu bila baca ni” Aisyah mengeluarkan sepucuk surat dari poket seluarnya.

“Surat apa ni?” Aqilah kian bingung.

“Aisyah print tau. Aisyah ambil dari Abang Haikal punya blog. Kalau akak nak tahu, Abang Haikal akan luah apa yang dia rasa melalui blog. Semua orang tak tahu. Hanya Aisyah saja yang tahu”

Berkelip-kelip mata Aqilah memandang Aisyah. “Memang Aisyah dengan Abang Haikal suka berkongsi rahsia ke?”

Aisyah mengangguk laju. “Abang Haikal tahu semu rahsia Aisyah. Macam tu juga dengan Aisyah yang tahu semua rahsia Abang Haikal. Percayalah, Abang Haikal memang cintakan akak. Apa yang berlaku, ada hikmah disebaliknya”

Aqilah hanya mampu diam. Surat yang sudah berada di tangannya, direnung lama. Benarkah apa yang dikatakan oleh Aisyah? Tidak mungkin Aisyah akan berbohong kepadanya.

“Aisyah nak balik dulu. Akak bacalah surat tu. Penat tau Aisyah print” Aisyah
Sudah bangun.

Aqilah mencebik. “Kena bayaran tak ni?”

“Akak kena belanja topup”, sahut Aisyah terus berlalu.

Kepala Aqilah digeleng berkali-kali. “Mata duitan betul budak ni”, gumam  
Aqilah dengan senyuman. Lipatan surat dibuka perlahan. Berdebar-debar dadanya untuk mengetahui isi di dalam surat tersebut. Matanya tertancap pada tulisan cetak. Satu per satu bait dibacanya.

Semenjak kau hadir dalam hidupku,
Tiada lagi keresahan,
Kau mengetuk pintu hatiku,
Tanpa sedari hinggaku izinkan...

Mencintai dirimu,
Merindui dirimu,
Memiliki dirimu,
Hingga akhir hayat bersama kamu….

Kau yang bernama cinta
Kau yang memberi rasa
Kau yang ilhamkan bahagia
Hingga aku rasa indah….
Kau yang bernama cinta
Hingga aku rasa indah….

Abang minta maaf sayang. Abang tidak bermaksud untuk sakitkan hati sayang.
Baliklah sayang. Abang merindui dirimu. Abang tidak boleh hidup tanpa sayang. Semua yang berlaku telah pun selesai. Kembalilah kepada abang sayang. Abang harap sayang faham isi hati abang melalui lirik lagu ini. Abang cintakan sayang. Selagi abang bernafas, abang akan bersama-sama sayang. Ketahuilah sayangku, abang amat merindui dirimu. Teramat mencintai dirimu. Kembalilah semula sayangku. Abang akan tetap menantimu…. Yang Mencintai Dirimu,

Suamimu.

Aqilah menangis di dalam hati. Dia menekup mulutnya dengan kedua-dua tapak tangan. Ya! aku harus kembali kepadanya. Aku adalah isteri dia yang sah. Isteri kepada lelaki itu. Dan lelaki itu adalah suamiku. Tekad hatinya yang penuh membara. 

Dia bangun dari duduk. Hampir saja dia mahu rebah sewaktu mengalihkan tubuh. Kakinya bagaikan digam. Tubuhnya sudah keras seakan-akan sama seperti pohon rendang yang menjadi penyandarnya tadi. Matanya pula sudah mulai berkaca. Surat di tangan sudah renyuk dalam genggaman. Nafasnya kian sesak. Hatinya sebak.

“Assalammualaikum sayang...”

Aqilah diam. Tiada balasan mahupun ungkapan yang mampu diluahkan tika ini. Yang dia tahu, dirinya sudah berada dalam pelukan suami tercinta. Dia sendiri tidak sedar bila masa dia memeluk Haikal.

“Kenapa pergi macam tu tanpa beritahu abang?” Rindunya sudah terubat.

Aqilah menangis dalam pelukan Haikal. “Abang tak sayang Ila...”, esaknya di dada Haikal.

Pelukan dileraikan. Wajah Aqilah yang basah lencun dengan air mata, ditatap penuh kerinduan. “Siapa kata abang tak sayang Ila? Abang kat sana, macam orang gila tunggu sayang. Tapi, sayang pergi macam tu je”

Tangisan Aqilah bagaikan tiada kesudahan.

“Jangan tinggalkan abang lagi”, rayu Haikal lantas menarik semula tubuh isterinya ke dalam pelukan.

“Ila benci abang...”, luah Aqilah dengan sisa tangis yang belum reda sepenuhnya.

“Abang cintakan sayang, rindukan sayang dan sayang sayang sangat-sangat. Biarpun beribu sayang bencikan abang, cinta abang, rindu abang dan sayang abang tetap pada sayang” Haikal cuba menyakinkan Aqilah. Makin dieratkan pelukan pada tubuh Aqilah.

“Jangan sakitkan hati Ila lagi”, ujar Aqilah mendongak mencari sepasang mata Haikal.

Senyuman Haikal makin lebar. “Abang janji takkan sakitkan hati sayang. Abang janji, abang akan beritahu hal yang sebenar pada sayang. Jangan nangis lagi. Hati abang sakit tiap kali tengok sayang nangis” Lantas air mata Aqilah diseka lembut. Ya, dia berazam akan mulakan hidup baru!
  
bab 66

Malam yang menenangkan bagi Aqilah dan Haikal. Masing-masing melayan perasaan. Semuanya telah pun selesai. Bukan dia yang jelaskan segala-galanya pada Aqilah. Tetapi, Zurina yang menceritakan segala-galanya. Itupun, atas kesungguhan Zurina dan Idham untuk mengikutnya pulang ke Kedah. Alhamdulillah. Haikal memanjat rasa syukurnya yang tidak terhingga.

“Sayang dah ngantuk ke?”

Aqilah menggeleng. Dia memandang wajah Haikal. “Abang dah ngantuk ke?”

Haikal menggeleng. “Belum lagi” Dahi Aqilah dikucup lembut.

Perasaan Aqilah tenang sekali. Bahu Haikal dijadikan alas kepalanya. “Abang...”, panggil Aqilah manja.

“Ya, sayang...”

“Abang tak teringin anak ke?”, tanya Aqilah menepis perasaan malu.

Kening Haikal terangkat. Senyumannya makin lebar. “Suami mana yang tak nak anak. Semua pasangan yang berkahwin mahukan anak. Barulah lengkap sebuah keluarga. Bila dah ada anak, barulah dikatakan perfect family

Aqilah ketawa kecil. Memang fikirannya sama dengan Haikal. Dia pun mengimpikan sebuah keluarga yang lengkap.

“Kenapa sayang ketawa?”

“Tak ada apa-apa. Saja je nak ketawa” Tawa Aqilah masih lagi bersisa.

“Sayang nak anak berapa orang?”

“Amboi, dah tanya pasal anak pula. Malulah...” Aqilah menampar paha Haikal. Sememangnya dia malu.

“Dengan abang pun sayang nak malu ke?” Makin suka Haikal mengusik Aqilah.

“Malulah”, akui Aqilah jujur.

Tawa Haikal meletus. “Tak sampai setahun kita berkahwin. Masuk ni, baru berapa bulan ya sayang?” Haikal mengira-ngira dengan jemarinya.

“Kita kahwin dah masuk enam bulan setengah”

“Termakbul juga doa mak kat Makkah. Abang rasa bertuah sangat sebab dapat miliki tulang rusuk kiri abang. Sayanglah orangnya. Terima kasih sebab menjadi suri dalam hidup abang” Sekali lagi kucupannya hinggap pada dahi Aqilah.

“Terima kasih juga sebab sudi menjadi raja dalam hidup Ila. Sayang abang sangat-sangat”, bisik Aqilah penuh romantik di telinga suaminya.

“Wah, isteri abang makin jiwang. Belajar dengan siapa ni?” Teruja juga Haikal mendengar. Boleh angau kalau berjauhan sekali lagi.

Satu cubitan dilepaskan pada paha Haikal. “Abang ni, orang romatik pun tak boleh. Kalau macam tu, baik Ila cakap kasar. Nak ke?”

Muka Haikal berkerut. Menahan sakit dengan cubitan Aqilah. Hendak marah, isteri sendiri yang cubit. Jadi, diam sajalah. Sayang isteri katakan! “Abang lagi suka sayang manja-manja. Barulah abang rasa disayangi. Sayang abang tak?”

“Mestilah sayang. Sakit ke?” Aqilah mengusap tempat yang dicubitnya tadi.

“Taklah. Sedap sangat. Apa kata, sayang cubit lagi”, sindir Haikal lalu tersengih.

Bibir Aqilah diketap kuat. “Nyampahlah. Benci betullah dia ni” Tubuh Haikal ditolak perlahan.

Tawa Haikal berderai akhirnya. Aqilah yang mendengar terus menekup mulut Haikal. Apa pula yang difikirkan Hajah Rosiah dan Aisyah nanti. Paling memalukan, jika tetamu yang tidur di rumah ini. Siapa lagi kalau bukan Zurina dan Idham. Memalukan betul!

“Abang ni, malulah sikit. Kalau tak malu pada mak dengan Aisyah, malulah pada tetamu kita tu. Orang lain pun nak tidur juga”, tegur Aqilah masih lagi menekup mulut Haikal.

“Hmm...” Haikal mengangguk berkali-kali.

Aqilah menarik semula tangannya. Namun, Haikal lebih pantas memegang tangannya. Aqilah tidak menepis. Dia merelakan saja tangannya dikucup dan dibawa ke dada Haikal. Aqilah merebahkan semula kepala di bahu suaminya.

“Sayang...”

“Hmm...”

“Boleh abang tahu sesuatu tak?”

“Apa dia?” Mata Aqilah dipejam rapat.

“Sayang nak anak berapa orang?”, tanya Haikal lalu menjatuhkan kepalanya pada kepala Aqilah.

“Kalau sayang nak anak kembar boleh? Tak kisahlah berapa pun” Senyuman Aqilah makin lebar. Perasaan malunya tidak pernah padam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk membuang perasaan yang satu itu.

“Hmm...Suka, suka, suka...Nak anak kembarlah”, tutur Haikal manja.

“Gatalnya dia...” Satu cubitan hinggap di lengan Haikal.

“Abang gatal dengan sayang je. Nak boleh?”, tanya Haikal penuh makna tersirat.

“Nak apa?” Kulit muka Aqilah terasa panas sangat. Seperti ketam yang sedang dibakar!

“Nak anak kembar...” Haikal merengek seperti anak kecil.

Meremang bulu tengkuk Aqilah. “Anak kembar?”, soal Aqilah perlahan.

Haikal mengangkat kepalanya. Aqilah turut mengangkat kepalanya dari bahu Haikal. Pandangan mereka saling bertaut.

“Abang cintakan sayang...”, bisik Haikal yang sudah mendekati wajah isterinya.

“Ila pun cintakan abang juga...”, balas Aqilah dalam keadaan berbisik juga.

Haikal tersenyum mesra. Wajah Aqilah disentuh lembut. “Jangan tinggalkan abang lagi”

“Ila takkan tinggalkan abang melainkan malaikat maut yang mencabut nyawa Ila”, tutur Aqilah mula sebak. Lantas, Haikal menarik tubuh Aqilah ke dalam pelukan.

*****

“INGAT pesan mak, jangan gaduh-gaduh lagi. Kalau ada masalah, selesai dengan cepat”, pesan Hajah Rosiah sebaik saja Aqilah bersalaman dengannya.

“Ila ingat mak. Terima kasih”, ucap Aqilah lantas mengucup kedua-dua belah pipi Hajah Rosiah.

“Terima kasih mak cik bagi kami tumpang tidur kat sini”, sampuk Zurina di belakang Aqilah.

Hajah Rosiah tersenyum kecil. “Rumah ni sentiasa terbuka pada sesiapa yang nak datang. Kalau ada masa, datanglah sini lagi”, tutur Hajah Rosiah penuh keikhlasan.

“Insyaallah. Maafkan Zu banyak buat salah pada keluarga mak cik” Redup pandangan Zurina menatap wajah Hajah Rosiah.

“Mak cik dah lama maafkan. Anggap yang lepas tu dijadikan ingatan dan pengajaran buat kita. Sudahlah, Zu tak perlu risau lagi. Benda dah lepas jangan dikenang” Hajah Rosiah menggenggam erat tangan Zurina.

“Terima kasih mak cik”

Idham yang melihat sekadar tersenyum kecil. Memang benar Zurina telah berubah. Rasa sayangnya terhadap Zurina makin bercambah.

“Ehemm...” Haikal berdehem setelah lama berdiam diri.

“Kita terlupa kat seseoranglah mak”, celah Aqilah meledak tawanya.

“Memang pun. Kalau dah ada ‘drama’ sedih macam ni, Haikal selalu dipinggirkan”, rajuk Haikal dengan muka sengaja dimonyokkan.

“Alololo suami Ila ni. Macam budak-budak” Aqilah menampar-nampar lembut pipi Haikal.

“Hah Haikal, benda yang kecil jangan nak besarkan” Mata Hajah Rosiah sudah terjegil besar.

Haikal tersengih seperti kerang busuk. “Haikal gurau je la. Mak jaga diri tau. Sampaikan salam Haikal pada Aisyah. Tak sempat Haikal nak jumpa dia. Sampaikan salam Haikal pada Diana juga” Haikal bersalaman dengan Hajah Rosiah. Penuh kasih pipi Hajah Rosiah dikucup mesra.

“Insyaallah. Hati-hati bawa kereta tu”

“Kami balik dulu mak cik. Nanti, jangan lupa datang kenduri saya dengan Zu”, ujar Idham.

“Insyaallah. Ada masa, mak cik sampailah kat sana”, balas Hajah Rosiah dengan senang hati.

Dua buah kenderaan makin jauh meninggalkan rumah kampung. Segala masalah anak menantunya telah pun selesai. Tiada lagi resah di hatinya memikirkan rumahtangga Haikal dan Aqilah. Dia juga turut mengucapkan rasa syukur atas kesudian Zurina dalam menyelesaikan kemelut yang melanda rumahtangga anaknya. Dia percaya dan yakin, Idham dapat membahagiakan Zurina. Hatinya cukup senang melihat perubahan Zurina. Jodoh semua sudah ditentukan olehNYA. Siapalah kita sebagai hambaNYA yang sekadar merancang!

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)