bab 51 & 52

bab 51

“Saya pergi kerja dulu”

“Abang nak pergi kerja?” Aqilah keluar dari muka dapur dengan sapu tangan di tangan.

“Kenapa? Ingat saya ni tak ada kerja ke kalau dah letak jawatan?”

Aqilah terkedu. Namun, dia cuba memaniskan muka. “Bukan macam tu maksud Ila. Ingatkan abang tarik balik perletakan jawatan tu”

“Itu hak awak. Saya tak nak campur tangan”, balas Haikal tegas.

“Oh...”

“Awak tak perlu risau. Saya masih mampu nak sara awak”, ujar Haikal yang sudah siap memakai stokin.

“Abang tak mahu sarapan dulu? Ila ada masak makanan kegemaran abang” Aqilah cuba berlembut lagi. Sabarlah wahai hati.

“Tak apalah. Saya dah lewat”

“Abang tak pakai tie? Kejap, Ila pergi ambil”, ujar Aqilah bergegas naik ke bilik. Dalam hatinya bagaikan ada hujan yang mencurah-curah.

Sebaik saja dia menuruni tangga, deruman enjin kereta menandakan Haikal sudah mahu pergi. Aqilah cuba mendapatkan Haikal. Namun, usahanya sia-sia. Tali leher Haikal yang dipegangnya terus terlepas dari tangan. Mutiara jernih mulai jatuh berguguran. Tubuhnya sudah terkulai layu di hadapan pintu.

“Kenapa buat Ila macam ni? Apa salah Ila?”, rintihnya dengan teresak-esak.

“Ila tak ada niat nak sakitkan hati abang. Apa salah Ila? Hati Ila sakit sangat. Kenapa tak pernah faham perasaan Ila? Sampai bila masalah rumahtangga kita berterusan macam ni? Ila rindu abang. Rindu sangat-sangat” Dia menangis semahu-mahunya.

“Ya Allah, Ila, kenapa ni?”

“Hati aku sakit”, hambur Aqilah lalu menumbuk-numbuk dadanya.

“Jangan macam ni. Jom kita masuk” Suzana cuba memapah Aqilah.

“Kenapa dia buat aku macam ni? Kenapa?”, raung Aqilah seakan-akan orang sudah hilang pedoman.

“Ila, jangan macam ni. Aku ada kat sisi kau. Tenang diri dulu”

Aqilah menggeleng berkali-kali. “Hati aku sakit Ana. Aku menderita sangat. Kat mana silap aku? Dah berkali-kali aku mohon maaf pada dia. Tapi, sikit pun dia tak pedulikan aku. Kenapa semua ni terjadi pada aku?” Dia menangis di bahu Suzana.

“Sabarlah Ila”

“Sabar aku pun ada hadnya juga. Aku takut. Aku takut kalau kesabaran aku makin menipis. Apa lagi yang dia nak daripada aku? Semua aku dah beri pada dia. Hati aku, cinta aku dan sayang aku, semuanya untuk dia. Aku cuba bertahan supaya rumahtangga yang kami bina selama ni kekal. Tapi, dia macam tak faham dan tak pernah cuba nak faham aku”, luah Aqilah teresak-esak.

Hati Suzana pilu. Dia tidak sanggup melihat Aqilah dalam keadaan sebegitu. “Ila, jangan nangis lagi”, pujuk Suzana mendongakkan dagu Aqilah. Penuh rasa kasih, air mata yang membasahi wajah sahabatnya, diseka perlahan.

“Aku sayang dia. Aku tak kisah kalau dia tak cintakan aku sekalipun. Tapi, hati aku sakit bila teringatkan janji-janji yang pernah dia taburkan kat aku. Ana, bawa aku pergi dari sini. Aku penat dengan semua ni. Bawa aku pergi sebelum hati aku jadi tawar”

“Ila, jangan macam ni. Tempat kau di sisi Haikal”

“Dia tak perlukan aku lagi. Dia dah ada Zurina. Aku tak layak untuk dia. Tolonglah bawa aku keluar dari sini”, rayu Aqilah lagi. Esaknya jelas kedengaran kembali.

Suzana serba salah. “Ila, kau rehat dulu ya”, cadang Suzana cuba menukar topik.

Kepala Aqilah digeleng laju. “Aku tak mahu rehat. Apa perasaan kau kalau kau masak, laki kau tak mahu jamah sikit pun? Kenapa, jijik sangat ke makanan yang aku masak? Satu per satu dia sakitkan hati aku. Tak cukup lagi ke dia nak seksa aku?”

Suzana setia mendengar rintihan demi rintihan yang keluar dari mulut sahabat baiknya. Tubuh Aqilah ditarik ke dalam pelukan. “Menangislah kawanku. Menangislah andai itu yang membuat hatimu kembali reda”

Tangisan Aqilah mencurah-curah bagaikan air hujan. Semua yang terbuku di hati diluahkan kepada Suzana. Benci, rindu, cinta dan sayang datang silih berganti.

*****

“ADA apa lagi nak jumpa?”

“Zu nak minta maaf”, ucap Zurina sayu. Menyesali perbuatannya terhadap Haikal dan juga Aqilah.

“Okey” Hanya sepatah saja yang keluar dari mulut Haikal.

“Zu Cuma nak miliki Haikal”

“Dengan cara bodoh tu?”, pintas Haikal laju.

Zurina menundukkan wajahnya. Bibirnya diketap kuat. Lambat-lambat dia berkata, “Maafkan Zu. Sekarang, Zu sedar kita memang tak ada jodoh”

Senyuman Haikal hambar. “Baguslah kalau dah sedar”

“Ila sihat?” Hatinya tiba-tiba teringatkan Aqilah. Rasa bersalahnya pada Aqilah begitu menghimpit jiwanya.

“Alhamdulillah sihat”, jawab Haikal perlahan. Entahlah, dari luaran, Aqilah memang sihat. Dari dalaman, dia tidak pasti.

“Zu takkan ganggu rumahtangga Haikal lagi”

“Benda dah nak jadi” Keluhan kecil terhambur juga.

“Zu minta maaf lagi sekali” Sesal Zurina berpanjangan.

“Haikal doakan semoga Zu bahagia. Tak perlulah Zu tunggu Haikal. Cinta dan sayang Haikal hanya pada Aqilah”

“Ya, Zu tahu. Maafkan Zu”

“Kalau tak ada apa-apa, Haikal kena pergi dulu. Ada hal kena uruskan”

“Haikal...”

Kening Haikal terangkat. Dia menanti kata-kata seterusnya daripada Zurina.

“Maafkan Zu”, pinta Zurina mengharapkan maaf daripada Haikal.

“Haikal maafkan. Assalammualaikum”, ucap Haikal terus berlalu.

Sebaik saja tubuhnya terhenyak di bahagian pemandu, matanya dipejam rapat. Wajah Aqilah muncul dalam ruangan matanya. “Abang rindu Ila”, desisnya sendirian. Hatinya perit melihat kesungguhan Aqilah pagi tadi. Dia pula tidak langsung menghiraukan layanan baik Aqilah.  

“Maafkan abang buat Ila terasa hati. Berikan abang ruang untuk seketika”, tuturnya perlahan.

Haikal membuka semula mata. Enjin kereta dihidupkan. Dia mahu menuju ke destinasi seterusnya. Dia mahu buktikan pada Aqilah bahawa dia bukan lelaki yang mengharapkan belas kasihan daripada orang.

‘Yela, dia bos. Kita ni pekerja je’
           
Kata-kata Aqilah masih lagi segar di ingatannya. Dia tidak akan lupa sebaris ayat itu sehinggalah dia berjaya dengan usaha sendiri. Tekadnya dalam hati dengan penuh membara.

*****

WAJAH bekas setiausahanya dipandang lama. Bibirnya mengukir senyuman tenang. Tiada rasa marah yang bermukim di jiwa.

“Maafkan saya, Cik Zu”

“Saya yang patut minta maaf pada awak”

“Saya mungkir janji pada Cik Zu”

“Awak tak salah Sufi. Awak pekerja saya yang prihatin. Kadang-kadang kita ni terlalu tamak dan terlalu ikut dengan pujuk rayu syaitan”

Sufi terdiam. “Saya minta maaf Cik Zu”

“Hei, tak perlu asyik minta maaf. Saya tak marahkan awak lagi. Tak ada dendam pun kat hati saya ni”

“Betulkah Cik Zu?”

Stop panggil saya ‘Cik Zu’. Sekarang, kita berkawan. Macam mana?” Zurina menghulurkan tangan pada Sufi.

Terpinga-pinga Sufi dibuatnya. Melihat anggukan Zurina dan juga keikhlasan yang terpancar pada wajah bekas majikannya, akhirnya dia menyambut juga huluran tangan Zurina.

“Saya nak hidup tenang. Pagi tadi saya ada jumpa Haikal”

“Cik...”

“Panggil saya ‘Zu’. Boleh?”

“Keras lidah saya nak panggil nama”

“Ala, hal kecil je. Panggil nama pun dah cukup”

“Baiklah Zu”, tutur Sufi kelu seketika.

“Saya rasa bersalah pada isteri Haikal” Terlayar wajah Aqilah yang lembut dan menawan di ruang matanya.

“Zu dah jumpa dengan wife Haikal?”

Zurina menggeleng. “Saya jumpa Haikal pun kejap je. Dia macam tergesa-gesa. Ada hal katanya. Ingat nak jumpa wife dia pula. Tapi, takut pun ada juga”

“Saya boleh temankan” Sufi menawar diri.

Zurina tersenyum kecil. “Tak nak susahkan awak. Saya boleh selesaikan sendiri. Macam mana hubungan awak dengan Hisyam?”

“Biasa saja. Kami akan berkahwin tak lama lagi”, ujar Sufi dengan wajah dipenuhi rasa bahagia.

Zurina turut gembira dengan berita itu. Lama dia merenung bekas setiausahanya. “Dia dah tahu pasal..”

“Dia dah tahu. Sebenarnya, dia dah lama berubat. Saya yang tak tahu”

“Baguslah kalau macam tu. Saya pun baru faham sekarang. Cinta tak semestinya dimiliki. Kalau bercinta dan dimiliki, itu dah kira bagus. Macam awak. Tercapai juga impian awak”

“Zu masih harapkan Haikal?”, tanya Sufi tenang.

Zurina menggeleng. “Dia adalah kenangan saya. Mungkin, ada yang lagi sesuai untuk saya”, ujar Zurina lantas ketawa kecil.

“Dengan Idham ke?”, duga Sufi dengan senyuman penuh makna.

“Idham eak? Mungkin juga. Kalau saya nak main-main dengan dia macam mana?”

Terbeliak mata Sufi. Mulutnya juga sudah terbuka luas..

Zurina ketawa geli hati. “Tutup mulut tu. Masuk lalat nanti”, tegur Zurina menampar lembut pipi Sufi.

“Saya gurau sajalah. Idham baik. Jadi, nak kerja semula dengan saya tak?”,

Melopong Sufi dibuatnya. Dengan pantas juga dia mengangguk. “Terima Kasih Zu”

Zurina sekadar tersenyum. Dia akan mulakan hidup baru mulai hari ini. Mungkin dia akan bahagia di samping lelaki lain. Ya Allah, ketemukanlah aku dengan kebahagiaan. Hati kecilnya berdoa...


bab 52

Suzana seakan teruja melihat gelagat Aqilah. Dia sendiri pun tidak mampu melakukan perkara seperti Aqilah. Lihat saja pada makanan yang ada di hadapannya membuatkan liurnya ditelan berkali-kali.

“Kau okey ke Ila?”

Aqilah mengangguk. Laju saja dia menikmati makan tengah hari tanpa mempedulikan Suzana.

“Kau larat ke nak habiskan semua ni?”

Sekali lagi Aqilah mengangguk.

“Aku dah kenyang”

“Aku tak kenyang lagi”, tutur Aqilah selamba.

Gerun pula Suzana melihat Aqilah makan. “Takut aku tengok kau makan”

“Aku bukannya hantu pun. Dah aku tak makan nasi, aku makanlah lauk. Tu yang tak muak”, balas Aqilah laju.

Suzana diam. Dari pagi dia menemani Aqilah. Siap masak untuk makan tengah hari lagi. Kagum juga dia pada Aqilah. Dalam kesedihan, sempat lagi sahabatnya itu memasak. Alasannya, nak hilangkan tekanan. Dahsyat betul Aqilah.

“Kau tak nak tambah nasi ke? Banyak ni aku masak”

Membuntang mata Suzana. “Kau biar betul. Aku dah tambah dua kali nasi. Kau pula, nasi tak makan. Asyik meratah lauk saja”
           
Aqilah ketawa kecil. “Aku tak nak nasi”

“Kalau dah tahu tak mahu makan nasi, masak lauk pun dah cukup”, bebel Suzana.

“Ala, kau jenis yang makan nasi. Kalau aku tak masak nasi, kau bukannya nak makan pun. Eh, tambahlah lagi. Sekali ni je kau tambah” Aqilah berusaha memujuk Suzana.

“Tak naklah aku. Perut aku dah penuh. Tak boleh nak telan lagi”

“Aku pun dah rasa kenyang ni”

“Alhamdulillah. Aku ingatkan dengan mangkuk-mangkuk pun kau nak telan juga”, sindir Suzana dengan sengihan.

Aqilah mengetap bibirnya. “Nyampah aku. Nak sindir kita pula”

“Kau tak masuk kerja ke hari ni?”

Aqilah menggeleng. “Aku nak rehat. Aku tak nak fikir pasal kerja lagi”

“Tak apa ke kau tak masuk kerja?”

Hanya kedua-dua bahu Aqilah saja yang terangkat.

“Rumit betul masalah kau ni”

“Biasalah, masalah datang bukan selalu”, seloroh Aqilah cuba menyembunyi rawan di hati.

“Banyaklah kau kata bukan selalu. Mata tu dah bengkak aku tengok”

Aqilah tersenyum tawar. “Itu saja cara untuk aku lepaskan rasa sedih”

“Tabahlah Ila. Aku tak nak tengok kau nangis-nangis lagi”

Thanks Ana”, ucap Aqilah terharu.

“Papa dengan mama kau tahu tak pasal Haikal letak jawatan?”

Aqilah menggeleng. “Aku tak nak papa risau” Terbayang wajah Datuk Johar di ruang matanya. Nafas Suzana dihembus tenang. Wajah Aqilah ditatap sedalam yang mungkin.

“Mungkin Haikal terasa hati dengan aku”, sambung Aqilah beserta keluhan kecil.

“Kenapa pula dia nak terasa hati dengan kau? Bukan kau ke sepatutnya terasa hati dengan dia? Sesuka hati dia saja keluar dengan Zurina. Macam kau ni tak wujud depan mata langsung”, hambur Suzana tegas.

Ya, ada betul juga apa yang dikatakan oleh Suzana. Aqilah tidak menafikannya langsung. Dia sendiri terasa Haikal tidak mempedulikannya langsung sewaktu bersama-sama Zurina. Kotak ingatannya masih lagi jelas. Panggilannya tidak langsung dijawab! Dia sedar, Zurina lebih penting. Dia hanya cinta kedua dan tidak akan dapat menjadi yang pertama sampai bila-bila!

“Ila..”

Aqilah termangu seketika.

“Kau okey?”

“Aku okey”, balas Aqilah perlahan.

“Jadi, kau nak buat macam mana?”

“Macam mana apa?” Aqilah blurr.

“Kau nak pujuk Haikal ambil semula jawatan tu?”, soal Suzana tenang.

“Memang aku ingat macam tu juga. Tapi, hati aku tak rasa yang dia akan terima jawatan tu semula. Maaf aku pun dia tak layan. Tambahlah kalau nak bincang pasal hal ni. Lagilah dia tak layan”

“Kau ada ungkit ke pasal hak?”

Laju Aqilah menggeleng. Menidakkan tekaan Suzana. “Aku tak pernah cakap pasal hak. Aku pun bukannya layak nak pegang jawatan tu. Dia lagi layak. Bila aku tanya apa salah aku, dia diam saja. Bila aku minta maaf, macam yang aku katakan tadi. Dia takkan layan. Aku pun tak faham”

Tenang sekali Suzana mendengar.

“Aku hanya fikir satu je”, ujar Aqilah dengan raut wajah bertukar muram.

“Kau fikir apa?”

“Mungkin dia nak kahwin dengan Zurina”, luah Aqilah lemah. Kekuatannya seakan-akan hilang.

“Takkan sampai macam tu sekali” Suzana seakan tidak percaya dengan apa yang didengar.

Kepala Aqilah diangguk lemah. “Dah tu, semuanya bila aku cakap macam salah. Mungkin betul, dia masih cintakan Zu”

“Kau yakin ke? Janganlah fikir bukan-bukan”

“Sudahlah. Aku penat nak fikir lagi”, dalih Aqilah terus mengangkat pinggan kotor ke dapur.

Suzana turut membuntuti Aqilah ke dapur. “Kau tak nak cuba ambil hati dia balik?”
           
“Nanti aku fikirkan”, balas Aqilah dengan tangan ligat membasuh pinggan, mangkuk kotor. Masalah rumahtangganya dibiarkan lenyap seketika.

*****

LANGKAHNYA diatur dengan penuh lemah. Satu per satu anak tangga didaki. Sementara itu, jari kasarnya mula memicit-micit batang leher. Terasa dirinya kala ini sungguh penat. Otaknya hanya fikir tidur saja. Sebaik saja tombol pintu dipulas, dia menapak masuk ke dalam kamar tidur. Suis lampu ditekan. Keadaan bilik yang gelap sudah bertukar terang.

Pandangannya jatuh di atas katil. Aqilah tiada. “Tidur bilik lain kot”, gumam Haikal perlahan.

Pintu almari dibuka. Tuala yang baru dikeluarkan. Dia mula melangkah ke bilik air. Jika dulu, Aqilah akan menyambut kepulangannya dengan seribu rasa cinta dan rindu. Dia akan dilayan dengan penuh kelembutan oleh isterinya. Kini, semuanya tiada lagi. Hanya tinggal kenangan sahaja!

Siraman air yang membasahi tubuhnya membuatkan dia terasa segar kembali. Matanya dipejam seketika. Tidak sampai 20 minit, dia selesai juga mandi. Otaknya hanya mahu sembahyang dan tidur. Sebaik saja t-shirt dan kain pelikat tersarung di tubuh, Haikal terus menghampar sejadah. Sembahyangnya penuh rasa khusyuk.

Sementara itu, Aqilah sedang mengintai suaminya melalui celahan pintu bilik. Lama dia melihat tubuh suaminya dari belakang. Senyumannya mekar. Rasa rindunya begitu sarat sekali. Rindu dengan senyuman Haikal, rindu pada gelak tawa Haikal dan amat rindu untuk berjemaah sekali dengan suami kesayangan. Sudah terlalu lama dia tidak mengucup tangan Haikal dan sudah terlalu lama juga dahinya tidak mendapat hadiah kucupan daripada Haikal.

Rasa sebak bertandang dalam dirinya. Hinggakan tidak sedar Haikal sudah pun selesai mengaminkan doa. Dia hanya melihat Haikal merebahkan tubuh di katil. Nafasnya ditarik sedalam yang mungkin. Haikal tidur tanpa mencarinya terlebih dahulu? Sejak semalaman dia dan Haikal tidur berasingan. Tiada langsung pujukan daripada Haikal. Pintu bilik kembali ditutup.

Langkah Aqilah terhenti. Niatnya mahu kembali ke bilik terus mati. “Kalau aku mengalah, aku kalah”, bicara Aqilah sendirian.

Dia berpatah semula ke kamar tidur. Daun pintu dibuka perlahan. Lampu bilik sudah dipadam. Ini yang membuatkan penglihatannya samar-samar sahaja. Nasibnya baik kerana simbahan cahaya malam seakan-akan menolongnya untuk mencari arah jalan. Senyuman leganya menguntum di bibir sebaik saja punggungnya mencecah tilam.

“Siapa?”, soal Haikal bingkas bangun.

“I...Ila...”, jawab Aqilah gugup. Janganlah Haikal halau aku! Doanya dalam hati.

Haikal terdiam. Hanya bayangan tubuh Aqilah saja yang dilihat. “Buat apa kat sini?”, soal Haikal dengan mata sudah teramat berat untuk dibuka. Soalan bodoh pula ditanya!

“Nak tidur sini”, balas Aqilah laju. Hilang semua rasa resahnya. Terus direbahkan tubuh bersebelahan Haikal. “Saya nak tidur kat sisi suami saya. Awak tak kisahkan?”, soal Aqilah membuang perasaan malu. Jika Haikal berkeras, dia juga akan berkeras!

Haikal diam. Pertanyaan daripada isterinya tidak langsung dijawab. Akhirnya, dia kembali rebah di pembaringan. Bantal dakap diambil lalu diletakkan ditengah-tengah. Dia takut. Ya, takut jika dia tidak dapat mengawal diri tatkala dekat dengan Aqilah. Bau haruman Aqilah pun sudah cukup membuatkan nafasnya tersekat. Inikan pula kalau Aqilah cuba menggodanya. Harap-harap dia tak buat macam tu. Dia cuba bertenang selagi yang mampu.

Aqilah tersenyum lebar. Biarpun ada penghalang antara mereka, dia tetap rasa bersyukur. Biarlah dia ada di samping Haikal. Sedalam mana pun Haikal cuba membina jurang kemesraan antara mereka, dia tidak akan sesekali berada jauh dari Haikal. Melainkan jika dirinya tidak diperlukan lagi! Aqilah memejam mata. Setitis air jernih jatuh mengalir ke pipi. Ila akan tetap bersabar. Ucapnya dalam hati.  

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)