bab 53 & 54

bab 53

“Kenapa pandang saya macam tu?”, tanya Aqilah hairan. Dia turut membelek pakaian yang tersarung di tubuh. Semuanya sempurna!

“Tak ada apa-apa”, jawab Haikal dengan kening yang terangkat.

“Kenapa tak pakai tie?”, soal Aqilah masih lagi beriak tenang.

Haikal mengeluh kecil. “Awak tahukan yang saya tak pandai pakai tie” Bosanlah pula apabila Aqilah asyik bertanyakan soalan yang sama.

“Lain kali belajar. Meh saya pakaikan. Jangan nak tunjuk ego pula macam semalam”, bidas Aqilah bergegas naik ke bilik.

Haikal diam. Aqilah pada hari ini cukup memukaukan matanya. Dengan baju kurung moden dikenakan pada tubuh dan ditambah pula tudung bewarna putih membuatkan wajah Aqilah makin ayu. Lantas ingatannya teringatkan pada hal subuh tadi.

“Awak, bangun. Dah subuh”, kejut Haikal menggoncang bahu Aqilah. Dia pun agak tergamam melihat pinggangnya dirangkul kemas oleh isterinya.

“Hmm..mengantuklah...”, rengeknya manja.

Haikal menelan liur. Dia pula yang sesak nafas dengan gelagat Aqilah. Namun, dia cuba bertahan juga. “Saya nak mandi dulu”, tukas Haikal dengan cepat mengangkat tangan Aqilah yang melingkar di pinggangnya. Namun, rangkulan Aqilah cukup kuat.

“Saya rindu awak...”, rengek Aqilah dengan suara yang serak.

“Sa...saya nak sembahyang...”, ujar Haikal sudah tergagap-gagap. Bilik yang berhawa dingin seakan-akan menjadi panas tiba-tiba. Lambat-lambat lingkaran pada pinggangnya kian longgar. Haikal terus melompat turun dari katil.

Papp!

“Hah, termenung jauh nampak”, sergah Aqilah dengan senyuman.
             
Gulpp....Tekaknya seakan-akan tidak dapat menelan liur.
           
“Sini, saya pakaikan”, tutur Aqilah tenang. Panggilannya dengan Haikal sudah pun berubah. Jika Haikal boleh menggunakan ‘saya’ dan ‘awak’, dia pun boleh menggunakan juga!

Haikal hanya diam. Matanya tajam merenung wajah isterinya. Rindunya pada Aqilah semakin dalam. Namun, bila teringatkan akan sebaris ayat itu, hatinya menjadi sakit. Layakkah dia untuk Aqilah?

“Dah siap. Saya nak keluar kejap. Awak sarapanlah ya. Pagi kelmarin, awak tak sarapan pun. Kecil hati saya”, tutur Aqilah pura-pura ketawa kecil.

Bibir Haikal bagaikan terkunci. Dia tahu Aqilah menyembunyikan rasa sedihnya. Perlukah dia merendahkan ego seorang lelaki?

“Saya pergi dulu. Assalammualaikum”, ucap Aqilah lantas mencapai tangan Haikal lalu dikucup. Sebelum meninggalkan Haikal, sempat juga pipi kiri Haikal dikucup penuh kasih.

Aqilah terus berlalu. Untuk apa lagi dia menunggu lama-lama di situ? Sudah pasti Haikal tidak akan membalas kucupannya. Apa lagi yang dia harapkan daripada Haikal? Sedangkan, harapannya akan membuat hati ini sakit. Matanya yang hangat dengan air ditahan juga. Mulai hari ini, dia tidak akan menangis kerana Haikal. Dia tidak akan mengharap apa-apa lagi daripada suaminya. Cukuplah jika Haikal sudi menerimanya semula. Maafkan Ila andai buat abang terasa hati...Ucapnya sayu.

Haikal sudah terduduk di kerusi makan. Otaknya bingung. Sarapan yang berada di atas meja dipandang sepi. Hanya tempatnya sahaja disediakan cawan dan pinggan. Mata Haikal jatuh pada tempat yang selalu diduduki oleh isterinya. Tiada cawan mahupun pinggan. Kiranya, Aqilah tidak langsung menjamah sarapan. Hatinya diserbu rasa pilu.

“Kenapa sayang tak makan?” Tiada jawapan bagi pertanyaannya. Hanya perabot rumah yang kaku dan tidak bernyawa menjadi pendengar setia!

*****

“ASSALAMMUALAIKUM”

“Waalaikumussalam. Masuklah...”
           
“Umi sihat?”

“Alhamdulillah sihat”

Zurina bersalaman dengan Puan Sarimah. “Id mana umi?”

“Id keluar awal hari ni. Dia kata ada kerja nak kena siapkan. Zu tak kerja ke hari ni?”

Zurina tersenyum lantas menjawab, “Zu kerja. Tapi, masuk lewat sikit. Saja Zu datang sini. Lama tak jenguk umi”

“Marilah masuk. Takkan nak sembang kat depan pintu pula”, seloroh Puan Sarimah lantas menarik tangan Zurina.

“Umi dah sarapan ke? Kalau tak sarapan lagi, Zu ada bawakan bekal untuk umi. Ambillah”, ujar Zurina dengan senyuman manis.

“Amboi, Zu masak apa ni? Tak buka penutup pun, dah boleh bau”

“Biasa-biasa saja umi. Zu buatkan puding roti. Dah bosan sangat. Tak tahu nak buat apa kat rumah seorang diri” Nadanya ramah sekali.

“Marilah ke dapur. Boleh makan sekali. Umi pun tak sarapan lagi. Id pun tak sempat sarapan. Sibuk benar si Id tu” Puan Sarimah bingkas bangun.

Zurina hanya membuntuti langkah Puan Sarimah. “Bersih rumah umi”, puji Zurina tenang.

“Biasalah, cucu pun tak ada lagi. Kalau dah ada cucu nanti, nampaklah berselerak sikit. Bilalah Id boleh bagi cucu kat umi ya?” Begitu mendalam sekali kata-kata Puan Sarimah.

Zurina sudah tersengih-sengih. Dia mengambil tempat duduk berdepan dengan Puan Sarimah.

“Bila agaknya Zu nak kahwin?”

“Hah? Siapa?” Dia mula terpinga-pinga.

Puan Sarimah ligat menuang teh o panas ke dalam cawan. Dia menghulurkan pada Zurina. “Siapa lagi, Zu lah. Bila nak naik pelamin?”, tanya Puan Sarimah dengan senyuman penuh makna.

Zurina menyambut huluran cawan tersebut. “Zu pun tak tahu lagi”, jawabnya ala kadar.

“Zu kahwin dengan Id sajalah”

Hampir tersedak Zurina dibuatnya. Hanya sengihan saja yang terukir.

“Id dah lama sukakan Zu”

Hatinya berdegup kencang. Kenyataan yang diluahkan oleh Puan Sarimah telah mengugat hati perempuannya. Entah kenapa dia berasa seram sejuk. Dalam hatinya seakan-akan dipenuhi dengan bunga-bunga cinta. Benarkah dia mula menyukai Idham?

“Kalau Zu setuju, sekarang juga umi masuk meminang”

Gullppp...Liurnya terus ditelan. Tawar!

Puan Sarimah tersenyum lebar. “Kenapa muka Zu pucat?”

Pantas Zurina menggeleng laju. “Zu okey saja umi”

“Maaflah kalau kata-kata umi...”

“Umi, Zu faham. Andai sudah tertulis Id akan jadi suami Zu, dengan hati yang ikhlas, Zu terima”, potong Zurina lembut. Wajah tua Puan Sarimah ditatap lembut.

“Umi sayang Zu macam anak umi sendiri”, tutur Puan Sarimah dengan senyuman. Ya, kasihnya tertumpah penuh pada Zurina. Sudahlah dia tidak mempunyai anak perempuan. Andai benar Zurina menjadi menantunya nanti, dia bersyukur sangat-sangat pada Allah S.W.T.

“Zu pun sayang umi”, balas Zurina jujur. Tatkala bertentang mata, berbicara mesra dengan Puan Sarimah, membuatkan dia teringat akan arwah kedua-dua orang tuanya. Ya Allah, tempatkanlah kedua-dua orang tuaku di kalangan orang yang beriman.

“Zu tak nak makan ke? Umi dah lapar ni”, tukas Puan Sarimah ramah.

“Umi kena cuba puding roti ni dulu. Zu buat special untuk umi ni”

Puan Sarimah sudah tertawa kecil. Benarlah, kata Idham. Zurina berubah. Harapannya, agar Idham dapat menawan hati Zurina. Ya, itu harapannya!


bab 54

“Jauhnya anak mama ni termenung. Tak kerja ke?” Punggungnya dilabuh bersebelahan dengan Aqilah.

Hanya senyuman kecil yang terhias pada bibir merah itu. Wajah Datin Sofea dipandang penuh kasih. Lambat-lambat dia menjawab, “Ila ambil cuti hari ni. Nak melawat mama dengan papa. Tapi, papa pula tak ada kat rumah. Ingatkan bila dah bersara, papa selalu ada kat rumah. Ini tak, macam sama saja masa kerja dulu”

Meledak tawa Datin Sofea. “Amboi, anak mama dah pandai berleter sekarang ni. Ikut siapalah eak?”

Membulat mata Aqilah. “Mama ni, ada pula macam tu” Muncung di mulutnya sudah kelihatan memanjang.

Tawa Datin Sofea masih lagi mengalunkan irama lagu.

“Mama ni, seriuslah sikit” Aqilah mengetap bibir.

Datin Sofea kembali serius. “Anak mama ni, makin sensitif sekarang. Mama gurau je. Haikal apa khabar?”

“Alhamdulillah. Abang Haikal sihat. Dia sibuk sikit”, balasnya tenang.

“Baguslah kalau macam tu. Senang hati mama dengan papa tengok”

“Ila rindulah nak balik Kedah”, luah Aqilah perlahan.

“Hah, ajaklah Haikal balik. Suruh dia ambil cuti”, cadang Datin Sofea.

“Memanglah Ila ingat macam tu juga. Abang Haikal pun sibuk dengan kerja. Ila pun dapat undangan daripada Azhar. Dia nak kahwin. Ana pun ada jemput datang ulangtahun perkahwinan keluarga dia”

“Kalau Ila ada masa, pergilah”

“Ila memang ada masa. Abang Haikal yang tak ada masa”, tutur Aqilah tetap dengan senyuman yang dibuat-buat.

Nafas Datin Sofea mengalun lembut. Tangan Aqilah dicapai lalu digenggam erat. “Bincanglah dengan Haikal elok-elok”

“Tengoklah macam mana nanti” Ada sebak yang mula bertandang di hatinya. Bagaimana dia harus berbincang dengan Haikal. Sedangkan, Haikal tidak lagi pedulikannya. Hubungan mereka semakin pudar. Dia mahukan Haikal yang dulu. Tapi, dapatkah dia memiliki sekeping hati Haikal semula? Sedangkan, salahnya tidaklah terlalu besar. Dan, dia sendiri sudah mengakui kesalahan serta meminta maaf. Namun, semuanya hanya sia-sia saja.

“Hah, tengok tu. Termenung lagi!”, sergah Datin Sofea lantas memicit hidung Aqilah.

Aqilah sekadar tersengih. Menutup gundah di hati. “Kalau boleh, memang Ila nak tidur sini. Tapi, tempat isteri kan kat sisi suami”

“Hah, pandai pun”

“Pandaikan Ila ni”, seloroh Aqilah bersahaja.

“Eleh, perasan”, ejek Datin Sofea mencebik bibir.

“Amboi, mama yang puji Ila tadi. Mana ada Ila perasan seorang diri”

“Mama cakap saja. Tak puji pun” Datin Sofea tetap tidak mahu mengalah.

“Tak apa. Kalau mama tak puji, biar Ila puji diri sendiri” Tawa Aqilah meletus juga. Tatkala keceriaan mula terukir di wajah Aqilah, kedengaran...

“Assalammualaikum...”

“Waalaikumussalam”, jawab Aqilah dan Datin Sofea serentak. Mata mereka saling berpandangan. Datin Sofea sudah bangun dari sofa. Aqilah tetap juga di situ. Tubuhnya seolah-olah kaku saja. Punggungnya pula bagaikan digam. Sedangkan, dia sudah tahu siapa gerangan yang memberi salam.

“Ila, Haikal datang ni”, laung Datin Sofea di muka pintu.

Entah dari mana datangnya kekuatan, kakinya diatur kemas menuju ke pintu utama. Sebaik saja tubuhnya terpacak di hadapan Haikal, tiada lagi Datin Sofea di situ. Mungkin juga ke dapur.
           
“Mana mama?”, tanya Aqilah dengan mata meliar tajam.

Haikal diam. Hanya jari telunjuk saja yang diangkat lalu ditunding ke arah luar rumah. Kelihatan Datin Sofea sudah menuju ke arah pokok bunganya.

Aqilah mengangguk-angguk tanda mengerti. “Masuklah”, ujar Aqilah cuba memaniskan wajah.

“Dah lama kat sini?” Haikal sekadar berbasa-basi.

“Saya tak tidur sini pun. Awak tidur sini ke malam ni?”

Bahu Haikal diangkat bagi menjawab pertanyaan Aqilah.

“Saya buatkan air”, ujar Aqilah perlahan. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk berbual. Mati akal dibuatnya!

Haikal tetap diam. Dia menyandarkan badan di sofa sambil mata dipejamkan seketika.

Sabarlah wahai hati. Ucap dasar hati Aqilah. Dia terus berlalu ke dapur. Biarlah layanan Haikal padanya pudar. Asalkan, dia dapat menatap wajah Haikal. Sekurang-kurangnya, terubat sikit rindu di hati.

“Dia suka minum jus epal. Aku buat jus epal sajalah kat dia”, gumam Aqilah seorang diri. Tidak sedar bahawa dirinya kini diperhati oleh seseorang. Siapa lagi kalau bukan Haikal!

Bibir Haikal menguntum senyuman kecil. Belakang tubuh isterinya dipandang lama. Maafkan abang buat Ila macam ni. Bukan abang tak sayangkan Ila. Abang terlalu sayangkan Ila. Cuma, abang terasa diri ni terlalu rendah tarafnya. Abang nak buktikan yang abang mampu berdiri sama taraf dengan Ila. Maafkan abang, sayang. Bisik hati kecilnya.

“Yang kamu berdiri kat sini kenapa?”, sergah Datin Sofea dari belakang.

Haikal tersentak. Aqilah juga tersentak. Pantas juga dia mengalih pandangan ke belakang. Matanya dan mata Haikal saling menikam antara satu sama lain.

“Eehhheeemmmm. Tiba-tiba sakit pula tekak mama ni. Mama naik dululah”, ujar Datin Sofea bersahaja.

Dia mula mengatur langkah menuju ke tangga. Namun, langkahnya terhenti seketika. Dia berpaling semula ke belakang. Lambat-lambat dia menyambung, “Mama telefon papa tadi. Papa suruh kamu berdua tidur kat sini. Lepas maghrib nanti, kita pergi makan malam kat luar. Mak Jah pun ambil cuti tiga hari. Mama naik dulu” Datin Sofea sudah tersenyum penuh makna. Sayangnya, dia sendiri tidak tahu akan permasalahan yang melanda rumahtangga anak menantunya. Langkah kakinya laju menuju ke kamar tidur.

Sementara itu, Aqilah sudah merapati Haikal yang berdiri di ruang pintu dapur. Penuh sopan, gelas yang dipenuhi jus epal dihulurkan kepada Haikal. “Minumlah. Saya nak naik atas dulu”

Sebaik saja gelas bertukar tangan, Aqilah terus berlalu. Hatinya terasa sebak sangat. Seakan-akan ada besi tajam yang menyucuk hatinya tika ini. Makin lama dia berdepan dengan Haikal, makin terseksa jiwa dan raganya. Air mata yang hampir menitis, pantas diseka laju. Dia tidak mahu menangis lagi. Biarlah masa yang tentukan segala-galanya.

Pandangan Haikal sayu memandang langkah Aqilah. Lemah saja dia melihat langkah itu. Sedangkan, melihat wajah Aqilah pun dia sudah tahu. Wajah yang dulunya ceria dan bibir yang sentiasa dihiasi dengan senyuman menawan. Kini, wajah itu dipalit kesedihan dan senyuman mekar Aqilah tiada lagi serinya. Senyuman yang hanya dibuat-buat bagi mengaburi pandangan semua orang. Tabahkah isterinya itu? Haikal sendiri tidak pasti. Jus epal yang dibuat oleh Aqilah diteguk penuh nikmat. Kejamkah dia pada Aqilah? Soalan itu terus berlalu tanpa ada jawapannya.

*****

“ILA sukalah tu, dapat makan makanan kegemaran dia”

Kening Aqilah terangkat sebelah. “Ila kan suka makan kat sini. Tak payah nak tunggu lama-lama”, balas Aqilah laju.

Haikal yang mendengar hanya menggeleng-geleng kepalanya. “Mama dengan papa tak apa ke makan kat sini? Kalau nak, kita bungkus saja makanan Ila. Boleh makan kat tempat lain nanti” Kasihan pula dia melihat Datuk Johar dan Datin Sofea yang terlalu mengikut rentak Aqilah.

“Papa dengan mama tak kisah. Lama juga papa dengan mama tak makan makanan macam ni”, ujar Datuk Johar lalu ketawa kecil.

Kening Haikal terangkat. “Agak-agaklah, lama mana tu mama, papa?”, soal Haikal cuba memaniskan bicara.

Terbit rasa rindu dalam hati Aqilah. Ya, dia merindui nada suara Haikal. Biarpun dia tahu Haikal sekadar cuba menjaga hati kedua-dua orang tuanya. Namun, rindunya pada Haikal tidak pernah padam. Biarlah Haikal benci padanya. Asalkan dia tahu cintanya pada Haikal makin mendalam. Walaupun, perkahwinannya dengan Haikal bukan atas dasar cinta.

“Ila, lama termenung. Kenapa tak makan lagi?”, soal Datin Sofea.

Aqilah tersentak. Terpinga-pinga dia seketika.

“Makanlah. Takkan nak tengok saja makanan tu?”, celah Haikal perlahan.

“Hah?”

“Tengok tu...”, sampuk Datuk Johar pula.

Jauh di dasar hati Haikal, ada satu perasaan geli hati yang menerjah tiba-tiba. Raut wajah isterinya begitu comel dan mencuit hati kecilnya. Tapi, apabila terkenangkan akan hatinya yang begitu terasa dengan Aqilah, membuatkan dia diam.

“Ila, okey tak?”, tanya Datin Sofea mulai risau.

Anggukan laju Aqilah menjawab bagi pertanyaan Datin Sofea. “Ila okey mama”

“Dah tu, kenapa tak makan?”, soal Haikal dengan lajunya mencelah.

“Entah. Mungkin, Ila rasa sayang kot nak makan. Kasihan makanan ni...”, tutur Aqilah bersahaja.

Membuntang mata Haikal. Manakala, Datin Sofea dan Datuk Johar sudah ketawa besar. Haikal tetap juga dengan egonya. Dia pun mahu ketawa sebenarnya. Lambat-lambat dia memalingkan wajah lalu mulutnya ditekup dengan tangan. Bahunya sudah terhinjut-hinjut menahan tawa.

Aqilah yang perasan akan kelakuan Haikal sudah tersenyum kecil. Dia tahu Haikal mahu ketawa. Hatinya mula menangis. Sebak di dada mulai bertandang. Ya Allah, aku terlalu merindui dirinya. Terlalu merindui suamiku. KAU berikanlah suamiku kepadaku semula. Doa seorang isteri yang hanya terluah dalam hati.

*****









“JAUH sayang termenung”

“Tak termenung pun” Suzana memberi ruang pada Saiful.

“Betul ke ni?”, soal Saiful yang sudah melabuhkan punggung bersebelahan isterinya.

Suzana mengangguk. “Betullah”

“Sayang tengok tv ke atau tv yang tengok sayang?” Saiful sudah tersenyum kecil.

“Kenapa abang tanya macam tu?”

“Sebab, abang tengok, sayang asyik termenung je”

“Ana teringatkan Ila dengan Haikal”, ujar Suzana perlahan.

Saiful diam. Apabila hal suami isteri itu dibangkitkan, dia sendiri akan termenung jauh.

“Hah, abang pula yang termenung” Paha Saiful ditampar lembut.

Tawa besar Saiful memecah kesunyian malam.

“Tengok tu, dia pula yang ketawa”, gumam Suzana lalu mengetap bibir.

“Mana ada” Sisa tawa Saiful masih lagi kedengaran.

“Apa kata abang cuba berbincang dengan Haikal” Suzana memberi cadangan.

Terdiam terus Saiful. Pantas matanya menatap wajah Suzana. “Nak berbincang kenapa pula?”, soal Saiful mula hairan.

Suzana mendengus kecil. Apalah nasib dapat suami yang lambat tangkap macam ni. Harap muka je macho. Alahai, susahnya...Ishk, berdosa kutuk suami sendiri. Astaghfirullahalazim...Hati kecilnya beristighfar berkali-kali.

“Hah, diam pula. Kutuk abanglah tu”, teka Saiful.

Melopong mulut Suzana. Tidak sangka tepat betul tekaan suaminya.

“Hah, betulkan? Kalau tak, takkanlah mulut sayang melopong macam tu. Lagi sekali sayang kutuk abang, siaplah” Saiful mula mengusik.

“Abang ni, tukar topik pula. Orang tengah fikir pasal Ila dengan Haikal”

“Abang tahu...”

“Apa yang abang tahu?”, potong Suzana laju.

“Amboi, tak sempat-sempat abang nak cakap, sayang dah potong. Tak apa, nanti abang cuba. Sayang jangan risau ya. Jadi tak Ila dengan Haikal nak datang majlis tu nanti?”

“Insyaallah kalau ada masa, Ila dengan Haikal datang”

“Hmm, baguslah. Jadi, bolehlah?”, soal Saiful mula berubah nada.

“Boleh apa?”, soal Suzana pura-pura tidak tahu.

“Ala, sayang ni...”

Terus menegak bulu romanya. Sudahlah bahunya dijadikan bantal oleh kepala Saiful.

“Sayang abang tak?”, soal Saiful mula nakal.

“Erkk....Nak tidurlah”, dalih Suzana bingkas bangun.

“Amboi, lajunya sayang lari”

Suzana sudah ketawa kecil. Jauh di dasar hati, tidak terhenti lafaz SYUKUR diucapnya. Berkat kesabarannya, dia memiliki sekeping hati Saiful! Terima kasih Ya Allah....

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)