bab 59 & 60

bab 59

Telefon bimbit Aqilah menjerit-jerit minta diangkat. Apalagi, berlari sakanlah Aqilah jadinya. Seperti pelumba lari dalam acara larian 100 meter. Itu baru seratus meter. Belum lagi 200 meter. Mahu lelah jadinya!

“Assalammualaikum...”, ucap Aqilah termengah-mengah.

“Waalaikumussalam. Kenapa suara termengah-mengah ni?”, soal Hajah Rosiah pelik.

“Ila baru habis lumba lari tadi”, seloroh Aqilah lalu ketawa kecil.

“Macam-macamlah Ila ni. Kalau nak layan si Haikal, mak telefon lain kali sajalah”

Errkkk?? Warna merah sudah menyerbu raut wajahnya. “Eh, taklah. Abang Haikal mana ada. Dia borak dengan papa”

“Oh, mak ingatkan tengah...”

“Ishk, mana ada. Dahsyat betul fikiran mak”, potong Aqilah laju. Bibirnya diketap erat. Malunya!

“Sudahlah, mengarut saja Ila ni”, tukas Hajah Rosiah diselang dengan tawa kecil.

“Mak tu yang fikir bukan-bukan, Ila pula yang kena” Serius, malu!

“Hmmm, Ila dah sihat sepenuhnya?” Topik serius menjadi perbualan antara mereka.

“Alhamdulillah. Sihat dah. Mak jangan risau. Ila kan kuat” Sempat lagi Aqilah mengangkat sebelah tangannya.

“Alhamdulillah. Baguslah kalau macam tu. Lain kali, makan tu kena ikut masa juga”

Argghhh....Kena ceramah lagi. Lepas seorang, seorang yang bagi ceramah. Lama-lama, tak payah korek telinga pun tak apa. Sebab, tahi telinga pun dah cair asyik dengar ceramah je. Ishk, ishk, apalah aku ni. Orang bagi ceramah free lagi. Bukan kena bayar pun! Aqilah bermonolog.

“Baiklah mak. Terima kasih sebab beri nasihat”

“Jangan pula masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sampaikan salam mak pada Haikal”

Aqilah tersengih. Macam tahu-tahu saja! “Insyaallah. Jaga diri dan sampaikan salam Ila pada adik-adik”

“Insyaallah...”

Aqilah melepaskan penat di atas katil. Telefon bimbit dipandang sepi. Senyumannya tetap terukir tatkala memandang wajah Haikal yang terhias di skrin telefonnya. Sikap Haikal yang tiba-tiba berubah membuatkan hatinya tertanya-tanya. Dia tidak mahu Haikal berubah semata-mata mahu menjaga hatinya. Aqilah mengeluh panjang.

‘Abang takkan tinggalkan sayang lagi. Abang minta maaf andai banyak melukakan hati sayang....’

Kata-kata Haikal bagaikan menjelma di kotak fikirannya. Sudah terlalu banyak Haikal berjanji dengannya. Sudah acapkali juga Haikal berjanji tidak akan sakiti hatinya lagi. Tapi, hatinya tetap juga disakiti. Akhirnya, dia sendiri yang telan kesakitan itu sendirian.

Perlukah dia percayakan pada Haikal lagi? Yakinkah dia bahawa Haikal sudah berubah? Atau, itu semua hanyalah sandiwara semata-mata? Dia sendiri tidak pasti akan kebenaran kata-kata Haikal. Biarlah dia teruskan cintanya pada Haikal. Biarpun Haikal sekadar mainkan hati dan perasaannya. Namun, sampai bila dia mampu bertahan? Aqilah buntu mencari jalan kebahagiaan.

“Sayang, jom makan”

Aqilah tersentak. Spontan dia bangun dari pembaringan. Matanya tertancap pada Haikal di muka pintu. Aqilah diam. Bisu seribu kata. Dia kini, bagaikan orang bisu. Langkah Haikal yang makin mendekatinya dipandang sepi.

“Sayang demam ke?”, soal Haikal lantas menyentuh dahi isterinya.

Aqilah pantas mengelak. Haikal tersentak.

“Saya nak turun dulu”, ujar Aqilah perlahan.

Liur Haikal ditelan berkali-kali. Namun, tangannya pantas menahan Aqilah daripada melangkah pergi.
           
“Kita perlu berbincang”, tutur Haikal perlahan. Wajah Aqilah dipandang penuh kasih. Seakan-akan ada rindu yang berbunga mekar tumbuh di hati.

“Kita dah berbincang pun. Nak bincang apa lagi?”, soal Aqilah tetap merendahkan nada suaranya.

“Mengenai kita”, jawab Haikal tepat menikam mata Aqilah.

“Saya nak makan. Kita bincang lain kali”, cantas Aqilah mula rimas.

“Cepat bersiap”, arah Haikal tegas.

Aqilah tercengang. Terus membulat matanya memandang Haikal.

“Kita makan kat luar. Kita perlu berbincang!”

Aqilah bungkam. Ini bukan Haikal yang dia kenal. Haikal di depannya kini, seorang yang ego dan memerintah. Tak suka! Bentak Aqilah dalam diam.

“Abang tunggu Ila kat bawah” Sebaik saja memberi arahan, Haikal terus keluar.

Nafas Aqilah turun naik. Sebalnya makin menggunung. Dia tidak suka dipaksa. Apatah lagi dengan cara Haikal yang terlalu kejam di matanya.

“Aku tak nak ikut dia. Lantaklah apa nak jadi pun”, getus Aqilah terus keluar dari bilik.

Sewaktu dia tiba di hujung anak tangga, kedengaran satu suara...

“Ya Allah, kenapa tak siap lagi? Haikal dah tunggu dalam kereta tu. Pergi bersiap cepat”, arah Datuk Johar sudah mencekak pinggang.

Makin membesar mata Aqilah. Hampir ternganga dia dibuatnya.

“Hah, berdiri kat situ lama-lama kenapa? Pergi bersiap cepat”, sampuk Datin Sofea.

Arghhh!!! Aqilah terus naik dengan perasaan membengkak. “Semua nak ikut kepala dia. Baguslah, satu rumah ikut perangai dia yang entah apa-apa tu. Yang jadi mangsa, aku juga. Tak adil betullah. Mentang-mentanglah dia tu suami, bolehlah buat apa yang dia suka. Tak apa, jangan harap aku nak bagi muka. Siapa dulu suruh sombong sampai biarkan aku seorang diri. Ingat aku tak terasa ke?” Bebelnya panjang lebar.

“Eh, tak boleh. Dia pun pakai baju warna putih juga. Tak mahulah aku nak pakai baju sedondon dengan dia. Macamlah aku dengan dia pasangan yang secocok. Hampeh betul” Aqilah, Aqilah, membebel saja kerjanya.

Selesai membelek dirinya di depan cermin solek, Aqilah terus mencapai beg tangan. Langkahnya dihayun laju.

“Ila pergi dulu” Aqilah bersalaman dengan kedua-dua orang tuanya. Marah macam mana sekalipun, dia tetap menghormati kedua-dua orang tuanya.

“Hati-hati”, pesan Datin Sofea sebaik saja Aqilah sudah bergerak ke pintu utama.

“Okey”, balas Aqilah acuh tak acuh. Langkah Aqilah terus menuju ke kereta. Tiada langsung senyuman pada bibirnya. Yang ada hanyalah raut wajah bengang. Dengan hati yang mendongkol geram, pintu kereta ditutup dengan kasar sebaik saja punggungnya berlabuh pada kerusi kereta.

“Kita nak makan kat mana?”, tanya Haikal beserta senyuman kemenangan.

“Makan kat mulut!”, balas Aqilah penuh sinis.

“Memanglah makan kat mulut. Takkan nak makan guna mata pula”, bidas Haikal tetap dengan senyuman.

Entah kenapa Aqilah sakit hati melihat senyuman itu. Seolah-olah, Haikal sedang mengejeknya.

“Kenapa, salah ke abang senyum?”, soal Haikal seperti tahu apa yang bermain di hati isterinya.

“Tak salah. Teruskan senyuman anda tu”, gumam Aqilah dengan jelingan tajam.

“Sayang jangan jeling macam tu. Tergoda abang nanti”, bisik Haikal lalu mencapai tangan Aqilah.

“Kita nak makan kat mana ni? Kalau rasa tak mahu keluar, makan kat rumah je. Tak perlu nak membazir”, bebel Aqilah seraya menarik tangannya.

Haikal ketawa kecil. “Kita makan kat mulutlah sayang oii” Haikal memulangkan paku buah keras.

Aqilah mendengus kasar. “Kata kat kita pula”, gumam Aqilah perlahan.

Pancuan empat roda itu meluncur laju keluar dari perkarangan rumah. Haikal berharap hati Aqilah akan terbuka dan memberi peluang buatnya. Itu harapannya!
 

bab 60

“Abang nak minta maaf andai banyak sakitkan hati sayang”, ucap Haikal penuh berhati-hati. Khuatir, andai kata-katanya membuatkan Aqilah terasa lagi.
  
“Hmmm...”, balas Aqilah dengan keluhan.

Dahi Haikal kelihatan berkerut. “Sayang dengar tak ni?”

“Hmmm...” Jawapan Aqilah tetap sama.

Haikal menggaru-garu dagunya. “Janganlah hmm saja. Cakaplah sesuatu” Haikal resah.

“Awak nampak tak saya tengah makan?” Aqilah mengangkat ayam goreng di depan Haikal.

“Okey, makanlah dulu” Haikal mengalah.

Yes, menang! “Okey”

Aqilah tetap menikmati makanan dengan hati yang senang. Sedikitpun tidak menghiraukan Haikal di depannya.

Sayangnya, Haikal tidaklah seperti Aqilah sekarang. Seleranya terus hilang. Pandangannya hanya tertumpu pada Aqilah. Dia sendiri akui, Aqilah sangat cantik. Kalau dulu, dia selalu menganggap Aqilah seperti anak kecil dan comel. Tapi, kini tidak lagi. Aqilah makin matang. Dia sendiri dapat lihat semua itu. Mungkin juga, masalah yang menimpa rumahtangganya yang membuatkan Aqilah menjadi seorang wanita yang matang dan berfikiran jauh.

Masih teringat lagi, sewaktu dia dan Aqilah menikmati makanan di ‘Kedai Fatimah Cantik’...

‘....dapat KFC pun dah buat hati saya sejuk. Nanti, kalau saya marah, awak kena belikan saya KFC. Tak pun, bunga ros merah’

Ya, ros merah! Dia akan tawan hati isterinya semula.

“Sedihnya saya tengok ayam tu. Kalau saya ambil boleh?”

Pertanyaan Aqilah membuatkan lamunan Haikal hilang serta-merta.

“Ambillah kalau nak”

“Awak tak lapar ke?” Prihatin juga Aqilah kepada suaminya.

Haikal menggeleng. Abang tak lapar. Tak makan pun tak apa. Asalkan sayang ada di sisi abang. Kata-kata itu hanya terjawab di dalam hati. Entah kenapa dia merasa pilu sangat.

Aqilah pura-pura tersenyum sambil menikmati makanan yang baru diambil dari pinggan suaminya. Entah kenapa dia berasa bersalah pada Haikal. Seperti ada awan mendung yang berkumpul pada wajahnya.

“Betul ni, awak tak lapar?”, soal Aqilah untuk kesekian kalinya.

Haikal menggeleng lagi. “Makanlah”, ujar Haikal diakhiri dengan segaris senyuman.

Kunyahan Aqilah tidak serancak pada mulanya tadi. Dia terasa berat untuk mengunyah dan terasa kelat untuk ditelan. Mata Haikal yang asyik memandangnya membuatkan dirinya jadi serba salah.

“Hmmm...Awak nak bincang pasal apa? Kalau tak ada apa-apa, kita balik sajalah”, luah Aqilah tidak mahu lama-lama di sini.

“Pasal kita. Abang nak kita mula lagi sekali” Tiada rasa jemu untuk dia menatap wajah Aqilah.

“Saya tak faham”

“Abang tahu, sayang terasa hati dengan abang”, tutur Haikal kesal mengenangkan sikapnya pada Aqilah selama ini.

“Adakah hati saya tak akan sakit lagi untuk hari-hari yang mendatang?” Aqilah inginkan kepastian.

“Abang tak jamin. Tapi, berilah abang peluang untuk kali ni saja” 
“Cakap memang senang”, balas Aqilah sinis.

“Abang tahu...”

“Kadang-kadang, saya tawar hati dengan sikap awak”, celah Aqilah belum sempat Haikal menghabiskan kata-kata.

“Sayang, please....Jangan cakap macam tu lagi”, pohon Haikal cuba mencapai tangan Aqilah.

Namun, Aqilah lagi pantas melarikan tangannya. “Memang saya boleh kalau tak bangkitkan isu yang lepas-lepas. Tapi, hati saya tetap tak boleh lupa apa yang awak dah buat. Saya tahu cinta awak bukan pada saya. Semua tu saya boleh terima. Kalau awak nak kahwin dengan dia pun, tunggulah sampai mata saya tertutup dulu...”

“Kenapa cakap macam tu?”

“Maaf, saya nak ke tandas kejap” Aqilah bingkas bangun. Sebelum air matanya jatuh, lebih baik dia meminta diri. Dia tidak mahu lemah di hadapan Haikal.

Haikal menelan liur. Dia sendiri kelu apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Seketika, otaknya berputar ligat mengingati perbualan dengan Hajah Rosiah tempoh hari.

‘Mak bukannya apa. Kamu tak beritahu Ila hal yang sebenar ke? Pasal hal rumahtangga kamu goyah dulu’

‘....macam itulah orang lelaki. Asyik nak sembunyi hal yang sebenar saja. Cubalah kamu cerita kat Ila. Orang perempuan ni, selagi dia tak dapat tahu punca masalah sebenar, selagi itulah dia akan bertanya. Mak takut nanti, kamu yang hilang sabar pula’

“Ya Allah, macam manalah aku nak terangkan pada Ila?”, keluh Haikal sambil meraup mukanya berkali-kali. Memang Aqilah tidak bertanyakan akan hal itu. Namun, dia sendiri dapat tahu apa yang Aqilah cuba sampaikan. Dia tidak mahu buka aib seseorang. Walaupun masalah rumahtangganya berpunca daripada seseorang yang pernah menakluki hatinya dahulu. Kini dan selamanya, hati ini tetap milik seorang insan yang amat disayangi iaitu Aqilah!
            
 “Assalammualaikum Haikal. Awak buat apa kat sini?”

Laju Haikal mendongakkan kepalanya. “Waalaikumussalam. Eh, Zu...”

“Seorang je ke?”

“Saya dengan Ila. Dia ke tandas kejap”

“Oh. Kalau macam tu, bolehlah saya jumpa dia” Zurina sudah merangka-rangka tentang apa yang akan dijelaskan sebentar lagi.

Haikal memprotes. “Awak baliklah dulu Zu. Tak elok kita nak cerita hal sebenar kat sini. Saya tak mahu dia tahu. Apa yang lepas, biarlah lepas. Saya dah lupakan” Haikal cuba berlembut.

Kepala Zurina digeleng berkali-kali. “Mana boleh macam tu. Dia kena tahu hal yang sebenar. Ini untuk rumahtangga awak juga”

“Bukan sekarang Zu. Awak salah waktu nanti...” Belum sempat Haikal menghabiskan ayatnya, kedengaran satu suara betul-betul di belakang Zurina.

“Saya nak balik. Dah habis ke berbincang?”

Zurina terdiam. Haikal lagilah. Mati kutu dibuatnya.

Aqilah mencapai beg tangan lantas menghayun langkah sebesar dan secepat yang mungkin.

“Zu, awak balik dulu. Saya harap awak faham” Haikal meninggalkan Zurina yang sudah terpinga-pinga seorang diri. Langkah isterinya dikejar dengan hati yang penuh debu-debu gelisah.

*****

MATA HAIKAL kian merah menyala. Umpama biji saga jadinya. Rahangnya bergerak-gerak. Nafasnya sudah tidak teratur lagi. Hatinya pedih. Genggaman telefon bimbit Aqilah di tangannya makin erat.

Saiful : sabarlah sayang....

Aqilah : kenapa semua ni terjadi pada aku??

Saiful : tu tandanya DIA nak uji..

Aqilah : tapi, aku tak mampu...

Tubuh Haikal terkulai layu di permaidani. Telefon bimbit Aqilah terlepas dari genggamannya. Ya Allah, kenapa semua ni jadi pada aku? Rintih Haikal memeluk lututnya. Mukanya dibenam pada lutut.

Aqilah yang baru saja masuk ke dalam bilik sudah dihujani kehairanan. Sakit ke? Soal hati kecilnya. Tubuh Haikal terus dihampiri. Aqilah bersimpuh bersebelahan Haikal.

“Awak, sakit ke?”, tanya Aqilah resah. Mestilah dia resah jika sesuatu berlaku pada Haikal. Marah-marah pun, dia tetap sayangkan suami sendiri!

Haikal tetap juga begitu. Aqilah cuba memegang bahu Haikal. “Awak, jangan buat saya takut...”

Wajah Haikal diangkat. Matanya dan mata Aqilah saling menikam antara satu sama lain.

“Kenapa mata awak merah?” Tanda tanya sudah memenuhi ruang muka Aqilah.

“Perlu ke awak share masalah kita dengan Saiful?”, soal Haikal sayu.

Kening Aqilah hampir bertaut. “Awak cakap apa ni?”

“Ni apa? Dengan Saiful kan?” Haikal mengambil telefon bimbit Aqilah lalu dibuka sms yang dibacanya tadi.

“Awak baca sms saya?”, soal Aqilah bagaikan tidak percaya.

Haikal mengeluh panjang. “Ila masih sayangkan dia lagi ke?”, soal Haikal terus-terusan menatap wajah isterinya.

Aqilah pantas menggeleng. “Awak salah faham. Memang ni nombor Saiful. Tapi, saya mesej dengan Ana. Dia tak ada kredit, sebab tu guna nombor Saiful”

“Tapi, apa kaitan Ana dengan Saiful?” Dia keliru.

“Suami isteri”, jawab Aqilah tanpa ragu-ragu.

“Abang tak faham...”

“Tak apalah awak. Terlalu banyak yang awak tak tahu. Sebab tu, saya ajak awak pergi majlis rumah Ana. Kalau awak pergi, mesti awak tahu segala-galanya. Tapi, awak biar saya seorang diri”, luah Aqilah pedih mengingati apa yang berlaku.

Haikal makin bersalah. “Abang minta maaf...”

Aqilah menundukkan wajahnya. “Tak apalah awak. Benda dah jadi” Senyuman hambar terlukis pada bibirnya. “Saya tak pernah ada orang lain selain awak”, sambung Aqilah lantas memandang Haikal.

“Saya cuma nak awak tahu, yang saya sayangkan awak, rindukan awak, cintakan awak. Semua perasaan tu, saya simpan dan beri pada awak. Awak terlalu baik Haikal. Mungkin, Zu lagi layak untuk awak” Aqilah bangun dari duduknya.

Namun, dia terduduk kembali sebaik saja tangannya ditarik oleh Haikal. “Jangan tinggalkan abang”, rayu Haikal lantas menarik Aqilah ke dalam pelukan.

Aqilah terpempan. Lama kelamaan Aqilah membalas pelukan suaminya. Dia menangis dalam dakapan Haikal. Hatinya pedih. Hatinya terluka.

Haikal merenggangkan pelukan. Air mata isterinya diseka lembut. “Jangan nangis sayang. Abang tak sanggup tengok sayang macam ni”

“Awak selalu buat saya nangis. Hati saya sakit...”, luah Aqilah memukul-mukul dada Haikal.

“Maafkan abang” Tubuh Aqilah dirangkul erat. “Abang janji tak sakitkan hati sayang” Haikal melafazkan janji.
 




2 comments:

  1. awk x smbg nvel ni lgi ka.cita best smbg la smpai abis

    ReplyDelete
    Replies
    1. sambung. tinggal lagi 7 bab je. Insyaallah sy sambungkan. sabar ye.
      Terima kasih sudi membaca :)

      Delete

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)