bab 61 & 62


bab 61

Aqilah termenung jauh. Hatinya dilanda kesunyian. Tiada peneman untuk berbual mahupun bermesra. Haikal terlalu sibuk dengan kerjanya. Dia pula, menjadi penunggu saban malam. Hatinya terlalu ingin mengetahui hal kerja Haikal. Namun, Haikal seperti mahu berahsia dengannya. Pernah juga dia bangkitkan isu mengenai Johar Holding. Tetapi, semuanya berakhir dengan pergaduhan. Bukannya berakhir dengan ketenangan!

Angin malam yang membelai tubuhnya membuatkan dia terasa segar. Novel yang berjudul ‘Budak Setan’ ditutup lalu diletakkan bersebelahan dengannya. Bibirnya menguntum senyuman manis. Kerana novel itu juga, dia dan Haikal pernah bergaduh. Memalukan sungguh. Kenangan itu tidak akan dilupa sehingga matanya terpejam.

Dalam duduk keseorangan diri, mindanya berkhayal juga untuk mempunyai cahaya mata. Alangkah indah andai dia dan Haikal dikurnia cahaya mata. Pasti meriah rumah mewah ini dengan tangisan, tawa dan kerenah anak kecil. Jika tidak, sudah tentu rumahtangganya dan Haikal sudah lengkap. Bolehlah dipanggil sebagai ‘Perfect Family’. Mungkin juga, rezeki dia dan Haikal lambat. Aqilah menghembus nafas dengan tenang.

Kenderaan pacuan empat roda yang baru saja memasuki halaman rumah membuatkan khayalannya hilang. Berterbangan dibawa bersama-sama angin malam. Dari jauh dia memerhati Haikal keluar dari tempat pemanduan. Senyumannya kian mekar.

“Sayang buat apa kat sini? Tak sejuk ke?”, soal Haikal yang sudah berdiri di depannya.

Aqilah menggeleng laju. Dia mengengsot sedikit memberi ruang pada Haikal.

“Penatnya...” Haikal memicit-micit lehernya sebaik saja duduk di sebelah Aqilah.

“Itulah, kerja sangat. Ila suruh ambil balik jawatan tu, tak mahu” Aqilah sengaja membuka isu hangat lagi.

Haikal tersenyum hambar. Dia tidak mahu membalas. Setiap kali isu itu dibangkitkan, dia hilang mood. Lebih baik, dia berdiam diri.
           
“Abang...”

“Sayang masak apa malam ni? Abang laparlah”, potong Haikal cuba menukar topik.

Aqilah menghela nafas panjang. “Ila masak tom yam campur, telur bungkus, ulam dengan sambal belacan” Mukanya dimaniskan.

“Hmm...Abang dengar pun dah terliur. Jom masuk dalam” Haikal bingkas bangun.

Tanpa banyak kata, Aqilah turut bangun. Namun, belum sempat dia melangkah, tubuhnya sudah dicempung oleh Haikal. Terjerit dia dengan perbuatan Haikal.

“Tak penat?”, tanya Aqilah manja. Kepalanya disandarkan di dada Haikal.

“Penat abang hilang bila tengok sayang”, bisik Haikal.

“Lapar abang tak hilang ke?”

“Lapar abang tak hilanglah sayang. Lepas makan malam, abang nak makan sayang pula. Boleh?”

Berdiri bulu roma Aqilah. “Eiii, gatalnya” Pipi Haikal ditampar lembut. Marah-marah sayanglah katakan! Tawa Haikal meletus juga. Hilang terus penatnya memikirkan hal kerja.

*****

KEINDAHAN malam tidak langsung menjemukan dirinya untuk menikmati suasana yang mendamaikan. Sungguh menenteramkan jiwa. Nafasnya ditarik sedalam yang mungkin lalu dilepaskan perlahan-lahan. Lagaknya seperti tidak mahu melepaskan sedikitpun nikmat yang dikurniakan oleh Maha Pencipta. Matanya dipejam rapat. Tangannya didepa seluas yang mungkin. Dua ulas bibirnya tidak sirna dengan garis-garis senyuman.

“Boleh join?”, bisik satu suara yang sudah memeluk pinggangnya dari belakang.

Aqilah tetap diam. Kehadiran Haikal tidak sedikitpun mengganggu ketenangannya. Dia leka dalam dunianya.

“Tak sejuk?”, tanya Haikal masih lagi berbisik.

Aqilah menjawab dengan gelengan.

“Abang rindukan sayang...”, ucap Haikal romantis. Dagunya dijatuhkan ke atas bahu Aqilah.

Aqilah tetap diam. Tangan Haikal yang melingkari pinggangnya disentuh lembut.

“Abang cintakan sayang”, ucap Haikal begitu tulus.

Aqilah sekadar tersenyum. Dia suka mendengar kata-kata indah yang keluar dari mulut Haikal. Namun, dia tidak yakin. Hatinya masih lagi ragu-ragu.

“Abang tahu sayang masih lagi ragu-ragu” Haikal seakan dapat membaca fikiran isterinya.

Aqilah mengalihkan tubuh lalu menghadap Haikal. “Macam mana abang tahu Ila masih lagi ragukan abang?”

Hanya bahu Haikal saja yang terangkat. “Abang teka je. Tapi, tekaan abang selalunya betul”

Leher Haikal dirangkul erat. “Abang sayangkan Ila?”

“Mestilah abang sayang”

Aqilah tersenyum. Rangkulan pada leher Haikal kian longgar. Jarinya bermain-main pada kolar baju suaminya. “Kalau abang sayangkan Ila, boleh Ila minta sesuatu tak?”

“Lain macam je isteri abang malam ni. Sayang nak duit ke?”, teka Haikal tenang.

“Abang ni, macamlah Ila ni kaki shopping” Bahu Haikal ditampar manja.

“Alololo, nak merajuklah tu” Hidungnya dilaga-lagakan pada hidung Aqilah.

Aqilah ketawa kecil tatkala Haikal menggeletek pinggangnya. “Okey, okey, Ila tak merajuk”

Haikal turut terhibur dengan keletah Aqilah. “Apa permintaan sayang?”

“Kalau sayang cakap, abang jangan marah tau. Janji?” Aqilah menaikkan jari kelingkingnya.

Kening Haikal terangkat. “Kalau pasal benda lain abang tak marah. Melainkan, pasal kerja”

Aqilah diam. Dia sudah mengagak Haikal tidak mahu menyentuh langsung topik mengenai kerja. Aqilah mengalihkan tubuhnya. Kepekatan malam yang menyelubungi bumi dipandang sepi. Hanya keluhan kecil daripada Haikal yang kedengaran.

“Kenapa sayang tak faham abang?”

Membatu dan membisu. Itu saja yang Aqilah dapat lakukan. Dia kecewa dengan Haikal.

“Sayang, cubalah faham abang...”

“Sampai bila kita nak rahsiakan benda ni daripada pengetahuan papa? Ila dah hilang idea bila berdepan dengan papa”

“Nanti abang beritahu tentang hal yang sebenar. Okey?” Haikal cuba mengalah.

“Ila nak sangat tahu tentang kerja abang. Tak boleh ke abang beritahu Ila”

“Berilah perniagaan abang ni kukuh dulu. Bila abang dah yakin, abang akan beritahu Ila”, terang Haikal tenang. Cuba yakinkan isterinya.

Aqilah memeluk tubuh. “Ila tahu abang terasa dengan Ila pasal kerja. Tapi, Ila nak abang tahu yang Ila tak pernah niat nak rendahkan maruah abang sebagai seorang suami mahupun majikan masa tu. Ila hormat abang sebagai suami masa di rumah. Dan, Ila hormat abang sebagai majikan masa di office. Maafkan Ila kalau kata-kata Ila yang membuatkan abang berhenti dari Johar Holding” Aqilah mengalihkan tubuhnya. Matanya menikam anak mata Haikal.

“Ila tahu abang buat semua tu sebab nak buktikan yang abang mampu. Ila faham ego seorang lelaki. Apa yang Ila nakkan, abang sentiasa ada di sisi Ila. Sikit pun Ila tak kisah pangkat abang masa di Johar Holding. Maafkan Ila andai terlalu mendesak abang”, sambung Aqilah seraya memegang tangan Haikal.

“Beri abang masa. Memang abang terlalu ego. Abang terasa hati bila Ila kata macam tu. Yela, siapalah abang nak berdampingan dengan Ila yang umpama merak kayangan. Abang ni pula...”

“Syhhh....” Mulut Haikal ditutup dengan jari telunjuknya. “Jangan cakap macam tu. Ila tak pernah bandingkan abang dengan sesiapa. Ila minta maaf..” Kepalanya dibenamkan di dada Haikal.

Haikal diam. Lambat-lambat dia membalas pelukan isterinya. “Abang sayang Ila sepenuh hati. Terlalu sayang”, ucap Haikal dalam berbisik.

“Ila pun sayang abang”, ucap Aqilah masih lagi dalam dakapan suaminya.

“Sayang ingat tak pasal honeymoon yang pernah abang cadangkan?”

“Hmmm...” Aqilah meleraikan pelukan. Wajah Haikal dipandang sambil otaknya ligat mengingati cadangan Haikal mengenai honeymoon.

“Kita bercuti nak? Abang nak habiskan masa dengan sayang. Hanya kita berdua je” Jemari Aqilah digenggam erat.

“Abang nak honeymoon kat mana?”

“Sayang tak nak beri cadangan ke?”, soal Haikal dengan senyuman tidak lekang dari bibir.

“Kita honeymoon kat rumah sajalah. Abang dengan Ila je kat rumah ni. Itupun dah berdua juga”, seloroh Aqilah lalu ketawa kecil.

Haikal mengetap bibirnya. “Amboi sayang ni, orang serius tau. Kita honeymoon kat Pulau Pangkor nak?”

Aqilah diam. Tidak lagi memberi kata putus. “Tak best Pulau Pangkor” Aqilah menolak cadangan Haikal.

“Okey. Kalau macam tu, sayang je la yang decide. Abang ikut je”

“Kita ke Cameron nak tak? Sejuk sikit tempat tu”, cadang Aqilah dengan senyuman lebar menguntum di bibirnya.

Haikal mengangguk laju. Terus tubuh Aqilah didakap erat. Sayang isteri abang!


bab 62

“Mana orang tu Azhar? Dah lewat sangat ni” Sesekali matanya memandang jam di pergelangan tangan.

“Sabar puan. Kejap lagi sampailah tu”

“Dah habis waktu lunch ni” Pantang betul dia apabila berjanji tapi tidak ditepati.

“Mungkin ada masalah kot. Kejap, saya call” Belum sempat dia menekan punat hijau, orang yang ditunggu-tunggu, tiba juga.

“Assalammualaikum”

“Waalaikumussalam”, balas Aqilah tidak langsung memandang pada gerangan yang memberi salam.

Azhar mengukir senyuman manis. “Waalaikumussalam Cik Zurina. Kenalkan, ini Puan Aqilah”

Mendengar saja nama itu, Aqilah pantas mendongakkan wajah.

“Hai Puan Aqilah. Nice to meet you” Tangannya cuba dihulurkan pada Aqilah. Teragak-agak Aqilah menyambut huluran tangan Zurina.

“Maaf sangat-sangat sebab lambat. Temankan partner saya ke hospital tadi. Ada kemalangan kecil kat site

“Tak apa. Jadi, boleh kita mulakan perbincangan?” Aqilah sedaya upaya cuba memaniskan muka.

“Puan Aqilah okey?”, tanya Zurina penuh sopan.

Aqilah mengangguk laju.

“Tak pun, Puan Aqilah nak balik?”, soal Zurina inginkan kepastian.

“Balik? Maksud Cik Zurina?” Sengaja nama Zurina ditekannya.

Partner yang kemalangan masa kat site, adalah suami Puan Aqilah”, jelas Zurina dengan senyuman lebar.

Tergamam Aqilah seketika. “Encik Haikal?”

Zurina mengangguk laju.

“Azhar, awak tolong gantikan boleh?” Aqilah betul-betul berharap.

“Baiklah puan”, jawab Azhar laju. Sedangkan, dia sendiri bingung.

Aqilah bingkas bangun. “Maafkan saya”

Belum sempat Aqilah melangkah, Zurina sudah memegang tangannya. Pandangan Aqilah dan Zurina saling menikam tajam. “Tolong jaga Haikal sebaik yang mungkin”, tutur Zurina dalam keadaan berbisik.

Aqilah tidak mengerti maksud disebalik kata-kata Zurina. Yang dia tahu, kakinya terus melangkah laju sebaik saja pegangan Zurina pada tangannya terlerai. Entah kenapa dia seakan-akan ditipu oleh suami sendiri. Jika benar Haikal sayangkannya, kenapa Zurina perlu terlibat sama dalam perniagaan yang Haikal baru mulakan? Sungguh, dia tidak faham!

Aqilah menekan pedal minyak dengan kuat. Sekuat hatinya yang sedang sakit. Perasaan marah, sedih, pilu semuanya bergabung menjadi satu. Hatinya berbolak-balik. Air matanya menitis. Adakah dia risaukan keadaan Haikal? Sudah semestinya dia risaukan Haikal. Adakah dia rasa kecewa dengan Haikal? Ya, dia kecewa kerana Haikal menyembunyikan kenyataan yang sebenar. Kenyataan mengenai hati dan perasaan.

Dia tahu, hubungannya dengan Haikal tidak seperti yang diharap-harapkan selama ini. Mereka disatukan dalam ikatan yang sah. Ya, ikatan yang sah, tapi tiada cinta yang mengikatkan hati antara dia mahupun Haikal.

Sebaik saja kereta diparkir, tangannya ligat menutup enjin kereta. Dengan hati yang gusar, dia terus keluar dari perut kereta.

“Awal sayang balik?”, soal Haikal yang sedang bersantai di ruang tamu.

Aqilah tersentak. Pandangannya lebih tertumpu pada tangan kanan Haikal yang sudah berbalut. Aqilah berlagak tenang. Cuba menyembunyikan hal yang sebenar. Dengan senyuman yang penuh kepura-puraan, Aqilah menghampiri Haikal. Tanpa bersalaman dengan Haikal, Aqilah terus melabuhkan punggung di sofa. Baru saja dia mahu memejamkan mata, Haikal sudah menyapanya.

“Takkan sampai lupa nak salam abang?”

Erkk?? Ishk, kau kena pura-pura! Jangan nampakkan sangat yang kau marah atau terasa dengan dia! Hatinya berbisik sesama sendiri.

Terus Aqilah mendapatkan Haikal. “Maaf, Ila penat. Terlupa pula”, tukas Aqilah bersahaja. “Eh, kenapa dengan tangan abang ni?” Mantap betul lakonan dia pada hari ini. Tapi, sampai bila dia harus berlakon? Hatinya tetap sakit juga.

“Biasalah. Ila pun tahukan kat site macam mana. Nak buat macam mana, benda dah nak jadi”, balas Haikal tetap tenang.

Aqilah diam. Adakah tenang Haikal itu boleh membuatkan hatinya reda? Aqilah buntu.

“Sayang, kenapa diam saja ni?”

“Hah?” Dia terpinga-pinga.

“Sayang ada masalah ke? Awal balik hari ni”

Laju saja Aqilah menggeleng. “Saja Ila balik awal. Siapa yang hantarkan abang ke hospital?” Sengaja Aqilah ingin tahu dari mulut suaminya.

“Hmm...Kawan abang tolong hantarkan”

Hati Aqilah diserbu rasa pilu. “Oh, baik kawan abang tu. Kalau tak, kasihan suami Ila yang kacak ni” Pura-pura Aqilah berjenaka.

Haikal sudah tersengih seperti kerang busuk. Hanya Allah saja yang tahu perasaan hatinya untuk ceritakan hal yang sebenar. Dia tidak mahu Aqilah terasa. Biarlah Aqilah tahu yang dia benar-benar cinta dan sayangkan Aqilah.

“Abang nak makan? Ila boleh tolong masakkan”

“Tak perlu susah-susah. Abang dah makan masa keluar hospital tadi. Sepatutnya, pergi klinik pun dah okey. Tapi, kawan abang yang nak sangat ke hospital. Abang ikut sajalah”

Oh, patutlah Zurina datang lambat. Dia orang pergi makan rupanya. Hmm...Siapalah aku nak masuk campur dalam hubungan mereka.

“Sayang, termenung lagi. Kenapa ni?”

Sekali lagi Aqilah tersentak. Bibirnya terus menguntum senyuman palsu. Tangan Haikal yang berada di pipinya disentuh lembut. “Kalau macam tu, Ila tak perlu masaklah. Kita makan malam sajalah. Boleh?”

Haikal mengangguk setuju. “Sayang nak masuk kerja pukul berapa pula ni?”

“Ila tak masuk kerja kot. Esokkan hari minggu. Ila ingat, nak keluar dengan Ana. Abang nak ikut tak?”

“Abang ada hal sayang. Busy sikit. Tak boleh temankan sayang” Rasa bersalah makin menghimpit jiwanya.

Aqilah sudah mengagak jawapan yang akan Haikal berikan. Dia berusaha bertenang. “Tak apalah kalau macam tu. Kerja abang lagi penting. Ila nak naik atas dulu. Boleh?” Seperti meminta izin saja lagaknya.

“Maaf sayang. Abang tak boleh nak dukung sayang” Pandangan Haikal jatuh pada tangannya yang berbalut.

Aqilah tetap tersenyum. “Tak apa. Ila faham”, balas Aqilah terus bangun. Dengan langkah yang lemah, Aqilah mendaki satu per satu anak tangga.

‘Maaf sayang. Abang tak boleh nak dukung sayang’

Tak perlu lagi abang susah-susah nak dukung Ila. Tak perlu abang terlalu manjakan Ila. Biarkan Ila biasakan diri tanpa abang. Andai kita tiada jodoh, sekurang-kurangnya, Ila masih lagi kuat untuk menempuh hari-hari yang bakal mendatang. Ila sentiasa doakan yang terbaik buat abang. Buatlah apa yang abang suka. Ila takkan halang lagi. Untuk apa Ila perlu menghalang.

Kata-kata cinta yang abang ucapkan, kata-kata sayang yang abang ucapkan, mahupun kata-kata rindu yang abang ucapkan, Ila akan simpan. Walaupun, kata-kata itu palsu. Ila tak kisah. Sekurang-kurangnya, Ila ada kenangan tatkala bersama-sama abang.

Hati kecil Aqilah menelan segala pedih dan luka. Luahan hatinya hanya terkumpul dalam jiwa. Tidak mampu diluahkan melalui kata-kata lagi. Haikal tetap di hatinya. Hanya mati yang boleh memisahkan perasaannya terhadap Haikal!

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)