bab 45 & 46

 bab 45

Hajah Rosiah menguntum senyuman lebar tatkala terpandang wajah menantunya. Huluran tangan Aqilah disambut penuh rasa sayang. 

  “Mak sihat?”

“Alhamdulillah sihat”

“Masuklah mak, Aisyah”, pelawa Aqilah dengan senang hati. Beg pakaian di tangan Hajah Rosiah dicapai. “Biar Ila bawa masuk. Maaf sebab tak jemput mak dengan Aisyah tadi”

“Tak apa Ila. Mak faham”

“Hah, ni sesi jejak kasih ke apa? Kalau nak borak pun, masuklah dulu”, sergah Datin Sofea di muka pintu.

Aqilah ketawa kecil. “Ila naik kejap ya”

“Aisyah nak ikut Kak Ila”, sampuk Aisyah tiba-tiba.

“Tengoklah tu, dia pula yang lebih-lebih”, tukas Hajah Rosiah menggeleng kepala.

“Jom Aisyah”, ajak Aqilah dengan senyuman mesra.

Aisyah hanya mengikut langkah kakak iparnya. Sebaik saja tiba di bilik, Aqilah terus membuat aksi lompat di atas katil. Diikuti pula oleh Aisyah. Mereka ketawa kecil. Lucu apabila melihat perangai tidak ubah seperti kanak-kanak.

“Akak ni, sporting giler la”

Aqilah ketawa besar. “Sporting sangat ke?”

“Betul Kak Ila. Sumpah, tak tipu langsung” Bersungguh-sungguh Aisyah berkata.

Aqilah termenung panjang. Matanya tajam memandang siling. Pandangannya seakan-akan boleh tembus hingga menampakkan langit.

“Kak Ila fikir apa?”

“Akak tak fikir apa-apa”, bohong Aqilah.

“Aisyah rindukan Abang Haikal”

“Akak pun”, akui Aqilah perlahan.

“Kenapa abang buat akak macam ni?” Dia seakan-akan kesal dengan sikap Haikal.

“Jangan salahkan dia”

Aisyah bangun dari pembaringannya. Dia duduk bersila sambil menghadap Aqilah. “Dah tu? Nak salahkan siapa lagi. Akak tak rasa pelik ke?”

“Kenapa akak kena rasa pelik?”

“Cuba akak fikir betul-betul, takkan semudah tu Abang Haikal boleh kembali pada Zurina? Apa yang Aisyah tahulah, abang memang sayangkan akak seorang saja”

Aqilah turut bangun. “Mana Aisyah tahu Abang Haikal sayangkan akak?”

Bibir Aisyah sudah mekar dengan senyuman. “Aisyah tahulah. Ni rahsia antara kami. Akak tak boleh tahu” Jari telunjuknya digoyang-goyang di hadapan Aqilah. Fikirannya terus melayang pada perbualan dengan Haikal.

“Abang sayang Kak Ila sangat-sangat”

“Betul ke abang sayang Kak Ila?”

“Betullah. Abang sayangkan Kak Ila. Sehari dia tak ada di sisi abang, tak boleh hiduplah abang”

“Amboi, jiwangnya abang Aisyah ni”, usik Aisyah lalu mencuit pinggang Haikal.

“Ala, abang nak jiwang sikit pun tak boleh”

“Patutlah malam tu abang hantar mesej kat Kak Ila. Siap tanya bila nak balik lagi. Tahu tak, Kak Ila yang duduk kat rumah Mak Ita, terus jadi tak senang duduk. Maklumlah, suami dah mesej”

Mata Haikal seakan-akan bercahaya. “Betul ke Kak Ila macam tak senang duduk? Boleh percaya ke adik abang ni?”

“Betul abang. Aisyah tak tipu. Kalau abang tak percaya, pergilah tanya Kak Ila”, cabar Aisyah pada Haikal.

Papp!!!

 Aisyah tersentak. “Akak ni, sakitlah” Pipinya diusap. Perit juga penampar Kak Ila ni.

“Hah, siapa suruh mengelamun. Kan dah kena”

“Ala, akak ni. Tak cool langsung”, rungut Aisyah.

“Amboi, tadi kata akak ni sporting” Rajuk Aqilah mula datang. Rajuk manja katakan.

Aisyah terdiam. Aku yang sepatutnya merajuk. Ada pula Kak Ila yang merajuk. Haru juga macam ni. “Alololo akak ni, janganlah merajuk. Nanti cepat tua. Baik akak senyum. Senyum tu kan awet muda”, pujuk Aisyah sudah tersengih-sengih.

“Macam pernah dengar ayat tu”

“Ayat tu, Abang Haikal yang ajar tau”, tutur Aisyah sudah ketawa kecil.

“Dah agak dah. Jom turun. Perut dah lapar ni. Nanti kita sambung lagi sesi rajuk-merajuk ni”, seloroh Aqilah terus turun dari katil. Macam-macam hal!

*****

MALAM makin larut. Aqilah masih lagi berbual dengan Hajah Rosiah. Malam ini, dia akan tidur sebilik dengan mak mentuanya. Aisyah pula? Hehehe...Aisyah pula terpaksa mengalah untuk menukar tempat tidur. Bila lagi dia mahu buli adik iparnya. 

“Mak nak bagi kat Ila satu benda”

“Apa dia mak?”

Hajah Rosiah mengambil sesuatu dalam beg bajunya. Sebuah kotak kecil dikeluarkan. “Ni rantai pusaka keluarga mak. Jadi, mak nak bagi pada Ila pula”

“Cantiknya rantai ni. Terima kasih mak”, ucap Aqilah terharu.

“Ini saja yang mak mampu berikan. Mak nak Ila jaga dengan baik”

“Insyaallah mak” Tubuh Hajah Rosiah dirangkul penuh kasih sayang.

“Mak nak tanya sesuatu boleh?”

Jawab Aqilah hanya dengan anggukan sahaja.

“Ila bahagia dengan Haikal?”

Aqilah diam. Sepasang mata milik Hajah Rosiah ditatap lembut. “Ila bahagia mak. Tersangat bahagia dengan Abang Haikal. Mungkin, kami ada salah faham sikit”

“Kenapa Ila atau Haikal tak nak mengalah? Maksud mak, cuba berbincang secara berdepan”

Sekali lagi Aqilah diam. Dia pun ada terfikir juga mengenai hal itu. Cuma, masa yang tidak mengizinkan lagi untuk dia berjumpa dengan Haikal.

“Ila sabar ya. Kita sama-sama berdoa dan usaha”

“Ila faham. Tapi, Aisyah ada cakap kat Ila. Dia kata...”

“Jangan difikirkan sangat cakap Aisyah tu. Banyak sangat terpengaruh dengan cerita melayu. Itulah jadinya”

Tawa Aqilah kedengaran. “Ila sayang mak”

“Mak pun sayang Ila”, balas Hajah Rosiah mengucup dahi menantunya.

“Ila pun sayang Abang Haikal juga”, luahnya tiba-tiba. 

“Mak pun sayang Haikal. Dia satu-satunya anak lelaki yang mak ada. Ila sabarlah ya”

Aqilah mengangguk. “Ila akan sabar mak”, ucap Aqilah perlahan.

Ya, dia akan bersabar andai itu yang Haikal mahu. Namun, kesabarannya ada batas juga. Dia manusia biasa. Tidak sesempurna mana. Kata hati dan akalnya saling bertingkah membuatkan dia buntu. Jika diikut kata hati, binasa pula. Andai diikut akal, mungkin dia boleh berfikir dengan waras.

“Dah, jom tidur. Lewat dah ni”, tukas Hajah Rosiah lalu tersenyum.

Aqilah hanya mengangguk. Buat pertama kali dia tidur di sebelah Hajah Rosiah. Dan, buat pertama kali juga tubuhnya dirangkul oleh Hajah Rosiah. Hati Aqilah dilanda rasa sedu. Ila sayang abang...Bisik hatinya lantas memejam mata. Bayangan Haikal muncul dalam lena...  

*****

SEKURANG-KURANGNYA, saya cuba selesaikan masalah rumahtangga saya. Haikal suami saya. Selagi kami sah bergelar suami isteri, saya akan pertahankan perkahwinan ni. Saya bukan macam awak. Saya takkan biar perkahwinan ni berakhir macam tu saja. Walaupun saya dengan Haikal berkahwin bukan atas dasar cinta, dia tetap suami saya. Dan saya sayang pada dia. Kalaulah awak fikir macam yang saya fikir, pasti rumahtangga awak akan selamat. Assalamualaikum’

Saiful meraup mukanya berkali-kali. Kata-kata Aqilah membuatkan dia berfikir berkali-kali. “Macam mana aku nak selamatkan rumahtangga ni kalau perasaan cinta yang baru nak berputik, sudah bertukar kepada benci?”

“Kenapa Ana sanggup buat macam ni?” Caranya bercakap seolah-olah Suzana ada di hadapannya.

Saiful mengatur langkah dengan lemah. Anak tangga didakinya satu per satu. Sebaik saja kakinya berhenti di hadapan pintu bilik tidur, tangannya terus memulas tombol pintu. Pandangannya jatuh pada sekujur tubuh di atas katil. Perlahan-lahan, dia menghampiri tubuh Suzana. 

Punggungnya dilabuhkan pada birai katil. Wajah Suzana ditatap lembut. Ada kesan air jernih yang bersisa di pipi itu. Saiful tidak sampai hati. Sisa air jernih itu diseka dengan lembut.

“Maafkan abang. Memang pada mulanya abang menolak kehadiran Ana dalam hati ini. Abang cuba lupa Aqilah. Makin lama, cinta di hati abang makin berputik. Mungkin juga sebab abang ingat, abang yang bersalah pada Ana. Tapi, sangkaan abang jauh sekali. Ana perangkap abang. Kenapa Ana buat macam ni? Ana macam sengaja ambil kesempatan bila hati abang sakit mendengar Aqilah dah berkahwin. Abang ingatkan Ila tak balas email abang sebab hatinya sudah berpaling pada yang lain” Luahannya hanya didengar oleh perabot-perabot yang kaku dalam kamar tidur.

“Hati abang sakit sangat. Teramat pedih. Abang ingatkan Ana akan beri sokongan sebagai seorang kawan pada masa tu. Tapi, tak sangka Ana ada niat yang tak elok. Abang terperangkap dalam permainan ni. Apa perlu abang buat? Bila semua rahsia abang dah tahu, hati abang mula benci Ana. Cinta abang pada Aqilah mula kembali. Pada hakikatnya, Ila tak lagi cintakan abang. Cinta dia dah mati untuk abang. Kenapa semuanya terjadi pada abang?”

Air mata lelakinya menitis. “Kenapa Ana sanggup buat macam ni?”, soal Saiful menahan tangisan. Di malam yang sunyi, dia termenung dan terus-terusan memikir kata-kata Aqilah.



bab 46

Kakinya bagaikan digam. Lama dia berdiri di situ. Tidak tahu sama ada mahu teruskan atau batalkan saja niatnya. Sampul surat di tangan dibelek berkali-kali. Ikutkan hati, dia mahu saja tinggalkan kawasan ini dengan cepat. Namun, bila difikirkan dia adalah isteri kepada lelaki itu, membuatkan dia gagahkan juga untuk bersemuka dengan segala kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku.

Nafasnya ditarik sedalam mungkin dan dilepas perlahan-lahan. Keyakinan dirinya yang tadi sifar, muncul semula. Dengan berbekalkan rasa yakin dan juga semangat, dia mula mengatur langkah.

“Bismillah...”, ucapnya sewaktu pintu utama semakin didekati.

Sebaik daun pintu dibuka, Aqilah berjalan memasuki ruang tamu. Pandangannya jatuh pada keadaan sekeliling. Tiada perubahan langsung. Tetap kemas dan bersih. Aqilah tersenyum kecil. Pandangannya jatuh ke arah sofa. Ingatannya terus mengingati perbualannya bersama-sama Haikal sewaktu dulu.

‘....Hebatnya perancangan Allah kan? Kadang-kadang kita harapkan yang lain, tetapi lain jadinya’

Senyuman Aqilah makin lebar. Mengingati kenangannya dengan Haikal membuatkan hidupnya bermakna. Masih kekal di kotak fikirannya bahawa, Haikal sangat meminati drama ‘Janji Kekasih’. Hinggakan dia tahu Haikal seorang yang berhati lembut.

“Perancangan Allah lagi hebat. Sehebat mana pun kita merancang, kalau Allah tak perkenankan, tak jadi jugakan? Jadi, macam situasi kita sekarang ni”, ujar Aqilah sendirian. Ayat yang sama pernah dilontarkannya kepada Haikal.

'Saya merancang hidup dengan orang lain. Begitu juga dengan awak. Tapi, tak kesampaian. Jodoh saya berakhir dengan awak. Tapi, saya ni orang kedua dalam hidup awak. Pernah tak awak terfikir, satu hari nanti awak akan kembali pada cinta pertama awak?’

Sendu di hati Aqilah mula datang. Ya, dia tidak akan lupa tentang perbualan itu. Hatinya sakit tiba-tiba. Mutiara jernih mula bertakung.

‘Memang awak tak pernah terfikir Haikal. Tapi, saya yakin dengan hati dan juga kuasa Allah. Walaupun ada jodoh antara kita, awak akan dapat semula cinta pertama awak. Percayalah’

Air jernih itu menitis jatuh ke pipi. Dia menekup mulutnya dengan tapak tangan. Ya Allah, adakah kata-kataku ini, telah KAU makbulkan? Sesungguhnya, aku tak sanggup lihat cinta suamiku beralih arah pada yang lain. Rintih hatinya panjang.

‘Saya yakin masa tu akan muncul’

Mengingati sebaris ayat yang keluar dari mulutnya, membuatkan dirinya makin kecewa. “Masa tu dah pun muncul. Siapalah Ila dalam hidup abang”, luahnya perlahan.

Air mata diseka laju. Langkahnya menuju ke dapur. Lama matanya merenung keadaan di dapur. Tetap tiada perubahan. Sememangnya Haikal seorang yang rajin. Mungkin juga Haikal tak perlukannya lagi. Untuk apa dia risau? Haikal pandai menguruskan diri.

‘Emmuaaahhh. Love you...’

‘Rutin harian abang pula, pagi-pagi kena kiss sayang. Tata sayang. Abang pergi mandi dulu’

Pipinya dipegang. Dia memejam mata. Masih terasa hangatnya kucupan Haikal pada pagi itu. Sekali lagi sebak di dada tidak dapat dikawal. Kini, tiada lagi ciuman kasih daripada Haikal. Yang ada hanyalah kenangan. Aqilah seakan-akan terlupa akan tujuannya yang sebenar.

“Ya Allah, bagaimana aku hendak lupakan dia? Sedangkan, dia telah curi seluruh hatiku ini. Aku tak kuat, Ya Allah”, rintihnya menahan esakkan. Bayang Haikal tidak langsung kelihatan.

Akhirnya, Aqilah membuat keputusan untuk pergi dari situ. Dia tidak kuat untuk berdepan dengan Haikal. Langkahnya laju menapak di ruang tamu. Sepucuk surat diletakkan di atas meja. Keyakinannya terus hilang. Tinggal sifar! Aqilah terus berlalu meninggalkan rumah mewah itu. Di dalam kereta, dia menangis sepuas-puasnya.

Namun, ada sepasang mata yang menyaksikan kesedihan Aqilah. Haikal menuruni tangga dengan langkah yang longlai. Entah kenapa hatinya tidak mahu menghalang pemergian Aqilah. Langkahnya berhenti di dapur. Dari jauh, dia nampak Aqilah menangis. Keluhan kecil tercetus juga di bibirnya.

Haikal terus ke ruang tamu. Di sini juga dia melihat Aqilah termenung panjang. Ada senyuman, ada kesedihan dan ada kepiluan di wajah isterinya tika itu. Mungkin juga Aqilah sedang mengingati kenangan antara mereka. Haikal merebahkan tubuh di sofa. Matanya terus tertancap pada sepucuk surat di atas meja. Laju saja tangannya mencapai surat tersebut. Sebaik saja isinya dibuka, terdapat dua helai surat di dalamnya.

Surat pertama dibacanya dulu. “Dijemput hadir dalam majlis ulangtahun syarikat..”, tuturnya perlahan.

Bibirnya diketap. “Aku bukan pemilik syarikat tu lagi. Biarlah dia yang uruskan segala-galanya” Bila difikirkan semula, sudah lama dia tidak menjengah syarikat milik keluarga isterinya. Semua urusan telahpun diserahkan pada Azhar dan juga Aqilah. Dia telah menukar kesemua share kepada Aqilah. Cuma, Aqilah tidak lagi mengetahuinya. Bila tiba masanya nanti, dia akan umumkan.

Surat kedua pula dibukanya. Tulisan isterinya dipandang penuh rasa rindu. Sebelum baca, jari-jemarinya mengusap lembut tulisan comel itu. Bibirnya meniti senyuman hambar.

Assalammualaikum...

Ke hadapan suamiku yang sangat dirindui dan dicintai....

Hati Haikal berasa sayu sebaik saja membaca ayat pertama. Namun, diteruskan juga bacaannya.

Ila harap abang sihat. Tujuan Ila menulis surat ini adalah untuk menyatakan bahawa, Ila terlalu rindukan abang. Terlalu mencintai abang. Hanya kenangan kita yang menguatkan Ila untuk lalui hari-hari tanpa abang di sisi. Biarpun kenangan yang terukir antara kita adalah singkat sekalipun, biarpun masa yang datang terlalu mencemburui kita dan biarpun hidup yang kita impikan tidak seindah mana, Ila Cuma nak abang tahu yang Ila bahagia di sisi abang.

Biarpun ada salah faham antara kita, Ila mohon maaf andai salah itu datang daripada Ila. Bukan maksud Ila untuk memperlekehkan abang. Bukan niat Ila hendak kecilkan hati abang. Tapi, Ila tak tahu kenapa begini jadinya. Sangkaan Ila salah faham ini tidak berpanjangan. Tapi, ia tetap berterusan tanpa ada penyelesaian. Ila tak faham sangat.

Hati ini sudah terlalu sakit dan pedih. Dan, Ila tahu abang pun alami benda yang sama seperti Ila. Tidak ada sedikit ruangkah buat isterimu ini? Tiada cinta atau rindukah di hati abang pada Ila? Mungkin Ila hanyalah cinta sesaat abang. Mungkin juga abang meluahkan kata-kata cinta dan rindu hanyalah semata-mata untuk bertanggungjawab menjadi suami Ila. Yang pasti, cinta sesaat yang hadir dalam hidup Ila, membuatkan hati Ila terbuka seluas-luasnya untuk abang.

Tiada bayangan Saiful. Tiada lagi kenangan Saiful. Yang ada hanyalah kenangan bersama abang. Jika benarlah cinta pertama lagi penting dalam hidup abang, kenapa perlu ada cinta kedua? Ya, Ila cinta kedua yang hadir dalam hidup abang. Abang pernah ingat tak kata-kata Ila pada abang dulu?

'Saya merancang hidup dengan orang lain. Begitu juga dengan awak. Tapi, tak kesampaian. Jodoh saya berakhir dengan awak. Tapi, saya ni orang kedua dalam hidup awak. Pernah tak awak terfikir, satu hari nanti awak akan kembali pada cinta pertama awak?’

Memang ternyata dia lagi layak untuk abang. Ila doakan abang bahagia di samping dia. Cuma, berilah kesempatan untuk Ila cintakan abang selagi Ila masih bergelar isteri kepada abang. Jaga diri, jangan tinggal sembahyang (pesanan daripada seorang insan yang tidak punya apa-apa)

Wassalam...

Surat itu terus dibawa ke dadanya lalu didakap penuh erat. Bagaikan dia sedang mendakap tubuh Aqilah.

“Kenapa rumahtangga kita jadi macam ni?”, ucap Haikal dengan pedih yang makin berpanjangan di hati. Dalam keasyikan dia sebegitu, kedengaran namanya dipanggil dari luar rumah.

Haikal bingkas bangun lalu menuju ke pintu utama. Sebaik saja daun pintu dikuak, terjengul gerangan yang memberi salam kepadanya. Lama dia terpaku di situ.

“Assalammualaikum. Tak nak jemput kami masuk ke?”

Lidah Haikal kelu. Salam yang dihulurkan hanya dijawab dalam hati. Cuma, tubuhnya saja yang begitu ringan memberi ruang pada tetamu-tetamu yang hadir untuk masuk.

“Yang tercegat kat pintu tu kenapa? Ila tak datang pun. Dia kata ada hal”, sergah Hajah Rosiah pelik dengan kelakuan anaknya.

Haikal bagaikan tersedar. Dia terus mendapatkan emak dan juga mentuanya yang datang. Cuma, ada seorang tetamu yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Namun, dia bersalaman juga dengan tetamu itu.

“Ini Ustaz Raihan” Datuk Johar memperkenalkan pada menantunya.

“Ini Haikal” Hajah Rosiah memperkenalkan anak lelakinya bagi pihak Haikal.

Ustaz Raihan sekadar mengangguk lalu tersenyum. “Haikal sihat?”

Haikal tersenyum hambar. “Alhamdulillah..”

“Alhamdulillah. Boleh kita mulakan?” Ustaz Raihan seolah-olah meminta keizinan.

Raut wajah Haikal dipenuhi tanda tanya. Dia makin bingung apabila Ustaz Raihan menghampirinya. Dia bagaikan lembu dicucuk hidung. Langkahnya terus mengikut Ustaz Raihan. Kini, dia dan Ustaz Raihan sudah duduk bersila di atas permaidani. Haikal hanya melihat mulut Ustaz Raihan terkumat-kamit membaca sesuatu.

“Lunjurkan kaki tu”, arah Ustaz Raihan tetap tenang.

Haikal hanya mengikut. Tangan Ustaz Raihan kini sudah berada di belakang badannya. Dia dapat merasakan tangan Ustaz Raihan menekan di tengah badannya lalu bergerak makin ke bawah. Ustaz Raihan tetap membaca sesuatu yang kurang jelas di pendengaran Haikal. Dia hanya diam. Sehinggalah dia berasa sakit sewaktu tangan Ustaz Raihan melurut hingga ke betisnya. Daripada betis, dilurutkan hingga ke buku lali.

Dahi Haikal berkerut menahan sakit. Dia tidak tahu kenapa dirinya tidak kuat untuk menghalang segala perbuatan Ustaz Raihan. Hinggalah kesakitannya hilang tatkala ada sesuatu yang keluar dari hujung ibu jari kakinya. ‘Benda’ itu tidaklah sebesar mana. Besarnya seperti biji lada hitam. Dan, baunya teramat menyengit hidung.

“Alhamdulillah, nanti saya akan uruskan benda ni”, ujar Ustaz Raihan tenang.

“Ini airnya ustaz”, ujar Datuk Johar lqlu menghulur sebotol air kosong.

“Haikal, kamu minum air ni nanti. Baca al-fatihah dan selawat tujuh kali. Insyaallah, keadaan akan pulih seperti sedia kala dengan izinNYA”

Dalam keadaan blurr, Haikal menyambut juga sebotol air kosong daripada Ustaz Raihan.

“Alhamdulillah. Harap-harap begitulah”, sampuk Datin Sofea mula lega.

“Ila mana?”, tanya Haikal tiba-tiba. Sedangkan, Aqilah baru saja pergi meninggalkan rumah ini!

“Dia ada hal. Nanti, Haikal datanglah sana jumpa dia”, tutur Hajah Rosiah lembut.

“Saya ni kenapa ustaz?”, soal Haikal ingin tahu.

Ustaz Raihan mengukir senyuman tenang. “Biasalah, rumahtangga kalau tak bergoyah, tak adalah pahit manisnya. Cuma, cara kita saja kadang-kadang salah. Orang kalau nak runtuhkan masjid, macam-macam cara. Ada yang guna cara kasar. Ada juga yang guna cara halus. Banyakkan bersabar Haikal. Semua ni ada hikmah. Kalau tak ada apa-apa, saya nak minta diri dulu”

Haikal tetap bingung. “Siapa pula yang dengki?” Pertanyaan itu lebih kepada dirinya.

“Sabarlah Haikal. Setiap sakit, ada penawarnya. Berdoalah pada DIA”, tutur Ustaz Raihan menepuk-nepuk belakang Haikal.

*****

HANDPHONE di tangan terus dibaling ke dinding. Pecah berderai telefon bimbitnya.

“Awak dah gila ke Zu?”, jerkah Idham menggoncang tubuh Zurina.

“Ya, memang saya gila. Saya tergilakan Haikal!”, balas Zurina dengan jerkahan juga.

“Apa yang awak buat tu salah. Tahu tak!”, marah Idham penuh berapi.

“Salah ke tak, itu hak saya!”

“Sudahlah Cik Zu, Encik Idham”

“Kau diam Sufi!”, tengking Idham lantang.

Sufi terdiam. Terketar-ketar tubuhnya ditengking sebegitu.

“Mana janji kau nak tolong aku? Mana?”, soal Zurina ligat memukul-mukul dada Idham. Semuanya dilepaskan pada Idham. Kasihan, Idham yang menjadi mangsa!

Sufi yang melihat makin serba salah. Tidak sepatutnya dia beritahu hal yang sebenar kepada Idham. Ingatannya terus melayang pada pertemuannya dengan Idham.

“Saya ada benda nak cakap dengan encik”

“Okey, silakan duduk”, jawab Idham menghentikan kerjanya.

“Mengenai Cik Zurina”

“Kalau pasal Cik Zu, saya tak ada masa nak dengar. Baik Cik Sufi balik saja”

Hanya sebelah kening Sufi yang terjungkit. Tidak sangka Idham masih ingat lagi namanya.
Idham menyambung kembali kerjanya.

“Encik Idham perlu tahu”, tutur Sufi dengan tegas.

Idham mengeluh. Mukanya diraut berkali-kali. “Cik Zu ada masalah ke?” Walaupun hatinya masih lagi sakit, perasaannya tidak pernah padam untuk mencintai Zurina.

“Apa yang awak nak beritahu tadi?” Fokus Idham tepat pada wajah bersih di depannya.

“Sebenarnya, saya rasa bersalah pada Cik Zu”, ujarnya perlahan. Dia menggenggam tangannya di bawah meja dengan erat.

“Saya tak faham”

“Encik pun tahukan, Cik Zu mula rapat dengan Haikal?”

Pantas Idham mengangguk. “Tahu. Saya ada nampak baru-baru ni. Dan saya memang macam tak percaya...”

“Memang macam tak percaya Haikal tiba-tiba boleh rapat dengan Cik Zu?”, potong Sufi laju.

Idham mengangguk. “Nak buat macam mana lagi, dah Haikal cinta pertama Cik Zu. Saya ni, bukannya bermakna dalam hidup dia” Secara tidak langsung, Idham seakan pasrah.

“Encik tak rasa musykil?” Sufi mula bermain teka-teki.

Dahi Idham mula menampakkan garisan. “Maksud awak?”

“Yela, bukankah Encik Haikal dah beristeri. Kenapa pula dia boleh rapat dengan Cik Zu? Bukankah Encik Haikal jenis yang berhati keras dan setia pada satu. Encik Idham pun tahukan, dah banyak kali Encik Haikal menolak perasaan Cik Zu”

Idham diam. Kata-kata Sufi bagaikan menyembunyi satu rahsia. “Baik awak berterus terang saja”

“Macam ni...” Nafasnya ditarik lalu dihembus lambat. Cuba mengumpul kekuatan untuk menceritakan hal yang sebenar. “Saya yang salah dalam hal ini. Saya yang bagi idea untuk dapatkan Encik Haikal. Saya yakin dengan cara tu akan berkesan. Tapi, hati Encik Haikal sangat kuat. Walaupun dia pernah tewas bila berdepan dengan Cik Zu, dia cuba elakkan diri sedaya yang mampu”

“Idea apa ni? Saya tak faham”

“Cara halus”, jawab Sufi lancar.

Idham tergamam...  

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)