bab 67 & 68

bab 67

Aqilah agak kekok pada malam ini. Dia terasa mahu bersembunyi daripada berdepan dengan Haikal. Jantungnya bagaikan mahu terkeluar daripada tubuh. Berdetak-detup tanpa ada hentinya. Fikirannya melayang mengingati saat kakinya melangkah masuk ke dalam rumah.

Memang pada mulanya, dia agak teruja apabila terlihat kenderaan milik Haikal sudah ada di halaman rumah. Selalunya, Haikal akan pulang lewat malam. Tetapi, hari ini Haikal pulang awal darinya. Sewaktu kakinya melangkah masuk ke dalam rumah, terdapat kelopak-kelopak ros merah berselerakan di permukaan jubin ruang tamu hinggalah ke kamar tidur. Paling membuatkan dirinya teruja apabila cahaya di ruang tamu sehingga di depan pintu kamar tidur hanya diterangi cahaya lilin.

Sebaik saja tangannya memulas tombol pintu, tubuhnya bagaikan kaku seketika. Haruman daripada bunga ros merah bagaikan menyucuk-nyucuk hidungnya. Tambahan lagi mood di dalam bilik tidur hanya menggunakan warm lighting. Makin menyemarakkan lagi suasana romantik. Cadar katil pula sudah bertukar ke warna merah putih.  

Aqilah berjalan merapati katil. Saat dirinya tercari-cari kelibat Haikal, matanya terus tertancap pada gaun berwarna merah hati terletak elok di atas katil. Matanya terpandang pula pada sekeping kad yang terletak elok pada gaun tersebut.

Special untuk yang tersayang. Pakai tau...

“Sayang...”

Aqilah tersentak. Berkecai lamunannya. Kini, dia sudah berada dalam pelukan Haikal. Dirinya sendiri tidak perasan akan kehadiran Haikal.

“Sayang nampak cantik”, puji Haikal dalam bisikan.

“Erkk, Ila nak mandi dulu. Tak mandi lagi ni” Aqilah cuba mengelak. Sudahlah tidak mandi, dia terus menyarung gaun itu pada tubuh. Ishk, gelojoh betul aku ni. Kutuknya dalam diam.

Haikal ketawa kecil. “Sayang tak mandi pun tak pe. Tau bau busuk pun”, bisik Haikal dekat di telinga Aqilah.

Meremang bulu roma Aqilah. Walaupun gaun yang tersarung di tubuhnya labuh, namun dia berasa tidak selesa. Ya, tidak selesa kerana dirinya belum mandi! Bukan tidak selesa dengan gaun tersebut. Gaun merah hati ini tidaklah seseksi mana. Namun, dia berasa janggal dalam keadaan sebegini. Dia malu untuk menatap wajah Haikal.

“Kenapa sayang tak pandang abang? Malu eak?”

Makin merah wajah Aqilah dibuatnya.

“Jom, abang dah lapar”, ajak Haikal sambil menarik tangan Aqilah agar mengikutnya.

Aqilah bagaikan terpukau. Dia terus mengikut langkah suaminya. Sebaik saja tiba di balkoni, matanya terus ke arah menu yang telah terhidang di atas meja. Terkebil-kebil matanya tika ini.

“Bila abang buat semua ni?”, soalnya seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat.

Dua ulas bibir Haikal melakar senyuman manis. “Abang balik awal tau hari ni. Penat tau abang buat semua ni. Sayangkan suka makan KFC. Abang beli je. Tapi, abang yang hias tau semua ni. Sayang ni, macam perli abang je. Tahulah abang tak pandai masak ayam KFC” Haikal seakan berjauh hati.

Aqilah tersengih. “Ila ingatkan abang yang masak. Sebab, Ila tengok sebijik macam KFC. Hehehe.....Janganlah marah”, pujuk Aqilah lantas melepaskan satu kucupan di pipi Haikal.

“Pandai sayang pujuk abang eak”

“Mestilah. Werk”, ejek Aqilah lalu ketawa kecil.

“Tengok tu, gigit lidah tu baru tau. Jom makan”

Aqilah sekadar mengangguk. Hatinya makin tersentuh tatkala Haikal menarik kerusi untuknya. Lagak suaminya seperti gentlemen sangat. Sukanya!

“Kita ada nak raikan apa-apa ke ni? Buat susah-susah abang je”

“Kita nak raikan honeymoon yang tak jadi hari tu”, balas Haikal dengan senyuman tidak lekang dari bibir.

Pandangan Aqilah bertukar redup. “Maafkan Ila. Kalau Ila tak merajuk, mesti kita kat Cameron masa tu” Rasa bersalah mencengkam kuat dirinya.

“Sayang ni, janganlah cakap macam tu. Abang tak kisah honeymoon kat mana-mana pun. Asalkan, sayang ada di sisi abang sudah memadai. Tapi, abang nak yang special sikit malam ni. Abang cinta sayang sepenuh hati”, ucap Haikal lantas mencapai tangan Aqilah. Jemari Aqilah diusap lembut.

“Ila pun cintakan abang. Terima kasih sudi menjadi raja dalam hidup Ila”

“Terima kasih juga sebab sudi menjadi suri dalam hidup abang” Lantas jemari Aqilah dikucup mesra.

Aqilah tersenyum. Ya, dia akan jadikan malam ini sebagai kenangan yang paling indah dalam hidupnya. Terima kasih Ya Allah kerana memberi pemilik tulang rusuk kiriku. Terima kasih mama dan papa kerana memilih Haikal sebagai suami dalam hidup Ila.

“Sayang, jauh termenung. Tak nak makan ke?”

Aqilah tersedar. “Abang pandai menari tak?”

Kening Haikal menampakkan garisan nipis. “Abang tak pandai”

“Jom, Ila ajar abang. Nak?” Aqilah bingkas bangun. Hilang terus moodnya untuk menikmati makan malam. Dia menarik Haikal mengikutnya ke dalam kamar.

Haikal tergamam. “Sayang, betul ke ni nak menari?” Cemas saja nadanya.

Aqilah tersenyum nakal. “Kita pasang muzik ya”

Haikal termangu-mangu seketika. Dia pula yang gelabah. Seumur hidup dia tidak pernah menari. Bagaimana kalau dia terpijak kaki Aqilah? Arghh, haru biru jadinya. Macam mana ni. Haikal kalut.

Aqilah merapati Haikal. Senyumannya terukir manis buat suami tercinta. “Abang tenang tau. Ila kan ada”, ujar Aqilah dengan sebelah mata dikenyitkan pada suaminya.

Haikal menelan liur. Biar betul isteri aku ni. Gumam hati kecil Haikal. Sebaik saja alunan muzik instrumental bergema, Aqilah meletakkan kedua-dua tangan Haikal pada pinggangnya. Manakala, kedua-dua tangan Aqilah melingkari leher Haikal. Perlahan-lahan Aqilah menggerakkan tubuhnya. Haikal turut mengikut rentak isterinya.  

“Abang dah pandai. Senang je kan?”, bisik Aqilah dengan senyuman nipis.

“Sayang ajar mestilah senang. Haikal menarik Aqilah rapat pada tubuhnya. Dengan manja, dia menjatuhkan dagu di bahu Aqilah.

“Terima kasih sebab buat kejutan untuk Ila”, bisik Aqilah dengan mata terpejam rapat. Dia mahu menikmati saat-saat indah begini bersama Haikal.

“Sama-sama kasih sayang”, ucap Haikal lantas mengucup leher dan pipi Aqilah. “Terima kasih sebab beri abang peluang”, ucap Haikal perlahan. Dia merenggangkan pelukan. Wajah Aqilah ditatap lama.

I love you”, ucap Aqilah malu-malu. Ya, dia masih lagi ada perasaan malu!

Love you too”, balas Haikal terus mencempung tubuh Aqilah. Berharap agar rumahtangganya akan berkekalan. Amin...

*****

BEBERAPA BULAN KEMUDIAN...

Majlis kesyukuran dan doa tahlil berlangsung dengan selamat. Haikal tidak henti mengucapkan kesyukuran pada Allah S.W.T. Dari kejauhan, dia memerhati Aqilah yang leka berbual dengan sanak saudara. Paling teruja sekali, Aqilah sudah mesra dengan Zurina. Tiada dendam yang tersimpan dalam jiwa isterinya. Makin melimpah ruah sayangnya pada Aqilah. 
     
“Haikal dah makan?”

Pandangan Haikal jatuh pada Datuk Johar. Entah berapa lama Datuk Johar berada di sampingnya. Malulah pula kalau Datuk Johar perasan dia sedang memerhati Aqilah dari jauh.

“Kenyang ke Haikal pandang Ila?”, perli Datuk Johar dengan senyuman panjang.

Bushhh...Satu tamparan panas terkena pada pipinya. Malu!

“Biasalah orang lelaki. Siapa yang tak sayang isteri”, sakat Datuk Johar lagi.

“Papa dah makan?”

“Pandainya Haikal tukar topik. Belajar dengan Ila ke?” Makin galak Datuk Johar mengusik menantunya.

“Papa ni, kalau menyakat orang, memang nombor satu”

“Papa gurau je Haikal. Jangan terasa pula” Bahu Haikal ditepuk perlahan.

“Haikal pun gurau je. Papa, Haikal ada hal nak beritahu sikit”

“Macam serius je bunyinya”

“Pasal Johar Holding”, tutur Haikal serius.

“Oh. Pasal tu. Papa dah tahu. Azhar yang beritahu”

Haikal terdiam. Rasa bersalah menggamit jiwanya. “Maafkan Haikal” 

“Papa faham. Papa pun lelaki juga. Jangan risau. Papa dengan mama dah nasihatkan Aqilah” 

Oh, patutlah isterinya tidak membangkitkan isu mengenai kerja. Rupanya, Datuk Johar dan Datin Sofea sudah ‘membasuh’ fikiran Aqilah. Haikal tersenyum dalam diam. 

“Ila tak beritahu Haikal pun pasal hal ni” 

“Dia dah matang Haikal. Dia pun tak mahu bergaduh pasal benda-benda macam ni. Cuma, satu je papa minta. Papa harap, kamu dapat pantau Johar Holding dari jauh”

“Insyaallah. Haikal akan ingat pesan papa. Terima kasih papa”, ucap Haikal penuh rasa terharu.

“Haikal, Ila pengsan!”, laung Zurina dari jauh.

Haikal yang ralit berbual dengan Datuk Johar, terus tersentak. Bergegas Haikal mendapatkan isterinya. Tubuh Aqilah dicempung. Ya Allah, janganlah apa-apakan isteriku. Doanya dalam hati.
 
 
bab 68

“Hati-hati sayang. Jangan jalan laju sangat” Haikal mengawal pergerakan Aqilah.

“Abang ni, janganlah risau sangat. Ila tahu jaga diri” Kadang-kadang, dia rimas dengan Haikal. Bukannya dia tidak suka dengan sikap Haikal yang terlalu prihatin terhadapnya. Tetapi, dia bukannya budak-budak yang perlu ditegur setiap hari. Keadaan itu membuatkan dia jadi rimas.

“Abang kenalah jaga sayang. Kalau jadi apa-apa pada sayang, macam mana?”

“Ila okey. Abang yang terlebih risau sangat. Kenapa tak pergi kerja lagi? Dah pukul berapa dah ni”

“Abang cuti hari ni”, balas Haikal bersahaja. Dia membantu Aqilah duduk di sofa. Takut pula dia melihat Aqilah yang sudah sarat sangat. Tunggu hari saja, isterinya itu akan bersalin.

“Abang asyik ambil cuti saja. Tak penat ke jaga Ila?”

Haikal menggeleng. “Abang tak penat pun. Kenapa, sayang tak suka ke abang jaga sayang?”

“Bukan macam tu. Ila nak duduk rumah mama, abang tak bagi. Sekurang-kurangnya, kalau abang pergi kerja, boleh juga mama tolong jagakan. Taklah abang asyik ambil cuti saja” Aqilah mula membebel.

“Sayang jangan asyik berleter. Nanti, anak yang keluar asyik berleter saja. Sayang nak ke anak kita kuat berleter?” Haikal sudah ketawa besar.

Seperti biasa, paha Haikal yang dijadikan sasaran bagi Aqilah untuk melepaskan cubitan.

“Aduh, sakitlah sayang. Hah, tabiat ni pun kena buang juga. Nanti, anak-anak kita asyik nak cubit saja” Tangan Aqilah dicapai lalu ditampar lembut. Tampar-tampar manja.

 Muncung Aqilah makin ketara.
           
“Tengok tu, buatlah muncung macam tu. Nanti...”

“Abang ni, asyik nak kenakan Ila je”, potong Aqilah geram.

Tubuh Aqilah dirangkul perlahan dengan sebelah tangan. Sebelah tangannya lagi, mengusap perut Aqilah. “Anak-anak kita mesti comelkan?”

Muka Aqilah yang monyok terus berubah ceria. Tangan Haikal yang berada di perutnya digenggam erat. “Kalau lelaki mesti kacak macam abang...”

“Kalau perempuan, mesti comel macam sayang”, sambung Haikal lalu membawa tangan Aqilah ke bibirnya.

Aqilah tersenyum senang. Masih dia ingat lagi, sewaktu dia disahkan mengandung, setiap malam Haikal akan mengaji Al-Quran sehingga dia tertidur. Sering kali juga Haikal menceritakannya mengenai kisah para sahabat di zaman Rasulullah S.A.W. Dia rasa bertuah mempunyai suami seperti Haikal.

“Abang...”

“Hmm...” Haikal begitu khusyuk mengusap perut isterinya.

“Kalau Ila tak ada nanti, tolong didik anak-anak kita jadi manusia yang berguna”

“Syhh, kenapa sayang cakap macam tu?” Haikal memotong percakapan Aqilah.

Baru saja Aqilah hendak membuka mulut, kedengaran suara yang memberi salam.

“Assalammualaikum...”

Haikal dan Aqilah saling berpandangan. “Waalaikumussalam”, jawab Aqilah dan Haikal serentak.

“Sayang tunggu sini tau. Abang pergi tengok kejap” Haikal terus bangun dari sofa. Langkah kakinya menuju ke pintu utama.

“Eh, Ana, Saiful. Masuklah”

“Ila mana?” soal Suzana. Tidak sabar untuk berjumpa sahabat baiknya itu.

“Aku kat sini”, sampuk Aqilah yang sudah menghampiri pintu utama.

Haikal yang melihat terus mendapatkan Aqilah. “Abang dah pesan suruh sayang duduk kat situ. Kenapa degil sangat ni? Kalau jadi apa-apa, macam  mana?”, marah Haikal dengan muka yang serius.

Aqilah hanya bersahaja. Tidak sedikit pun hatinya terguris dengan kemarahan Haikal. “Abang jangan risau ya. Ila okey je ni. Jom Ana, kita borak” Aqilah pantas mencapai tangan Suzana.

Terpinga-pinga Suzana dibuatnya. Haikal lagilah. Nasihat atau amarahnya, tidak sedikit pun berjaya melembutkan keras kepala Aqilah.

“Sabarlah Haikal. Biasalah tu” Saiful bersalaman dengan Haikal.

“Sabar kita pun ada hadnya juga. Masuklah” Haikal mempelawa tetamunya masuk.

Sementara itu, Aqilah dan Suzana rancak berbual di ruang tamu. Manakala, Haikal dan Saiful sibuk di dapur. Sayangkan isterilah katakan!

“Suami kita tukar jantina ke Ila?”

“Kenapa pula?”

“Sepatutnya, perempuan yang buat kerja kat dapur. Ini tak, dah terbalik pula”

Aqilah ketawa kecil. “Macam kau tak faham dengan perangai Haikal. Aku nak buat kerja rumah, tak bagi. Nak masak pun tak bagi. Mama dengan mak nak jagakan, tak bagi juga. Dia nak buat seorang diri”

Suzana yang mendengar makin membesar matanya. “Untunglah kau ada suami yang penyanyang macam Haikal. Aku ni, tak tahu lagi bila nak dapat anak” Sayu nada Suzana.

Aqilah turut simpati. “Sabarlah Ana. Mungkin, belum ada rezeki kau dengan Saiful” Dia cuba menenangkan Suzana.

“Tak apalah Ila. Mungkin betul kata kau”

“Macam mana dengan bulan madu? Dua bulan kau tinggalkan aku. Kasihan aku seorang diri kat sini” Aqilah cuba menukar topik. Dia tidak mahu Suzana bersedih.

“Eleh, seorang dirilah sangat. Tu, Abang Haikal kesayangan kau nak letak mana?” seloroh Suzana disambut tawa daripada Aqilah. Lenyap terus sedih di hati.

“Aku simpan dia dalam hati” Penuh puitis Aqilah membalas gurauan Suzana.

“Jiwang betul kau kali ni”

“Tapi, aku suka tengok kau dah bertudung. Nampak ayu sangat” Pujian terlontar juga dari mulut Aqilah.

Suzana tersenyum lebar. “Hmm....Mungkin, dah sampai seru aku nak pakai tudung”, tuturnya tenang.

“Ana, aku nak minta tolong boleh?” Suara Aqilah tiba-tiba berubah serius.

“Kau nak aku tolong apa?”

“Tolong sampaikan impian aku yang kedua pada Haikal andai mata aku terpejam satu hari nanti”

Suzana tercengang. Dia kelu untuk mengeluarkan kata-kata. Wajah Aqilah yang penuh mengharap dipandang lama.

“Kenapa diam saja ni? Tadi bukan main riuh lagi sampai ke dapur dengar suara Ila dengan Ana”, sergah Haikal yang sudah muncul di ruang tamu.

Suzana cuba tersenyum.

“Jom makan. Abang dengan Saiful dah siapkan makan tengah hari”

“Jomlah makan. Ila pun dah lapar ni. Jom Ana”, ajak Aqilah melebarkan senyumannya.

Haikal membantu Aqilah untuk berdiri. Suzana hanya melihat kemesraan suami isteri itu. Jauh di dasar hati, dia berdoa agar sahabat baiknya kekal bahagia di samping suami tercinta dan anak-anak.

Thanks abang”, ucap Aqilah dengan senyuman. Namun, baru dua, tiga langkah, perutnya terasa senak dan sakit. Mukanya jelas berkerut. Genggaman pada tangan Haikal makin erat dan kuat.

“Sayang...” Haikal panik.

“Sakit bang...”, rintih Aqilah menahan sakit.

Suzana dan Saiful meluru mendapatkan Aqilah dan Haikal.
           
“Ana, Saiful, tolong telefon mama, papa dengan mak saya kat kampung. Sayang, kita ke hospital ya” Tubuh Aqilah terus dicempung. 

“Sabar sayang...” Kenderaan pacuan empat roda meluncur keluar dari pekarangan rumah. Hati kecilnya tidak henti-henti berdoa. 

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)