bab 47 & 48

bab 47

“Sufi, kau tipu aku!”

Sufi tersentak. Lamunannya terus berkecai. Dia berasa cuak apabila Zurina cuba mendekatinya. Namun, nasibnya baik apabila Idham berjaya menahan Zurina. Dia menghela nafas lega.

“Kenapa kau tipu aku!”, jerit Zurina lantang.

“Zu, mengucap. Jangan ikutkan rasa hati tu!” Idham cuba menenangkan Zurina.

“Aku benci kau!”, marah Zurina cuba memboloskan diri daripada cengkaman Idham. Akalnya tidak lagi dapat dikawal. Dalam hatinya tersimpan dendam yang membara terhadap Sufi.

Sufi cuak. Dia jadi takut untuk berdepan dengan situasi sebegini. “Sa...saya minta ma...maaf”, ucap Sufi tergagap-gagap.

“Aku takkan lepaskan kau. Aku bodoh percayakan pada kau!”

“Astaghfirullahalazim...Zu, pandang sini” Idham cuba memegang kedua-dua pipi Zurina supaya memandangnya.

“Kau pun sama. Dua-dua aku benci!”, jerit Zurina dengan muka penuh bengis.

“Zurina, pandang sini!”, jerkah Idham merenung tajam pandangan Zurina.

Zurina menangis. Dia terasa dirinya sudah tewas. Haikal mungkin akan membencinya.

“Sufi, awak balik dulu”, tutur Idham perlahan.

Mengangguk pun tidak, menggeleng pun tidak. Sufi terus mencapai tas tangan lalu terus meninggalkan keadaan yang semakin ‘panas’ itu.

Sayu Idham memandang Zurina. “Kenapa nak lawan takdir Allah? Mana iman awak? Mana akal fikiran awak yang waras tu? Kenapa biarkan nafsu menguasai awak? Mana Zurina yang saya kenal dulu? Mana hilangnya semua sifat awak yang saya suka? Mana Zu? Cuba awak beritahu saya” Soalan bertubi-tubi keluar dari mulut Idham.

Zurina terjelopok lemah. Idham turut duduk di sisi Zurina. Dibiarkan saja tangisan Zurina memenuhi ruang apartment mewah ini. Idham berkali-kali mengeluh. Dia penat dengan semua ini.

“Awak tak letih ke kejar lelaki yang belum tentu akan jadi milik awak? Awak tak letih ke dengan ‘permainan’ ni? Sampai bila awak nak buat macam tu? Lambat- laun, Haikal akan tahu juga rahsia awak tu. Cuba awak fikir, adakah dengan mendapatkan Haikal dengan cara begitu, awak akan menang? Tak mungkin Zu. Mungkin juga pada awalnya awak akan menang. Tapi, kuasa Allah lagi hebat. Untuk apa lagi awak nak terus seksa diri sendiri? Awak masih ada banyak pilihan. Tanya hati awak, apa yang awak nak?”

“Saya nak Haikal”, jawab Zurina laju. Dia masih teresak-esak.

Idham tersenyum hambar. “Untuk apa lagi awak nak harapkan dia? Awak nak harapkan Haikal cinta awak semula? Awak nak Haikal terima awak? Atau, awak...”

“Saya lebih rela hidup bermadu tahu tak!”, cantas Zurina lantang. “Kenapa semua orang tak faham saya? Kenapa?” Dadanya ditumbuk berkali-kali. Hatinya sakit sangat!

“Kalau betul awak nakkan Haikal, pergi jumpa isteri dia cara elok. Bukan dengan cara begini. Awak boleh meruntuhkan masjid orang tahu tak? Kalau betul awak sanggup untuk hidup bermadu, kenapa awak guna cara macam ni? Nampak sangat yang awak hanya nak Haikal jadi milik awak seorang” Idham cuba membasuh otak Zurina. Hati geram sangat!

Zurina diam. Hanya sendu yang kedengaran. “Tolong tinggalkan saya”

“Saya akan tinggalkan awak. Tapi, izinkan saya untuk terus ada di sisi awak. Kembalilah ke pangkal jalan. Sementara pintu taubat masih terbuka. Saya akui, kita pernah terlanjur. Dan, saya ikhlas nak ambil awak sebagai seorang isteri. Saya sentiasa akan tunggu awak. Kalaulah awak beri saya peluang tu, saya akan guna sebaik yang mungkin”, luah Idham tenang. 

“Layakkah saya pada awak? Saya perempuan hina, keji. Perempuan macam saya ni, layak untuk lelaki yang jahat saja”

“Saya pun jahat juga. Tapi, kita perlu berubah. Saya nak awak jadi isteri saya yang sah. Cukuplah hati ini sakit tiap kali lihat awak menangis. Cukuplah hati ini terkilan dengan layanan awak pada saya. Dan, cukuplah hati ini marah bila awak mengejar cinta yang belum pasti menjadi milik awak”

“Hati saya lagi hancur”, rintih Zurina.

“Sekurang-kurangnya, awak ada saya. Apa pun yang terjadi, saya akan tetap berada di sisi awak. Yang lepas itu adalah kenangan. Apa yang berlaku sekarang ni, adalah masa depan awak. Andai kata awak jatuh tersungkur, jangan lagi menoleh ke belakang. Pandang ke depan dan mula hidup baru. Saya harap awak faham”

Seperti ada satu perasaan halus yang mula meresap ke dalam dirinya. Ya Allah, ampunkan hambaMU ini. Dirinya didatangi rasa insaf.

*****

HAIKAL masih teguh berdiri di balkoni. Langit malam yang memayungi bumi membuatkan hatinya terasa tenang seketika. Bintang-bintang yang bertebaran di dada langit menambahkan lagi rasa kagumnya pada ciptaan Allah S.W.T. Seketika Haikal memejamkan matanya. Bayangan Aqilah terus muncul dalam ruangan matanya.

‘Abang sayangkan Ila. Sepenuh hati abang cintakan Ila. Abang impikan kehidupan abang akan bahagia bersama sayang. Abang impikan sebuah keluarga yang bahagia, dikelilingi anak-anak yang comel macam sayang, dan abang impikan cinta dari sayang. Tak ada apa lagi yang abang impikan selain hidup bersama sayang. Selama ni, abang rasa kehidupan abang kabur. Abang tak tahu jalan kehidupan abang bila bersama Ila. Tapi, abang makin nampak jalan kebahagiaan bila hati abang mula terpaut pada sayang’

Mata Haikal kembali terbuka. Tiada lagi keraguan dalam hatinya. Dia yakin, Aqilah adalah cinta terakhirnya sampai ke akhir hayat. Dia tidak akan lupa kata-kata manis itu. Ya, kata-kata yang membuatkan hatinya mula terpaut pada Aqilah.

“Abang rindu sayang. Abang Cuma nak sayang dalam hidup abang”, bisik Haikal sendirian.

‘Ila takkan sesekali tinggal abang. Kecuali nyawa ini dicabut oleh malaikat maut. Ila bahagia hidup dengan abang. Sangat-sangat bahagia’

“Benarkah sayang bahagia hidup di samping abang? Sayang janji tak nak tinggalkan abang. Tapi, sayang tinggalkan abang juga. Mungkin sayang terasa hati dengan abang. Maafkan abang andai tak mampu buat sayang bahagia” Luahannya dibawa pergi bersama-sama angin malam.

Haikal menapak masuk ke dalam kamar tidur. Dia merebahkan diri di atas tilam. Terasa penat sangat dengan apa yang berlaku. Dia mengiring kesebelah kiri. Tempat tidur Aqilah diusap lembut. Dia rindukan Aqilah. Segala-gala milik Aqilah, dia rindu.

“Kenapa Zu sanggup buat Haikal macam ni? Andai benar Zu bukan jodoh Haikal, apa lagi yang boleh dibuat? Tak ada sikit pun niat di hati Haikal untuk sakitkan hati Zu. Kenapa Zu tak boleh terima ketentuan DIA?” Bicara Haikal seperti Zurina ada di depannya.

Mata Haikal dipejam kuat. Sekali lagi wajah Aqilah muncul dalam lelapnya. Rindunya tidak tertahan lagi. Lantas, dia bangun daripada pembaringan. Tangan laju mencapai telefon bimbit di atas meja bersebelahan katil. Nombor Aqilah dicari lalu didail. Hanya peti suara yang kedengaran.

Haikal tersandar lesu di kepala katil. Wajah Aqilah yang terhias di skrin telefonnya ditatap penuh rasa rindu. Pandangannya beralih pula pada bingkai gambar yang terletak di atas meja. Diambil lalu diusap wajah yang kaku itu. Senyuman Aqilah sangat menawan. Biarpun dia tahu pada masa itu senyuman Aqilah penuh kepura-puraan. Ingatan Haikal terus mengingati peristiwa yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

“Senyum sikit boleh tak?”

“Yang nak suruh aku senyum kenapa? Tahu tak, aku tak berminat langsung nak kahwin dengan kau”, getus Aqilah terpaksa mengukir senyuman palsu.

Haikal mahu ketawa. Isterinya marah sambil tersenyum. “Kalau tak suka saya, tak apa. Saya pun tak kisah. Yang penting, senyuman awak sekarang ni” Haikal makin erat memeluk pinggang Aqilah. Dia tahu Aqilah rimas. Dia juga rimas dengan arahan juru kemera.

“Puan, boleh tak pegang tangan suami puan tu?”, arah juru kamera.

Kemarahan Aqilah bagaikan menggunung. Dalam tidak rela, dia memegang juga tangan Haikal yang merangkul pinggang.

“Kan bagus awak dengar kata dia dari awal lagi”, bisik Haikal dengan senyuman hambar.

Wajah Aqilah kian keruh. “Jangan kau ingat aku akan bahagia dengan perkahwinan ni. Aku tak cintakan kau”

“Okey, tunggu dan lihat”, ucap Haikal selamba.

Bibir Haikal tersenyum lebar. Dia tidak akan lupa peristiwa itu. Ternyata kini, Aqilah sudah jatuh cinta kepadanya. Namun, hatinya terasa bersalah tatkala terkenang apa yang telah berlaku. Bahagia yang dia berikan pada Aqilah tidak berpanjangan. Pasti Aqilah terasa hati dengan layanannya.

*****

PANDANGAN mereka saling menikam antara satu sama lain. Tiada kata yang terkeluar. Yang ada hanyalah disimpan dalam hati. Suzana dengan dirinya. Saiful juga dengan dirinya.

“Apa yang awak nak bincangkan?”, tanya Suzana tidak tahan dengan situasi yang berlaku sekarang.

“Tiga hari lagi kita akan sambut ulang tahun perkahwinan mama dengan papa”

“Jadi?”, soal Suzana pantas.

“Jangan sesekali cerita hal rumahtangga kita pada tetamu yang datang”, pesan Saiful tenang.

Senyuman Suzana hambar. “Saya pun tahu. Awak tak perlu ingatkan saya tentang hal itu”

“Jadi, urusan untuk menjemput kawan-kawan, aku serah pada kau” Tiada bahasa lembut yang keluar daripada mulut Saiful. Egonya sangat tinggi. Dia tahu, hatinya mula memberi peluang pada Suzana. Tapi, bila berhadapan dengan Suzana, egonya bagaikan melambung tinggi.

“Baiklah. Saya akan urus semua tu. Awak tak perlu risau”, ujar Suzana perlahan.

“Baguslah kalau macam tu”, tukas Saiful perlahan. Dia pula yang mati kutu untuk membuka topik lain.

“Kalau tak ada apa-apa, saya masuk bilik dulu”, ujar Suzana tenang. Dia tidak mahu berlama-lama di situ. Makin lama mereka bertentangan, makin menimbulkan masalah saja nanti.

Gulpp...Liur Saiful ditelan laju. Halkumnya bergerak. Mulutnya mahu bercakap. Tetapi, tiada sepatah pun yang keluar. Tubuhnya terus tersandar lemah di sofa. Kakinya dilunjur ke depan. Sepasang mata itu dipejam buat seketika.

‘Pujuklah Ana. Dia seorang isteri yang baik. Memang dia pernah lakukan kesalahan. Tapi, dia buat macam tu sebab nak dapatkan cinta awak’

Perbualannya dengan Aqilah bagaikan ditayang semula dalam layar ingatannya. Apa yang Aqilah cakap ada betulnya juga. Masalah begini tidak akan selesai jika dia ego dengan diri sendiri. Saiful terus memejam matanya. Setiap perbuatan baik dan buruk Suzana dinilai.

“Abang nak makan apa?”

Ketika itu Saiful sibuk dengan kerjanya di hujung minggu. Suzana sentiasa ada di sisi menemaninya.

“Saya sibuk”, jawab Saiful tetap memfokuskan pada kerja.

“Tak apalah. Ana tak nak ganggu abang. Cuma, Ana nak tanya saja. Abang nak makan apa?”, soal Suzana tetap dengan muka yang ceria.

“Apa-apa pun boleh je. Saya makan semua”

“Okey. Ana masak yang speacial untuk abang ya”, tukas Suzana lalu mengucup pipi Saiful.

Saiful terus membuka mata. Lenyap terus ingatannya pada Suzana. Itulah sikap Suzana sewaktu mereka menjadi suami isteri. Pada masa itu juga, dia pun pelik melihat sikap Suzana. Keceriaan pada wajah Suzana menjelaskan bahawa dia tidak pernah menyesal dengan perkahwinan ini. Sedangkan, dia menyebabkan mereka diseret ke alam perkahwinan. Namun, apabila rahsia sebenar terbongkar, barulah segala-galanya terjawab. Patutlah Suzana tidak pernah marah atau membencinya. Rupa-rupanya, dia telah terperangkap dalam jerat Suzana.

Saiful tersenyum hambar. Dia dapat lihat sinar keikhlasan di mata Suzana. Dia dapat lihat keceriaan di senyuman Suzana. Segala-gala tentang kegembiraan Suzana amat jelas di matanya. Kini, yang menghiasi saban hari hanyalah senyuman Suzana yang hambar, wajah Suzana yang keruh. Bagaikan tiada kegembiraan langsung pada wajah itu. Ya, dia yang menyebabkan Suzana berubah hingga sebegitu sekali.

“Abang janji, abang akan ukirkan semula senyuman di bibir sayang, kegembiraan di hati sayang dan juga cinta abang”, tekad Saiful dengan satu harapan. Dia akan berusaha lupakan Aqilah. Benar kata orang, tak kenal maka tak cinta!


bab 48

“Makanlah Haikal, jangan malu-malu”, ujar Datuk Johar bersungguh-sungguh. Hatinya mengucap syukur yang teramat sangat. Alhamdulillah, Haikal sudah pulih sepenuhnya.

Haikal mengangguk. Dalam masa yang sama, matanya seolah-olah mencari sesuatu. “Tapi, Ila mana? Haikal tak nampak pun”

“Dia kata ada hal dengan Ana. Itu yang keluar awal pagi tadi”, beritahu Datin Sofea.

“Oh..” Hanya itu yang dia dapat katakan.

“Kenapa, abang rindukan Kak Ila ke?”, usik Aisyah mencuit pinggang Haikal.

“Mestilah rindu”, celah Hajah Rosiah yang baru muncul di ruang makan.

Haikal tidak terganggu langsung dengan usikan Aisyah. Dia terus menyuap mee goreng ke dalam mulut.

“Haikal tak tidur sini ke?”, tanya Datin Sofea lembut.

“Maafkan Haikal. Rasanya tak kot. Sebab Haikal ada hal lain”, jawab Haikal tenang. Dia tahu, pasti semua yang mendengar jawapannya itu merasa terkilan. Namun, apa boleh buat. Dia pula rasa tidak bersedia untuk berjumpa Aqilah. Walaupun rindu di hati ini bagaikan ombak yang sedang bergelora!

Hajah Rosiah tenang mendengar. “Mak dengan Aisyah dah nak balik petang ni”

“Awalnya? Biar Haikal yang hantarkan” Dia cuba menawar diri.

“Tak apalah abang. Mama Sofea dengan papa Johar nak hantarkan. Kami dah beli tiket bas”, sampuk Aisyah selamba.

Haikal seperti berjauh hati. “Mak datang sini pun tak beritahu Haikal. Tiba-tiba dah nak balik. Cepatnya”

Datin Sofea tersenyum sewaktu memandang suaminya. Kemanjaan menantunya begitu terserlah. “Tak apalah, nanti Haikal dengan Ila boleh balik Kedah. Mama dengan papa tak kisah pun”

“Itu memang Haikal tahu. Sekurang-kurangnya, beritahulah Haikal masa mak nak datang sini. Ila pun tak beritahu Haikal” Sekali lagi dia terasa hati dengan Aqilah.

Datuk Johar memandang Haikal. “Kami minta maaf. Semua ni tak dirancang pun. Haikal jangan pula terasa dengan kami”

Bibir Haikal mengukir senyuman hambar. “Tak apalah papa. Haikal tak simpan dalam hati”, bohongnya. Mee goreng yang masih lagi berbaki tidak dihabiskan. Seleranya terus terbantut.

“Jangan terasa hati dengan Ila juga. Dia pun tak tahu yang mak nak datang sini” Hajah Rosiah seakan tahu apa yang terbuku di hati anak lelakinya.

Haikal mengangguk lemah. Dia sudah malas mahu bersuara. Jika benar pun Aqilah tidak tahu, kenapa dalam surat yang diberikan tidak beritahu hal sebenar? Lagipun, sms pun sudah memadai. Sungguh, dia terkilan.

*****

JAM Di pergelangan tangan dikerling sekali imbas. Orang yang dinanti-nantikan, akhirnya muncul juga. Senyumannya yang layu sudah kembali mekar.

“Assalammualaikum. Maaf, aku selalu datang lambat”

“Tak apa. Asalkan kau datang pun dah cukup” Suzana memberi ruang kepada Aqilah.

“Kau dah sarapan belum? Kalau belum, jom kita sarapan sandwich” Aqilah mengeluarkan bekas makanan.

“Amboi, rajin kau bawa sandwich

“Biasalah. Daripada buang duit, baik kita berjimat. Kau kena rasa sandwich aku ni tau”

“Wahh...Setahu aku, kau susah nak terima makanan yang berkaitan dengan roti macam ni. Tetiba pula kawan aku ni makan. Kau pregnant ke?”, usik Suzana sengaja menduga sahabatnya.

Aqilah terdiam. Senyumannya sentiasa mekar. “Belum ada rezeki lagilah. Mana ada aku tak makan roti. Kau yang tak tahu”

“Mungkin aku terlepas pandang kot”

“Hah, tahu tak apa. Baca bismillah dulu”

“Aku tahulah”, tukas Suzana terus mengambil sandwich sebaik saja penutup bekas itu dibuka.

“Amboi, orang ingatkan pun nak marah”

“Tak marah pun. Bismillah..”

“Macam mana, sedap tak?”, soal Aqilah penuh rasa teruja.

“Hmm..” Anggukan Suzana menjawab pertanyaan Aqilah.

“Kita makan dulu, nanti baru bercakap”

Dua sahabat menikmati makanan sambil menghirup udara pagi. Pemandangan di Tasik Titiwangsa pada waktu pagi amat menenangkan jiwa. Sewaktu dia menyiapkan sandwich selepas solat subuh, fikirannya tidak terlepas daripada mengingati Haikal. Mungkin juga kerana sandwich yang mengingatkannya pada Haikal. Hatinya diserbu rasa pilu.

“Kenapa kau tak habiskan?” Soalan yang sudah biasa diajukan kepada Aqilah.

“Aku...dah ken...kenyang..”

“Kau teringatkan Haikal?”, teka Suzana.

Aqilah mengangguk laju.

“Dia ada jumpa kau tak?”

Aqilah menggeleng.

“Dia ada contact kau tak?”

Aqilah mengangguk.

“Dah tu?”

Hanya kedua-dua bahu saja yang diangkat oleh Aqilah.

Suzana mendengus geram. “Kau ni, nak main angguk-angguk, geleng-geleng pula”

“Aku tengah sedih ni” Wajah Aqilah berubah mendung.

Hati Suzana tersentuh dengan perubahan di raut wajah sahabatnya. “Errr...Maaf Ila”

“Tak apa. Hal biasa saja”

“Kau tak jawab ke panggilan dia?”, tanya Suzana perlahan.

Sandwich yang masih lagi berbaki disimpan semula ke dalam bekas. Pandangannya jatuh pada rumput. Kakinya menguis-nguis rumput dengan hujung sandal. “Aku off phone masa tu”, jawab Aqilah perlahan.

“Kau tak try call dia semula?”

“Kalau aku call pun, belum tentu dia angkat. Selama ni, sms aku pun dia tak balas” Bibir Aqilah menguntum senyuman tawar.

“Manalah tahu dia jawab panggilan kau. Kalau tak, buat apa dia nak call kau”

“Kalau dia call pun, bukannya dengar suara. Dia diam je. Aku pula yang macam orang gila meroyan merayu-rayu. Macam sampah pun ada”, luah Aqilah tidak mampu menahan pilu di hati.

Suzana mengerti perasaan Aqilah. Dia tidak tahan melihat Aqilah sedih. Jiwanya turut terusik mendengar luahan hati Aqilah. “Ishk, kau ni. Kenapa fikir sampai macam tu sekali?” 

“Dah betul. Buat apa aku nak tipu kau” Nafas Aqilah dihembus laju. Seakan-akan mengeluh.

“Memanglah kau tak tipu aku. Apa kata kau pergi jumpa dia. Maksud aku, face to face. Lagi senang” Dia mula memberi cadangan.

“Memanglah lagi senang. Masalahnya, aku yang tak kuat. Aku dah pergi nak jumpa dia. Masa tu, aku nak bagi surat untuk ulangtahun company. Kau pun tahukan, yang aku ni cepat sensitif. Aku blahh macam tu je. Surat tu, aku tinggal je kat atas meja”

“Macam tu pula. Hmm...Aku tak tahulah nak cakap macam mana lagi” Nadanya sudah seperti orang putus asa.

“Tak perlu cakap apa-apa. Kau hanya perlu mendengar saja”

“Kau ni, buat aku serba salah jadinya”

“Kenapa pula kau nak serba salah?” Aqilah pelik.

“Yela, kau bagi juga pendapat. Aku ni, tak tahu nak bagi pendapat macam mana lagi” Suzana bungkam.

“Kau kawan baik aku. Aku tak kata pun kau tak beri pendapat. Selama ni, kau banyak tolong aku. Masalah aku dengan Haikal, kau tak perlu risau dan tak perlu bagi pendapat. Hal kecil saja ni”

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Aku boleh selesai sendiri masalah ni. Kau tak perlu risaukan aku. Yang kau pula? Macam mana dengan Saiful? Dah okey ke?”

Hilang terus rasa bersalah Suzana pada Aqilah. Fokusnya kini pada Saiful pula. Masalah yang dihadapinya seakan-akan tidak ada jalan penyelesaian.

“Aku faham...”, ujar Aqilah perlahan.

Kening kiri Suzana terangkat. “Apa yang kau faham?” Wajah sahabatnya ditatap penuh dalam.

“Apa yang kau rasa sekarang. Aku faham dan dapat rasa apa yang kau rasa. Kita dah lama berkawan”, tukas Aqilah lalu tersenyum menampakkan barisan gigi yang tersusun kemas.

“Aku sedih...”, luah Suzana lantas menjatuhkan kepala pada bahu Aqilah.

“Sabarlah kawanku”, pujuk Aqilah menggenggam erat kedua-dua tangan Suzana.

“Aku sayang dia sangat-sangat. Sampai sekarang aku tak boleh maafkan diri aku. Rasa bersalah dan malu aku begitu dalam sekali. Malu pada kau, malu pada Saiful”

“Syhhh, jangan cakap benda ni lagi” Jari telunjuk Aqilah pantas menekan dua ulas bibir Suzana.

“Maafkan aku, Ila”, ucap Suzana mencapai jari-jemari Aqilah yang berada di bibirnya.

“Aku dah lama maafkan kau. Semua dah tertulis. Jodoh kau dengan Saiful. Untuk apa lagi aku nak ingat perkara yang lepas” Mata Aqilah menikam sepasang mata Suzana. “Jangan nangis kawanku”, sambung Aqilah lalu menyeka setitis air jernih yang sudah mengalir di pipi Suzana.

“Aku sayang kau”, ucap Suzana terus memeluk Aqilah dengan erat.

“Aku pun sayang kau juga”, bisik Aqilah sayu.

 *****

LAMUNANNYA seakan berderai tatkala pipinya dicuit lembut.

“Jauh termenung”

Kepala digeleng laju.

“I tengok you macam tak ada mood saja. Kenapa?”

“I okey, Hisyam. You tak perlu risaukan I”

“You tak kerja ke hari ni?”

Sufi menggeleng laju. “I dah berhenti kerja. Itu yang I datang sini”

Hisyam tersenyum. Pertama kali Sufi bersuara lembut dengannya.

“I ada hal penting nak bincangkan dengan you”

Fokus Hisyam kini seratus peratus pada Sufi. “Apa yang you nak bincangkan?”

“Bekas isteri you dengan anak-anak macam mana sekarang?”, soal Sufi tenang. Ya, tenangnya hanya terlayar pada wajah. Tidak pada hatinya. Hanya dia yang tahu betapa gementar dirinya tika ini.

Hisyam tersenyum. “Alhamdulillah sihat. Tapi, I nak hak penjagaan anak-anak jatuh di tangan I”

“Oh, you tak fikirkan isteri you?”

“Untuk apa lagi I fikirkan dia. Sudahlah. Benda dah lepas pun”, ujar Hisyam tenang.

Fikiran Sufi dipenuhi persoalan.

“Kenapa muka you macam tempe basi ni? Ada masalah ke?”, seloroh Hisyam sudah ketawa kecil.

Sufi tersenyum hambar. Sudah lama dia tidak mendengar Hisyam ketawa sebegini. “Dah lama I tak dengar you ketawa macam ni”, ucap Sufi perlahan.

“Berapa lama you tak dengar?”, soal Hisyam dengan senyuman nakal.

Sufi menundukkan wajahnya. “I rasa bersalah pada you. Dah lama I simpan rahsia ni”

“Tak mahu beritahu I rahsia yang you simpan tu?”

Sufi menarik nafas sedalam mungkin. Bagaikan mengumpul bebanan yang begitu berat sekali. “I tak layak dapat cinta you. Kita pisah saja. I akan pulihkan kembali rumahtangga you”, jelas Sufi bingkas bangun. 

Hisyam secepat itu juga menghalang langkah Sufi. “Kenapa buat I macam ni?”

“Hubungan kita takkan pernah bahagia. You ada kehidupan yang lagi baik. I ni hanya perampas”

“Siapa cakap macam tu?” Tubuh Sufi ditarik supaya berdepan dengannya.

“I jahat pada you”, luah Sufi menundukkan wajah.

Hisyam mengeluh kecil. “Kenapa you cakap macam tu? I cintakan you seikhlas hati I”

“Tak, cinta you sebenarnya pada isteri dan anak-anak you. I hanya guna cara kotor untuk dapatkan you” Tangisannya mula kedengaran.

Hisyam tersenyum kecil. “I tahu semua tu”

Wajah Hisyam terus ditatap oleh sepasang mata Sufi. “You tahu?” Dia seakan tidak percaya.

Hisyam mengangguk. “I dah lama berubat. Masa yang sama I cuba betulkan balik rumahtangga I. Tapi, bekas isteri I tak nak. Dia lebih sayangkan orang lain daripada I. Anak-anak I mengadu bekas isteri I tu...Sudahlah, cakap pun tak guna lagi. Sekarang, I nak you faham. Hati I hanya ada you seorang saja. Sanggup tak you jadi ibu kepada anak-anak I nanti?”

Mata Sufi terkebil-kebil. Dia bagaikan ditipu oleh Hisyam. “I malu pada you. I tak layak untuk you”

“Siapa kata you tak layak untuk I?”

“I layan you macam sampah. Kenapa you masih lagi terima I?”, soal Sufi laju. Rasa bersalah begitu mencengkam dalam dirinya.

“I cintakan you. Percayalah. Pada mulanya, I memang benci bila tahu you buat macam tu. Tapi, mungkin juga ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Sampailah I dapat tahu yang bekas isteri I sebenarnya...”

“Dia curang pada you?”, duga Sufi.

Hisyam diam. mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak. “Kita lupakan pasal dia. I nak you lengkapkan hidup I dengan anak-anak. Boleh?”

Lagi sekali Sufi menundukkan wajahnya.

“Boleh tak?”, tanya Hisyam lagi sekali.

“You lebih tahu apa yang I rasa”, jawab Sufi tenang. Segala masalah seakan-akan lenyap.

“I akan jumpa mak ayah you”

Sufi tetap diam. Hatinya mengukir seribu senyuman bahagia.

“Cuma, lepas kahwin, I tak mahu guna ‘you, I’ lagi. Boleh?”, tanya Hisyam tenang.

“Gatal. I balik dulu”, getus Sufi terus berlalu meninggalkan Hisyam.

Ya, benar kata orang. Ajal, maut, jodoh, dan pertemuan semua ditentukan olehNYA...

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)