bab 41 & 42

bab 41

Idham menghempas daun pintu dengan kasar. Zurina yang sedang menyemak kertas kerja, terus membuang pandangan ke arah Idham. Pandangannya tajam sekali!

“Saya sibuk. Tak ada masa nak layan awak”, getus Zurina menyambung kembali kerjanya.

“Dengan Haikal boleh pula awak ada masa. Kenapa, dah jemu ke dengan saya?”, soal Idham lalu mengambil tempat duduk di hadapan Zurina.

“Saya tak ada masa nak berbahas dengan awak”, bidas Zurina cukup sinis.

Idham ketawa kecil. Menyampah pula dia dengan Zurina. “Tak payah awak nak berselindung lagi. Dah jelas lagi nyata. Tak perlu bersuluh pun saya dah nampak”, kias Idham penuh makna.

“Baguslah kalau dah nampak. Jadi, untuk apa lagi awak ke mari?” Suara Zurina makin lantang. Kedua-dua tangannya menghentak permukaan meja.

Terangkat kening Idham melihat kelakuan Zurina. “Tak perlu awak nak tunjuk perasaan. Sikit pun saya tak gentar dengan awak”

“Saya busy. Kalau nak bincang pasal ni, lain kali saja” Zurina kembali menyambung kerjanya.

“Tak perlu awak tekun dengan kerja tu. Sedangkan, fikiran awak bukan kat situ”

Zurina mula merengus geram. “Yang awak nak baca fikiran saya kenapa?”

Tawa Idham yang terhenti, kedengaran lagi. “Awak tak layak untuk dia, Zu. Siapa nakkan perempuan yang dah ditebuk tupai”

Kata-kata Idham menaikkan lagi suhu kemarahan Zurina. “Keluar kau dari sini. Aku tak mahu tengok muka kau lagi!”, jerit Zurina lalu membaling pen yang berada di tangan ke arah Idham.

“Saya akan pastikan Haikal tak dapat miliki awak. Tu janji saya”, janji Idham penuh rasa dendam. Dia bingkas bangun meninggalkan Zurina.

Sebaik saja pintu ditutup, tubuh Zurina terus terhenyak di kerusi. Dia memegang kepalanya yang mula bingung.

“Cik Zu, kenapa ni?”

Hanya gelengan saja yang menjawab pertanyaan Sufi.

“Cik Zu nak minuman sejuk?”

Zurina mengangguk lemah.

Sufi terus berlalu ke pantri. Air sejuk dituang ke dalam mug. Dia kembali semula ke bilik majikannya.

“Minum Cik Zu” Mug dihulurkan pada Zurina.

Thanks”, ucap Zurina mengukir senyuman terpaksa.

“Cik Zu nak batalkan ke semua appointment pada hari ni?”

Lama Zurina berfikir. Akhirnya dia mengangguk. “Temankan saya hari ni. Tak ada mood nak buat kerja”

“Baiklah” Sufi menurut arahan.

*****

AQILAH menyedut minuman dengan penuh rasa nikmat. “Awak tahu, dah lama saya tak makan KFC”

“Oh, puan suka makan KFC eak?”

Aqilah mengangguk laju. Betulkah lama aku tak makan? Rasa-rasanya, tak sampai sebulan lagi aku tak makan KFC. Dialog Aqilah dibiarkan berlalu dalam hati.

“Berselera betul saya tengok puan makan”

“Saya kalau bab makan, memang nombor satu”, seloroh Aqilah lalu ketawa kecil.

Azhar turut ketawa. “Kelakarlah puan ni. Mesti bos asyik gelak saja sepanjang masa kalau borak dengan puan”

Aqilah tersenyum hambar. Nikmat makannya bagaikan ditarik oleh Allah. Dengar saja nama Haikal membuatkan hatinya cukup sakit. Terbantut terus selera makannya.

“Puan okey?”

“Saya okey. Kenapa awak tak makan?” Aqilah menukar topik perbualan.

“Saya sebenarnya kenyang lagi. Sarapan pagi tadi, saya dah ambil makanan berat”

“Kalau macam tu, biar saya habiskan ayam awak. Saya lapar ni”, tukas Aqilah hilang terus ingatannya pada Haikal.

Biar betul puan? Boleh habis ke ni?” Azhar seakan tidak percaya.

“Boleh. Jangan risau”, balas Aqilah bersahaja.

Azhar menelan liur. Mak aiii, perut nampak kecil. Makan banyak juga dia ni. Dahsyat betullah. Ngomel hati kecil Azhar. Dalam keasyikan dia melihat Aqilah makan, telefon bimbitnya berbunyi.

“Puan, saya nak jawab panggilan kejap”

Aqilah tidak menjawab. Dia hanya mengangguk saja. Dilihatnya Azhar makin hilang di pandangan mata. Aqilah terus menikmati makan tengah hari tanpa mempedulikan pelanggan-pelanggan yang makin memenuhi ruang KFC ini.

“Assalammualaikum...”

Aqilah tersentak. Ishk, potong stim betul aku nak makan. Ada saja orang nak kacau. Rungutnya dalam hati. Lambat-lambat dia menjawab, “Waalaikumussalam”

“Boleh saya duduk?”

“Duduklah. Tak perlu awak minta izin”, balas Aqilah tiada sikit pun riak terkejut pada wajahnya.

“Berselera saya tengok awak makan”

“Kenapa, salah ke?”, soal Aqilah dengan keningnya terangkat.

Saiful tersenyum nipis. “Tak salah. Cuma rindu pula nak tengok awak makan”

Aqilah ketawa. Nampak sangat ketawa yang sengaja dibuat-buat. “Awak dah buang tabiat ke apa? Macam awak tak pernah tengok isteri awak makan” Perkataan isteri ditekan oleh Aqilah.

Senyuman Saiful hambar. “Kita terpedaya Ila”, luah Saiful penuh rasa kesal dengan apa yang terjadi.

“Oh, tak tahu pula ‘kita’ dianiaya. Bukankah orang yang aniayai ‘kita’ tu adalah isteri awak?”

“Isteri hanya pada kertas. Bukan atas dasar cinta”, akui Saiful dengan keluhan.

“Eh, saya ganggu ke ni?” Azhar muncul dalam keadaan terpinga-pinga.

Aqilah tersenyum. “Tak ganggu pun. Maaflah Encik Saiful, saya kena pergi dulu. Jom Azhar”, ajak Aqilah bingkas bangun.

Saiful ditinggalkannya begitu saja. Apa yang dia tahu, hatinya tidak langsung bersedia untuk berhadapan dengan Saiful mahupun Suzana. Biarlah hati dan fikirannya tenang dahulu. Masalah rumahtangganya pula makin rumit. Dia tidak tahu kemana hala tuju hubungannya dengan Haikal kelak.

Saiful hanya melihat tubuh Aqilah dengan lelaki yang bernama Azhar itu makin hilang ditelan kesesakan orang ramai. Saiful tersenyum hambar. Dia yakin, Aqilah tidak cinta padanya lagi. Jelas sinar pada mata itu makin pudar dengan cahaya cinta buat dirinya.

Dia tidak nampak lagi Aqilah yang dahulunya manja dan periang. Aqilah yang berada di depannya tadi sangat berbeza. Penampilan Aqilah menyerlahkan lagi kematangannya. Bicara Aqilah tiada lagi lembut. Setiap apa yang dilontarkan, sangat tegas dan penuh sinis. Itulah pendapatnya tentang Aqilah! Saiful mengeluh panjang. Dia sendiri tidak tahu akan perjalanan hidupnya.

*****

“APA benda ni?”

“Bagi pada saya balik!”, jerit Suzana cuba merampas diari daripada pegangan Saiful.

“Sampai hati awak buat macam ni” 

Air mata Suzana sudah mengalir laju.

“Kenapa Ana? Kenapa perlu perangkap saya?”, soal Saiful sudah terduduk di birai katil. Diari di pegangannya terlepas juga.

Suzana sudah terjelopok jatuh. Tangannya terketar-ketar mencapai diari yang terlepas dari tangan Saiful.

“Selama ni, saya ingat Ila yang tak setia. Saya ingat Ila dah lupakan saya. Tapi, tak sangka, kesemua email saya, awak yang balas. Kenapa awak buat macam ni? Macam mana awak tahu password saya? Cakap!”, tengking Saiful mula berang.

Suzana terkejut. Tengkingan Saiful membuatkan tubuhnya bergetar hebat. Bibirnya diketap kuat. Teragak-agak dia mahu membuka mulut. Terasa berat untuk dia bercakap.

“Saya ambil awak sebagai isteri sebab ingatkan..” Kata-kata Saiful terhenti di situ. Dia sakit hati bila mengingati semua sejarah hitam itu.

“Tak sangka awak yang perangkap saya. Kemudian, berlakon minta simpati. Pandaikan awak berlakon!”, jerkah Saiful lantang.

Tangisan Suzana makin kuat. Kaki Saiful dipaut erat. “Saya minta maaf. Jangan buat saya macam ni. Saya cintakan awak”, rintih Suzana membenamkan muka di lutut Saiful.
            
 “Simpan saja cinta kau tu. Tahu tak, kau tak layak dapat cinta aku” Saiful bingkas berdiri.

Suzana tetap memeluk erat kaki Saiful. “Maafkan saya...”, pinta Suzana turut sama terheret apabila Saiful membuka langkah.

Hati lelaki Saiful makin geram. “Jangan sentuh aku!”, jerkah Saiful berusaha menarik kakinya.

Suzana menggeleng sambil tersedu-sedan. “Jangan tinggalkan saya”

“Kau sememangnya layak untuk ditinggalkan”, bidas Saiful menolak tubuh Suzana dengan kasar.

Sebaik saja pelukan Suzana pada kakinya terlerai, Saiful terus menghayun langkah dengan laju. Hatinya terasa pedih saat ini. Suzana meraung sekuat hati. Pergi Saiful membuatkan dirinya lemah. Hidupnya terasa tidak bermakna lagi.

Suzana kembali pada alam realiti. Dia mengeluh panjang. Kesalnya datang bertimpa-timpa. Semua yang berlaku masih jelas di ingatannya. Masalah rumahtangganya bermula sejak itu. Ya, selepas Saiful membaca diarinya. Kalau dia tahu begini jadinya, pasti diari itu akan dibakar. Namun, sampai bila dia harus menyimpan rahsia ini? Lambat laun, akan tersingkap juga.

Keluhan demi keluhan keluar dari mulutnya. Dia sendiri tidak tahu berapa kali dia asyik mengeluh. Ila, aku minta maaf. Ucapan itu hanya terlafaz dalam hati saja...



bab 42

Sudah tiga hari Aqilah dan Haikal tidak tinggal sebumbung. Perasaan gelisah makin mencengkam kuat dalam diri Datuk Johar dan Datin Sofea. Paling resah apabila bayang Haikal langsung tidak kelihatan di rumah ini. Sudah berkali-kali Datin Sofea cuba menghubungi Haikal. Namun, tidak langsung panggilannya dijawab. Hendak salahkan menantunya, tidak adil pula. Manalah tahu, kalau salah faham itu berpunca daripada anaknya sendiri.

“Ila, boleh mama masuk?” Datin Sofea tersenyum melihat Aqilah yang sedang meniarap di atas katil.

“Masuklah. Tak perlu minta izin” Aqilah bangun lalu memberi ruang pada Datin Sofea di atas katil.

“Ila buat apa ni?”

“Ila tak buat apa pun. Tengok-tengok album lama, baca novel, dengar lagu”

Datin Sofea tahu Aqilah pura-pura gembira. Sedangkan hati Aqilah bagaikan dihiris sembilu. “Mama sayang Ila”, ucap Datin Sofea penuh kasih. Rambut Aqilah dielus lembut.

Aqilah tersenyum. “Ila pun sayang mama juga” Dia kembali baring lalu paha Datin Sofea dijadikan alas kepalanya.

“Anak mama ni makin cantik”, puji Datin Sofea terus-terusan membelai rambut anak tunggalnya.

“Mama ni, bukan makin cantiklah. Makin matang”, perbetul Aqilah lantas ketawa kecil.

“Mama rasa bersalah sangat”

Aqilah terdiam. Matanya terus menatap sepasang mata tua itu. “Apa mama cakap ni? Ila tak faham” Aqilah bangun lalu bersimpuh di sebelah Datin Sofea. Dahinya menampakkan garisan halus.

“Kalau kami tak jodohkan...”

“Syhh...” Jari telunjuk Aqilah diletakkan pada dua ulas bibir merah itu. Aqilah terus mencapai tangan Datin Sofea lalu digenggam erat. Dia tersenyum hambar. Wajah tua itu dipandang penuh rasa sayang.

“Mama, Ila tak pernah salahkan mama dengan papa. Lagipun, mana ada rumahtangga yang tak dilanda badai. Ila bahagia sangat mama. Bahagia disamping Abang Haikal. Mama janganlah risau. Masalah ni akan selesai juga. Sabar ya”, tutur Aqilah penuh sopan.

“Mama tak sanggup tengok Ila macam ni” Air mata tua itu menitis juga.

Hati Aqilah tidak keruan. Air mata yang jatuh di pipi Datin Sofea, pantas diseka lembut. “Mama, Ila tak pernah salahkan takdir. Ila redha mama. Mungkin, ada hikmah di sebalik masalah yang berlaku ni. Ila sayang Abang Haikal. Ila sayang rumahtangga kami. Dan, Ila pun yakin Abang Haikal juga sama macam Ila” Bersungguh-sungguh Aqilah menyakinkan Datin Sofea.

“Mama sayang Ila. Mama sayang Haikal. Dua-dua mama sayang”, ucap Datin Sofea lalu menarik Aqilah ke dalam pelukan.

Aqilah turut membalas pelukan mamanya. “Ila pun sayang mama. Ila sayang papa dan Ila sayang Abang Haikal”, balas Aqilah perlahan. Senyumannya terukir dalam tangisan. Dia mesti kuat. Dia tidak mahu lemah di hadapan kedua-dua orang tuanya. Kau kena kuat Ila! Desis hatinya penuh bersemangat.

*****

HAIKAL termenung panjang. Dia hanya melihat kebesaran Allah S.W.T dengan penuh rasa kerdil. Langit yang memayungi bumi dipandang penuh rasa kagum. Mulutnya tidak henti-henti melafazkan kalimah ‘ALLAHUAKBAR’. Angin malam yang menyapa tubuhnya membuatkan dirinya tenang seketika. Saat ini, ingatannya terus melayang mengingati perbualan indah antara dia dan Aqilah. 

‘Bila abang pandang langit, abang akan terbayang kehidupan abang dengan isteri abang’ 

Haikal tersenyum. Sememangnya betul. Aqilah tetap dalam ingatannya. Sebaris nama itu mahupun seraut wajah itu, tidak mungkin akan dilupakannya sampai bila-bila.

“Abang rindu sayang. Sangat-sangat rindu. Tapi, kenapa hati abang sakit bila tengok sayang?”

Keluhan kecil keluar dari mulutnya. Haikal menundukkan wajahnya. Baru seketika tadi Zurina menelefonnya. Dia berjaya tidak menjawab panggilan Zurina. Teramat susah untuk dia melawan kehendaknya untuk menjawab panggilan itu. Akhirnya, dia berjaya juga! 

‘Abang sayangkan Ila. Sepenuh hati abang cintakan Ila. Abang impikan kehidupan abang akan bahagia bersama sayang. Abang impikan sebuah keluarga yang bahagia, dikelilingi anak-anak yang comel macam sayang, dan abang impikan cinta dari sayang. Tak ada apa lagi yang abang impikan selain hidup bersama sayang. Selama ni, abang rasa kehidupan abang kabur. Abang tak tahu jalan kehidupan abang bila bersama Ila. Tapi, abang makin nampak jalan kebahagiaan bila hati abang mula terpaut pada sayang’ 

Bibirnya menguntum senyuman nipis. Kata-kata indah itu berjaya masuk ke otaknya. Dia akui, Aqilah adalah cinta kedua dalam hidupnya. Malah, dia sendiri pada mula berusaha menolak kehadiran Aqilah. Namun, dia tewas. Aura Aqilah sangat kuat merasuki kehidupan dan dirinya.

Pergolakan rumahtangganya bagaikan batu berat yang menghempap kepala. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah yang melanda kini. Sudah beberapa hari dia tidak ke pejabat. Segala urusan, diserahkan pada Azhar dan juga Aqilah. Dirinya rimas dengan kehadiran Zurina. Bila Zurina muncul di hadapannya, seluruh jiwanya akan terpaut pada Zurina. Pada hakikatnya, dia tidak lagi mencintai Zurina.

Haikal memicit kepala yang mula berdenyut. Dia bagaikan dipukau oleh Zurina. Itulah yang amat ditakutinya. Dia tidak mahu menyakiti hati Aqilah lagi. Cukuplah sekali itu yang membuatkan hati isterinya hancur luluh. Jadi, biarlah dia mengambil keputusan untuk berdiam diri.

Panggilan Aqilah tidak langsung dijawab. Panggilan Zurina pun tidak dijawab juga. Paling rasa bersalah sekali pada mentuanya. Bukan dia sengaja tidak mahu jawab. Tapi, dia perlukan masa. Dia perlukan cara untuk selesaikan masalah ini. Bersemuka dengan Aqilah membuatkan rasa marahnya memuncak. Terfikir juga dia mahu berbincang dengan Hajah Rosiah. Apabila perkataan ‘tapi’ yang banyak bermain di fikirannya, dibatalkan saja niatnya itu.

***** 

ZURINA resah. Keypad di telefon bimbitnya sudah berulangkali ditekan. Makin menyakitkan hati apabila panggilannya tidak langsung dijawab. Dia mundar-mandir. Sekejap duduk, sekejap berdiri.

“Dia tak angkat phone lagi ke?”, soal Sufi sudah berasa pening dengan tingkah  majikannya.

“Kalau dia angkat, tak ada maknanya saya nak resah. Satu panggilan pun dia tak jawab. Ni yang buat saya tension”, rungut Zurina berang.

Sufi tenang. “Cik Zu cuba bersabar sikit. Memanglah mula-mula macam tu. Lama-lama nanti, dia akan jawab juga”

Zurina duduk kembali di sebelah Sufi. “Macam mana kalau dia tukar nombor telefon?”

“Kalau dia tukar, pergi sajalah jumpa kat tempat kerja. Apa susahnya”

Zurina mengetuk perlahan kepalanya. “Betul juga. Kenapalah saya tak fikir macam tu” Kata-kata itu lebih ditujukan pada dirinya.

Sufi tersenyum penuh makna. “Senang sajakan? Kalau dia tak datang kerja, Cik Zu pergilah jumpa dia kat rumah”, cadang Sufi penuh dengan hasutan syaitan.

“Seganlah pula nak pergi sana. Hati saya ni, tak boleh tengok isteri dia. Makin benci pula saya nanti”, getus Zurina.

“Kalau Cik Zu asyik telefon saja, manalah nak berkesan. Cik Zu kena jumpa depan-depan. Barulah mujarab sikit ‘ubat’ tu”

“Maksud awak? Takkan call pun tak mujarab kot?”

“Entahlah. Saya jenis jumpa secara berdepan. Bila dia tengok kita, terus mujarab. Kalau dah berjauhan, memanglah rasa sayang dia pada Cik Zu susah nak muncul”

Zurina terdiam. “Tak ada ke ‘ubat’ yang lagi mujarab? Saya nak dia terus lupakan Aqilah”

“Ada tu memang ada. Tapi...”

“Kalau macam tu, awak tolong carikan bomoh lain pula. Boleh?” Akalnya tidak dapat berfungsi lagi. Hilang terus hukum hakam islam dalam dirinya.

Sufi menelan liur. Dengan berat dia menjawab, “Baiklah. Nanti saya cuba carikan”

Zurina tersenyum puas. Dia tidak takut lagi pada balasan Allah S.W.T. Asalkan, impian untuk bersama-sama dengan Haikal akan tercapai. Kau tunggu sajalah Ila. Haikal akan lupakan kau buat selama-lamanya. Desis hati kecil Zurina dengan iman semakin sifar.

***** 

SATU PER SATU mesej dibaca. Nafas panjangnya dihela perlahan-lahan. Lama matanya menatap bait yang tertera di skrin telefon bimbit. 

Aku minta maaf Ila.... 

“Maaf...” Hanya sepatah yang keluar dari mulut Aqilah. Matanya dipejam seketika. Rasa bencinya tidak langsung terselit dalam hati. Cuma, dia terkilan dengan Suzana. Sungguh, dia terasa hati dengan sikap Suzana. Sedangkan, dia dan Suzana sudah berkawan lama.

Namun, bila difikirkan balik, silapnya juga kerana mencintai Saiful. Kalau dia tahu Suzana mencintai Saiful, sudah pasti dia akan menolak cinta lelaki itu. Yang pasti, hubungan antara dia dan Saiful terjalin daripada Suzana juga. Tapi, kenapa Suzana sanggup ketepikan hati sendiri? Sedangkan, diri Suzana mencintai Saiful? Aqilah buntu.

Panggilan Suzana tidak langsung dijawabnya. Hatinya kecewa apabila Haikal tidak langsung menghubunginya. Diam Haikal seolah-olah mahu melarikan diri. Dalam keasyikan dia memikir cara menyelesaikan masalah, telefon bimbitnya berbunyi. Hatinya berdebar. Harap-harap, Haikal yang hantar mesej.

Huh...Kecewanya aku. Rintih hatinya sedih dan pedih. 

Ila, plezz... 

Sms daripada Suzana dibaca. Akhirnya, dia membalas juga. 
Esok kita jumpa. Kat tempat biasa... 

Aqilah menekan butang ‘Send’. Tidak lama kemudian, telefonnya berbunyi lagi 

Thanks Ila... 

Aqilah diam. Matanya tajam merenung skrin telefon. Seolah-olah helang yang mahu menyambar mangsa.

“Haikal...”, sebutnya dengan keluhan. Sebaris nama yang tidak akan dipadam dalam kamus hidupnya. Melainkan, Haikal tidak perlukan dirinya lagi.

“Tak boleh jadi ni. Aku kena bertindak juga. Kalau dua-dua diam macam ni, masalah takkan selesai sampai bila-bila”, tekad Aqilah penuh semangat.

Ya, dia akan pertahankan rumahtangganya. Selagi dia masih bergelar isteri kepada lelaki yang bernama Mohd Haikal Bin Yusof, perkahwinan ini akan tetap dipertahankan selagi dia bernafas.

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)