bab 57 & 58


bab 57

Wajah pucat isterinya ditatap lembut. Tidak jemu matanya memandang wajah itu. Berkali-kali juga tangan Aqilah dikucup mesra. “Abang rindu sayang...”, luah Haikal sayu.

Sebelah tangannya terus-terusan mengelus lembut rambut Aqilah. “Jangan buat abang risau lagi” Sekali lagi tangan Aqilah dikucup penuh rasa cinta. Lama dia menggenggam jemari isterinya.

Haikal menoleh sebaik saja terdengar pintu bilik dikuak dari luar. “Ma, pa...” Haikal bingkas bangun mendapatkan Datuk Johar dan Datin Sofea. Dengan penuh rasa hormat dan rendah diri, dia bersalam dengan mentuanya.

“Macam mana keadaan Ila?”, aju Datin Sofea jelas terpapar kerisauan.

“Makin baik”, jawab Haikal perlahan.

“Mama kamu tu risau sangat”, celah Datuk Johar tetap bersahaja.

Haikal tersenyum tawar. “Mestilah risau papa. Haikal pun risau juga”

“Saya yang mengandungkan Ila. Mestilah saya risau” Begitu tegas Datin Sofea bertutur.

“Sabarlah. Haikal dah cakap, Ila makin baik. Jom Haikal, kita borak kat luar”, ajak Datuk Johar menepuk-nepuk bahu menantunya.

Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Hanya langkah kaki saja yang mengikut langkah Datuk Johar.

“Kamu dah makan belum?”

“Dah makan. Papa jangan risau”, ujar Haikal melabuhkan punggung di kerusi yang tersedia di luar bilik sakit.

“Kalau tak makan lagi, mari kita ke kantin. Nanti, Ila sedar kamu pula yang pengsan” Kata-kata Datuk Johar mengundang tawa kecil dari mulut Haikal.

“Tak adalah. Haikal okey. Dah makan tadi. Nasib baik masa Ila sakit, Haikal ada kat rumah” Rasa bersalahnya begitu menebal.

“Tak apalah, benda dah nak jadi. Mesti dia merajukkan. Tu yang dia tak nak makan”

Terangkat sebelah kening Haikal. “Macam mana papa tahu?”

“Dulu pun jadi kes macam ni juga. Papa dengan mama tak ikut kehendak dia. Sampaikan mama dengan papa paksa makan pun, dia tak mahu. Apa lagi, masuk hospitallah jawabnya”, jelas Datuk Johar terhias sebaris senyuman pada bibirnya.

Haikal diam. Suami jenis apa aku ni. Kalau aku tahu dia ada sakit, dah lama aku paksa dia makan. Masalahnya, manalah aku tahu yang dia tu ada sakit. Haikal bermonolog dalam diam.

“Kamu nak tunggu Ila ke?”

Laju saja Haikal mengangguk.

“Kalau penat, biar mama yang jagakan Ila”

“Tak apalah pa. Haikal boleh jaga”

Dahi Datuk Johar mula berlapis. “Macam mana dengan kerja nanti?”

Liur Haikal ditelan perlahan. Terasa perit sekali untuk ditelan. Tawar, pahit, semuanya bercampur menjadi satu!

“Kalau tak, biar papa yang tolong gantikan Haikal kejap”, cadang Datuk Johar.

Haikal tersentak. Terus dia menjawab, “Eh, tak apa papa. Haikal dah suruh Azhar yang gantikan. Lagipun, tak ada yang penting sangat pun. Papa jangan risau ya”, bohong Haikal dalam keterpaksaan.

Kepala Datuk Johar diangguk berkali-kali. “Hmm..Kalau macam tu, tak apalah. Papa pun percayakan si Azhar”

“Hah, mama dengan papa nak balik kejap. Nanti, kalau Ila dah sedar, Haikal beritahu kami ya”, sampuk Datin Sofea yang baru saja keluar dari bilik.

Haikal turut bangun sebaik Datuk Johar bangun dari duduk. “Insyaallah, nanti Haikal beritahu”

“Bubur yang mama masak tu, jangan lupa bagi Ila makan. Mama ada bekalkan lebih sikit. Kalau Haikal lapar, makanlah. Jangan biar perut tu kosong. Nanti pengsan, lain pula jadinya”, pesan Datin Sofea panjang lebar.

“Hah, dengar tu Haikal. Kalau kamu tak makan nanti, habislah hospital ni runtuh dengar ‘bom’ yang keluar dari mulut mama kamu ni”, seloroh Datuk Johar dalam sindiran.

Jelingan tajam dihadiahkan kepada suaminya. “Amboi, kalau sehari tak kenakan saya, tak sah! Mama balik dulu. Jaga Aqilah baik-baik” Selesai saja tangannya dikucup Haikal, Datin Sofea terus membuka langkah laju. Merajuk dengan suami tercintalah katakan!

“Habislah papa lepas ni. Papa balik dulu. Kalau ada apa-apa nanti, beritahu ya”, tukas Datuk Johar diakhiri dengan berjabat tangan.

Haikal sekadar tersenyum melihat sepasang suami isteri itu. Tidak dapat digambarkan kehidupannya di hari tua nanti. Adakah dia dan Aqilah akan menjadi seperti Datuk Johar dan Datin Sofea? Entahlah, dia sendiri pun tidak tahu. Apa yang dia harapkan, perkahwinan ini biarlah kekal selagi dia masih bernafas. Hanya Aqilah yang bertakhta di hati.

*****

“MAK dengar Ila jatuh sakit. Kenapa tak beritahu mak?”

Dahinya dipicit. Kusut!

“Mak tanya kamu ni. Yang diam saja kenapa?” Suara Hajah Rosiah jelas menampakkan ketidakpuasan.

“Haikal dengar mak. Cuma, Haikal nak cakap assalammualaikum”, jawab Haikal lalu tersenyum.

“Waalaikumussalam. Mak pun sampai terlupa nak beri salam. Ila macam mana?”

“Amboi mak ni, lebih sayangkan menantu nampaknya. Haikal ni, mak tak mahu tanya pula” Ada rajuk dihujung hatinya. Seketika saja rajuknya. Tak macho kalau lelaki merajuk!

“Mak tahu kamu tu sihat. Yang mak nak tahu sekarang, keadaan Ila. Kamu kat mana ni? Tak jaga Ila ke? Kamu jangan lepas tangan Haikal...”

“Astaghfirullahalazim....” Haikal beristighfar panjang. “Mak ni, Haikal baru keluar dari surau. Nak pergi jenguk Ila ni. Macam tak percaya kat anak sendiri je”, sambung Haikal perlahan. Tiada lagi macho, tiada lagi ego untuk mengatakan lelaki tidak akan merajuk. Memang dia benar-benar merajuk!

“Mak bukannya apa. Kamu tak beritahu Ila hal yang sebenar ke? Pasal hal rumahtangga kamu goyah dulu”

Bibir Haikal diketap kuat. Hilang terus semangatnya untuk berjalan. Buat seketika, dia merebahkan tubuh pada kerusi yang tersedia ada. “Haikal tak cerita kat Ila pasal hal tu. Benda dah lepas”, balas Haikal berserta keluhan kecil.

“Hah, macam itulah orang lelaki. Asyik nak sembunyi hal yang sebenar saja. Cubalah kamu cerita kat Ila. Orang perempuan ni, selagi dia tak dapat tahu punca masalah sebenar, selagi itulah dia akan bertanya. Mak takut nanti, kamu yang hilang sabar pula”, bebel Hajah Rosiah panjang lebar.

Mata Haikal dipejam seketika. Seakan-akan ada masalah yang terlalu berat menimpa dirinya. “Insyaallah, ada masa nanti Haikal akan beritahu. Mak jangan risau. Mak dengan adik-adik sihat tak?”

“Kamu pun dah pandai tukar topik”

Haikal mengeluh. Sabarlah wahai hati. Sebelah tangannya mengusap dada berkali-kali. “Taklah. Haikal tak ubah topik pun. Baiklah Puan Hajah Rosiah, nanti anakmu ini akan khabarkan hal yang sebenar kepada menantu kesayangan puan” Dia cuba berjenaka. Sekadar untuk mengurangkan tekanan dengan masalah.

“Alhamdulillah. Mak dengan adik-adik sihat. Sudahlah, pergi jaga Ila. Kamu jangan nak lepas tangan pula”, pesan Hajah Rosiah.

Haikal mengangguk berkali-kali. Seakan-akan Hajah Rosiah dapat melihatnya tika ini. “Haikal akan jaga Ila. Jangan risau. Jaga diri mak baik-baik. Sampaikan salam Haikal pada adik-adik”

“Insyaallah. Kamu tu, jaga kesihatan sama. Assalammualaikum”

“Insyaallah mak”, jawab Haikal perlahan. Sebaik saja dia menjawab salam, talian diputuskan. Haikal bingkas bangun. Laju saja kakinya melangkah menuju ke bilik sakit yang menempatkan isterinya.

Pintu bilik dikuak dari luar. Matanya tertancap pada Aqilah yang sudah sedar. Kelihatan doktor dan juga jururawat sudah selesai tugasnya. Haikal mendapatkan doktor lelaki itu di luar bilik. Jelas tertera name tag pada bajunya. Doktor Maliki!

“Maaf doktor, saya ke surau tadi”

“Tak apa. Dah kebetulan dia sedar masa nurse masuk”, jelas Doktor Maliki lalu menepuk-nepuk bahu Haikal.

“Bila isteri saya boleh keluar?”

“Esok dia dah boleh keluar. Pastikan dia makan ikut pada waktu. Jangan biarkan perut isteri awak kosong. Kalau tak ada apa-apa lagi, saya pergi dulu” Doktor Maliki meminta diri.

Haikal sempat berjabat tangan. Dia kembali semula ke bilik. Tubuh Aqilah yang lemah dirapati.

“Nak air...”, tutur Aqilah perlahan. Lemah!

Haikal terus mencapai sebotol mineral lalu dituangkan ke dalam gelas. Haikal bingkas bangun lalu duduk pada ruang kosong bersebelahan isterinya. “Abang tolong boleh?”

Aqilah diam. Dia hanya menurut saja. Penuh berhati-hati, dia meneguk air dengan bantuan Haikal. Hatinya tersentuh. Dia menggeleng kepala tanda tidak mahu lagi. Haikal mengerti.


Wajah isterinya dipandang penuh rasa kasihan. Terasa sakit hatinya hilang begitu saja. “Sayang lapar ke? Kalau lapar, abang suapkan makanan”

Aqilah menggeleng dengan lemah. Dia menyandar tubuh di kepala katil. Seketika matanya dipejam rapat. Lambat-lambat, dia membuka semula. Wajah Haikal dipandang lama. “Berapa lama saya tak sedarkan diri?”

Hati Haikal pedih. Seakan ada sembilu tajam yang menikam jantungnya. Perkataan ‘saya’ yang keluar dari mulut Aqilah seperti mahu meneruskan jurang antara mereka. Namun, bila mengenangkan keadaan Aqilah pada waktu ini, Haikal cuba menenangkan hatinya. Dia bersikap selamba.

“Sayang tak sedar dalam dua jam”

“Taklah lama sangat...”, gumam Aqilah perlahan. Namun, masih jelas di pendengaran Haikal.

Senyuman Haikal terukir jua. “Bagi sayang tak lama. Bagi abang pula, terlalu lama nak tunggu sayang bangun”, tutur Haikal tetap bersahaja.

Aqilah kembali baring semula. “Kalau lama, tak perlulah awak tunggu saya”

Kerutan pada dahi Haikal jelas kelihatan. “Jangan cakap macam tu. Abang sanggup tunggu sayang walau berapa lama sekalipun”, ucap Haikal penuh kesungguhan.

“Saya tak mahu awak layan saya sebab saya ni sakit. Saya tak perlukan simpati daripada awak. Bila saya boleh keluar?”

“Esok sayang dah boleh keluar. Mama dengan papa datang tadi. Esok kita balik rumah sana ya. Sayang makanlah sikit. Abang risau kalau sayang tak makan” Haikal cuba memujuk Aqilah.

Seperti selalunya, Aqilah tetap berkeras tidak mahu menjamah sedikit makanan. Memang dia rindukan Haikal menggunakan perkataan ‘abang’ dan ‘sayang’. Tapi, hatinya masih berasa was-was. Dia takut andai Haikal berlembut hanya kerana dia sakit. Bagaimana pula jika dirinya kembali sihat? Adakah perkataan ‘abang’ dan ‘sayang’ akan berubah terus? Sungguh, dia tidak mahu. Disebabkan itu, dia masih mengekalkan perkataan ‘saya’ dan ‘awak’. Jika dia menggunakan ‘abang’ dan ‘sayang’, kelak boleh merana diri andai Haikal berubah lagi.

“Sayang, makan sikit ya. Abang suapkan”, pujuk Haikal lagi.

“Kenapa awak baik dengan saya?”, soal Aqilah tidak langsung memandang wajah Haikal.

“Sebab sayang adalah isteri abang”, jawab Haikal jujur.

Aqilah tersenyum hambar. “Ikhlaskah apa yang awak ucapkan pada saya?”

Haikal mengeluh perlahan. “Abang tak tahu macam mana nak pujuk hati sayang. Kalau sayang meragui keikhlasan abang, apa lagi yang perlu abang katakan”

“Bukankah awak lebih menyanyangi orang lain selain saya? Andai benar hati awak masih pada dia, pergilah. Saya takkan halang. Cuma, izinkan saya jadi isteri awak walaupun tiada rasa cinta awak pada saya”, luah Aqilah cuba bersikap tenang. Hanya Allah S.W.T saja yang tahu gelora di hatinya saat ini.

“Kenapa sayang cakap macam tu?” Tangan Aqilah terus dicapai lalu digenggam erat. “Abang takkan tinggalkan sayang lagi. Abang minta maaf andai banyak melukakan hati sayang. Jangan buat abang macam ni” Tangan Aqilah dibawa ke bibir lalu dikucup lembut. Penuh kasih.

“Hati saya sakit bila awak menjauh diri. Saya telan semua kesakitan tu. Dalam diam, hati saya terhiris dengan perbuatan awak. Saya tahu awak tak bahagia dengan perkahwinan ni. Tiada cinta di hati awak buat saya”, rintih Aqilah sayu. Setitis air matanya jatuh jua ke pipi.

Lantas Haikal menyeka titisan jernih itu. Dirinya turut sebak. “Sayang jangan cakap macam tu. Hati abang sakit bila tengok sayang menangis. Jangan nangis lagi. Abang janji takkan buat sayang menangis lagi”, ucap Haikal melafazkan janjinya pada isteri tercinta.

Ya, dia tidak akan menyakiti hati Aqilah lagi. Dia mahu kembalikan kegembiraan dalam hidup Aqilah. Dia mahu bibir Aqilah sentiasa diwarnai dengan senyuman. Dia mahu wajah Aqilah dihiasi dengan sejuta kegembiraan. Dan dia mahu hidup Aqilah dan dia dilakari dengan sejuta kemanisan. Itu janjinya!


bab 58

 “Ila, mari makan”, panggil Datin Sofea lembut.

Aqilah menggeleng laju. “Tak nak. Ila nak juga bola”, bentak Aqilah dengan muka kembali monyok.

“Budak perempuan mana boleh main bola. Mama belikan anak patung ya”, pujuk Datin Sofea mendapatkan Aqilah yang keras duduknya di sofa.

Aqilah tetap menggeleng. “Tak mahu. Ila tak mahu anak patung. Ila nak juga bola!”, jerit Aqilah dengan muka makin merah.

Datin Sofea beristighfar panjang. “Budak perempuan tak boleh main bola. Kalau jatuh masa main nanti macam mana?” Senyuman Datin Sofea tetap manis.

Wajah Aqilah berubah keruh. Seperti ada awan mendung yang menyelubungi dirinya tika ini.

“Mari kita makan dulu ya. Nanti mama bincang dengan papa”

“Tak mahu, tak mahu. Ila nak juga bola!”, jerit Aqilah bingkas bangun dari duduk.

“Sayang....”

Datin Sofea tersentak. Hilang terus ingatannya terhadap kisah lampau. Tumpuannya lebih kepada Datuk Johar.

“Jauh mengelamun”

“Teringatkan kisah lalu”, ujar Datin Sofea sambil tersenyum nipis.

Kening kanan Datuk Johar terangkat. Buku yang berjudul ‘101 Kisah Sahabat Nabi’ ditutup lalu diletakkan di meja kecil.

“Boleh abang tahu kisah lalu yang mana satu?” Tubuhnya bersandar di kepala katil.

Datin Sofea tersenyum. Tangannya diletakkan di atas paha suaminya. “Pasal Ila”, jawab Datin Sofea lembut.

Tangan isterinya digenggam erat. “Masih fikirkan Ila? Haikal dah beritahu tadi yang Ila dah boleh keluar esok. Malam esok dia orang tidur kat sini. Janganlah risau sangat. Abang yakin, Haikal boleh jaga Ila” Datuk Johar cuba menenangkan isterinya.

“Saya tahu. Cuma, teringatkan saja. Bila dah tua-tua macam ni, asyik terkenangkan masa lalu saja”

“Aah kan. Teringatlah pula abang masa muda-muda dulu. Macam mana abang boleh jatuh hati kat sayang kan?” Soalan itu ditujukan lebih kepada dirinya.

Datin Sofea membalas dengan satu jelingan tajam. “Kenapa baru sekarang nak tanya? Kenapa tak daripada dulu lagi?”

“Entah. Abang pun tak tahu. Mungkin sebab sayang curi hati abang kot”

“Kot je?”, soal Datin Sofea laju dengan mata membulat besar.

Tawa Datuk Johar meletus juga. “Sayang janganlah marah pula. Tapi, memang betul pun abang cintakan sayang”

“Yela tu cinta” Pantas genggaman tangan suaminya dileraikan. Merajuklah tu!

Makin menjadi-jadi tawa Datuk Johar. “Sayang jangan merajuk. Nanti cepat tua”

“Biar merajuk. Memang dah tua pun”, bidas Datin Sofea terus membaringkan tubuh.

“Marahlah tu. Abang sayang Sofea sangat-sangat. Tak ada orang lain dalam hati abang”, bisik Datuk Johar lantas memeluk isterinya.

Senyuman Datin Sofea mekar di dalam hati. Sofea pun sayangkan abang juga. Bisik hati kecilnya.

*****

ZURINA tersenyum sendirian. Gambar Idham yang menghiasi pada skrin telefon bimbitnya diusap perlahan.

“Kenapa saya boleh jatuh hati kat awak?” Perbualannya dengan Idham sebentar tadi kembali terlayar di kotak fikiran.

“Kenapa awak boleh jatuh hati kat saya?” Pertanyaan Zurina dibalas semula oleh Idham.

“Awak ni, saya seriuslah”, tegur Zurina tegas.

“Okey sayang. Saya pun serius juga”

“Dah tu, kenapa tanya saya soalan tu balik?”, soal Zurina dengan matanya semakin mengecil. Berkerut dahinya. Keningnya pula seperti mahu bercantum.

“Nak buat macam mana, dah soalan tu agak pelik”, balas Idham bersahaja.

Zurina menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Pelik sangat ke soalan tu?”

“Taklah sepelik mana pun”, jawab Idham lalu ketawa besar.

Zurina seakan baru tersedar bahawa dirinya sudah terkena dengan Idham. Lantas, rasa marahnya muncul. “Awak ni, main-main pula. Asyik nak ketawa je. Cubalah sekali-sekala serius sikit”

“Saya seriuslah ni. Okey, apa yang awak nak tahu sangat?” Tawa Idham henti serta-merta.

“Malaslah nak ulang”, getus Zurina diakhiri dengan keluhan kecil.

“Merajuk pula”, gumam Idham.

“Mana ada orang merajuk”, cantas Zurina laju.

“Yela tu tak merajuk. Hmm...Mungkin sebab saya ni seorang yang penyabar kot. Tu yang awak jatuh hati pada saya”

“Hah? Penyabar? Tak percayalah” Matanya terus terbuka luas.

“Okey, kalau tak penyabar, sebab apa awak suka saya?”, soal Idham kembali.

Zurina tersenyum. “Hmm, entah”

“Entah pula”

“Mungkin juga sebab awak ni lain daripada yang lain”, ujar Zurina dengan senyuman lebar melakari di bibir.

“Kenapa, saya ni alien ke?”

Spontan Zurina ketawa besar. “Ada pula sampai ke situ. Mungkin sikap awak yang buat saya jatuh hati” Tawa Zurina masih lagi bersisa.

“Boleh saya tahu, sikap yang mana satu berjaya buat awak jatuh hati pada saya?” Serius saja nada Idham.

“Biarlah rahsia”

“Amboi, main-main tajuk lagu pula. Nak merajuklah kalau macam ni” Seperti anak kecil Idham tika ini.

Zurina gelabah. “Eh, janganlah macam tu. Saya gurau je”

“Tahu pun takut. Baik awak cakap cepat”, gertak Idham dalam nada bergurau.

“Oh, main paksa-paksa pula. Malaslah nak beritahu”

“Ala...Dia pula yang merajuk” Kepalanya yang tidak gatal digaru.

Zurina sudah menutup mulut menahan tawa.

“Sayang, jangan diam macam ni. Cakaplah”, pujuk Idham cemas.

Namun, keadaan tetap juga begitu. Zurina masih juga berdiam diri. Terasa berair matanya menahan tawa. Geli hatinya terus lenyap tatkala terdengar Idham menyanyi perlahan...




Kau kekasih kau yang kurindui, 
Hanya dikau cahaya di hati, 
Kau kekasih kau yang kusayangi,
Cinta kita abadi selamanya...

Bawakanlah rinduku kepadanya,
Biar wajahku di hatinya,
Bawakanlah cintaku kepadanya,
Katakan cinta kita kan abadi...

Zurina terkaku. Bibirnya diketap rapat. Dia tidak mampu untuk berkata-kata. Liurnya ditelan berkali-kali. Hatinya tiba-tiba tersentuh dengan nyanyian daripada Idham.

“Saya sayang awak. Saya harap awak pun sayang saya. Saya tak perlukan orang lain untuk lengkapkan hidup saya. Yang saya mahu, hanyalah awak. Datanglah mana-mana gadis yang cantik sekalipun, saya tetap akan pilih awak. Hanya awak yang layak bertakhta dalam hati saya” Panjang lebar Idham menyusun kata.

Setitis air mata Zurina jatuh juga. “Saya tahu...”

“Jangan nangis. Tunggu saya balik. Rindu awak sangat-sangat”

Saya rindu awak juga....Zurina hanya membalas dalam hati. Ya, dia akan ingat kata-kata Idham sampai bila-bila. Hinggalah matanya tertutup satu hari nanti, dia tetap akan mengingati ucapan itu walaupun Idham adalah lelaki kedua yang datang dalam hidupnya.

Kenangannya dengan Haikal pula bagaimana? Dia akan lenyapkan semua kenangan itu. Tiada secebis kenangan yang akan disimpan mahupun dikenang lagi. Baru kini dia sedar, Haikal bukan jodohnya. Idham yang layak mendapat tempat di hatinya.

Biarlah apa yang dirancang akan menjadi nyata. Hanya berdoa dan bertawakal kepada Allah sahaja supaya dia dan Idham akan bersatu sebagai pasangan yang sah. Insyaallah....

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)