bab 55 & 56

bab 55

Bibir Aqilah tidak berhenti tersenyum lebar tatkala memandang kemesraan sepasang suami isteri itu. Dia mendoakan yang terbaik buat suami isteri itu. Sudah tertulis jodoh sahabat baiknya dengan Saiful. Sedih? Untuk apa dia perlu bersedih lagi. Semua itu sudah berlalu. Dia kini sudah memiliki seorang suami yang penyanyang.

Marah? Ya, memang pada mulanya dia amat marah dan terlalu marah apabila mengetahui bahawa dirinya ditipu oleh dua insan yang amat disayanginya. Namun, perkara itu telah pun terjadi. Untuk apa lagi dia masih mengharapkan Saiful. untuk apa lagi dia mendendami Suzana? Sedangkan, dia sudah mendapat jodoh yang terbaik buat dirinya.

Baginya, masa terlalu cepat berlalu. Begitu juga dengan hatinya yang terlalu pantas mencintai Haikal. Dalam tidak sedar, dia sudah memberi sepenuhnya hati pada Haikal. Ya, lelaki yang menjadi suaminya kini. Biarpun usia perkahwinannya dengan Haikal tidak sampai setahun, cintanya sudah berubah arah. Begitu cepat sekali perasaan manusia berubah!

Bila difikirkan semula, perasaan Haikal juga begitu cepat berubah. Sedangkan, sebelum ini dia sudah tahu bahawa hati lelaki itu milik kepada Zurina. Namun, dia tidak percaya apabila Haikal cintakannya! Tidakkah dia dan Haikal mengambil masa terlalu cepat untuk jatuh cinta?

Dia takut kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku kelak. Adakah satu hari nanti, hati Haikal akan berubah arah mencintai Zurina semula? Dan, adakah dia akan terus makan hati sampai bila-bila?

Cerai? Nauzubillah min zalik...Dia tidak sanggup untuk berpisah dengan Haikal. Bagaimana dia harus kuat untuk menghadapi semua ini? Ya Allah, janganlah KAU pisahkan aku dengan dia. Melainkan mati yang memisahkan kami. Amat ngeri bila memikirkan hal itu.

“Oittt”

Lamunan Aqilah berkecai dibawa bersama-sama angin malam. “Kau ni, kus semangat aku” Dadanya diurut berkali-kali.

“Errkk..Maaf”

“Tak apa. Aku tak ada sakit jantung pun”, seloroh Aqilah lalu ketawa kecil.

“Kau ni, suka bergurau dengan benda-benda macam tu”, marah Suzana tidak puas hati dengan gurauan Aqilah.

Senyuman Aqilah makin lebar. “Duduklah dulu kalau nak marah sekalipun”

Suzana mengeluh perlahan. Dia mengambil tempat bersebelahan dengan Suzana.

“Kau tak layan tetamu ke?”, soal Aqilah cuba menukar topik.

“Saiful ada. Dia boleh tolong layankan. Aku nak layan kau pula”, balas Suzana masih mendatar suaranya.

“Kau marahkan aku lagi ke?”

“Memang aku marah”, tukas Suzana tanpa memandang wajah Aqilah langsung.

“Maaf. Aku tak bermaksud nak bergurau macam tu. Tapi, andai kata aku dah tak ada nanti,...”

“Kenapa kau cakap macam ni?”, cantas Suzana sepantas kilat.

Aqilah menundukkan wajahnya. Air mata bergenang lalu jatuh mengena pipinya. “Kau tahu tak impian aku apa?” Dia cuba menguatkan diri. Dengan mengumpul segala kekuatan, wajah Suzana ditatap penuh kasih.

Di kala ini, Suzana turut tersentuh melihat sahabat baiknya. Biarpun wajah Aqilah ceria pada luarannya. Namun, disebalik wajah itu, terukir sejuta kesakitan dan kesedihan.

“Aku nak kau tahu impian aku yang pertama, aku nak tengok mama dengan papa pergi haji. Alhamdulillah, semua tu dah dimakbulkan. Impian yang kedua, aku nak jadi seorang penulis novel. Impian yang ketiga, aku nak ada sebuah keluarga yang cukup sempurna. Ada anak-anak yang comel, suami yang penyayang dan dicintai sepenuhnya oleh suami.

Tapikan, impian aku yang ketiga tu dah dimakbulkan dulu. Cuma, Allah tak beri rezeki anak pada aku lagi. Walaupun, aku berkahwin bukan atas dasar cinta. Dari perasaan benci, bertukar menjadi rindu, sayang dan cinta. Mudahkan untuk aku terima cinta dia? Tapi, nak buat macam mana, cinta tu hadir tanpa aku sedar” Jari-jemarinya digenggam erat oleh Suzana.

Nafasnya ditarik sedalam yang mungkin. Lambat-lambat, dia menghela dengan perlahan. Aqilah menguntum senyuman tawar. “Mama aku selalu pesan, kita kena hargai seseorang sebelum orang itu tiada dalam hidup kita. Jadi, aku nak rebut peluang yang ada untuk menghargai Haikal. Sedalam mana pun cinta Haikal pada Zurina, aku nak Haikal tahu betapa dalamnya cinta aku pada dia. Baru kini aku sedar, bercinta kerana Allah lagi baguskan? Aku redha kalau cinta ini tidak berpanjangan. Mungkin, Haikal akan dapat cinta lagi baik daripada aku. Aku hanya mampu berdoa.

Dan, impian aku yang kedua masih belum berhasil lagi. Aku tak mula menulis lagi. Aku ada fikir menulis kisah pasal aku dan dia. Lama dah aku fikir tajuk novel yang akan ditulis nanti. Sesuai tak tajuk ‘Benci Tapi Rindu?’. Andai kata aku tak sempat nak siapkan, aku nak kau tolong sampaikan impian aku yang kedua ni pada Haikal. Boleh?”

Air mata Aqilah sudah mula mengalir. “Aku rindukan dia. Terlalu merindui dia”, rintih Aqilah lantas memeluk Suzana.

“Aku tahu...” Sebak Suzana mula menerpa.

“Aku tak nak nangis depan dia. Aku nak kuat. Aku tak mahu dia anggap aku lemah. Tolong aku, Ana” Sedaya upaya dia menahan tangisan. Tubuhnya sudah terhinjut-hinjut dalam dakapan Suzana.

“Kau kuat, Ila. Aku tahu kau kuat. Jangan mudah mengalah. Aku ada kat sisi kau”, pujuk Suzana turut digernangi air hangat.

“Aku cintakan dia...”, ucap Aqilah tersekat-sekat. Tangisannya pecah jua.

“Aku tahu. Menangislah Ila. Luahkan segala kesedihan yang kau pendam selama ni” Belakang Aqilah diusap lembut.

Dari kejauhan, ada sepasang mata yang menyaksikan semua itu. Hati lelakinya tiba-tiba pedih dan pilu. Rasa marahnya membuak-buak. Jikalau Haikal ada di depannya, sudah lama lelaki itu akan merasa ‘ceramahnya’. Memang dulu cintanya pada Aqilah. Kini, dia sudah boleh terima kenyataan bahawa jodohnya sudah tertulis dengan Suzana. Dan, Aqilah adalah kenangannya. Dia menganggap Aqilah sebagai seorang kawan. Dan, sebagai kawan, hatinya tetap dapat merasai kesakitan yang ditanggung oleh Aqilah. Sabarlah Ila. Aku yakin kau mampu. Kata-kata itu hanya diluahkan dalam dasar hati.

*****

 “AWAK boleh temankan saya?”

“Hmm....Kita pergi hari lain boleh?” Idham tetap fokus pada skrin laptopnya.

Zurina mengetap bibir. “Bila lagi kita nak pergi?”

“Lepas saya balik dari outstation”, balas Idham tetap pada kerjanya.

“Id, cubalah awak faham sikit” Tahap kesabaran Zurina semakin menipis.

“Okey, saya cuba faham awak”, jawabnya bersahaja. Tidak langsung memandang wajah kekasihnya.

“Kalau awak sibuk, saya boleh pergi seorang diri”, putus Zurina sudah malas mahu berbincang.

“Tak boleh. Saya tak nak awak pergi seorang diri” Terus pandangannya jatuh pada wajah Zurina yang merah menyala seperti biji saga!

Zurina merengus geram. “Tahu pun nak pandang sini. Ingatkan tak nak pandang langsung”

Sebaris senyuman terhias di bibir Idham. “Saya tekun sangat ke dengan kerja?”

Membuntang mata Zurina. “Awak boleh tanya saya soalan macam tu? Kita keluar makan malam sebab nak berbincang pasal majlis tu. Yang awak pula, asyik bawa laptop ke sana sini. Kerja, kerja, kerja. Itu saja yang awak tahu”, hambur Zurina geram.

“Sayang ni, nak buat kerja pun tak boleh ke?”

“Boleh sangat-sangat Encik Idham. Buatlah kerja awak tu. Baik tak payah ajak saya keluar”, bidas Zurina masih lagi marah.

“Okey, saya off laptop. Jangan marah-marah lagi”, pujuk Idham lantas menyimpan laptop. Tumpuannya kini diberi sepenuhnya pada Zurina.

Senyuman Zurina akhirnya menguntum juga. Menang juga! Sorak hatinya.

“Yang senyum seorang diri kenapa?”, soal Idham dengan kerutan jelas di dahinya.

“Nak senyum pun tak boleh ke? Baliklah kalau macam ni”, tukas Zurina dengan muka masam mencuka.

Idham sudah menggaru-garu kepala yang tidak gatal. “Cakap macam tu pun tak boleh ke? Peninglah saya kalau macam ni. Belum lagi kahwin ni. Kalau kahwin nanti, boleh botak kepala saya. Awak nak ke kepala saya ni botak?” Idham seakan-akan mati kutu.

Zurina sudah ketawa kecil. “Kalau awak botak, saya cari lain”, seloroh Zurina selamba saja.

Tersentak Idham seketika. “Sampai hati awak nak tinggalkan saya. Yela, siapalah saya ni” Suaranya direndah sehabis yang mungkin.

“Ala....Jangan macam tu. Saya gurau saja” Duduk Zurina mula tidak tenang.

“Hahahaha...Tahu pun takut”

“Boleh tak jangan nak buat lawak? Orang serius ni”, marah Zurina lalu memeluk tubuh. Pandangannya tajam menikam mata Idham.

“Okey, kita stop. Kita bincang topik asal” Idham mula serius.

“Pasal hal tadilah. Kalau awak tak boleh temankan, saya boleh pergi sendiri”

“Kalau tunggu saya balik tak boleh ke?”

“Lambat tahu tak”, balas Zurina laju.

“Kalau macam tu, saya suruh umi temankan awak. Boleh?”, cadang Idham menginginkan persetujuan daripada Zurina.

“Awak ni, boleh tak kalau jangan menyusahkan umi?” Ternyata Zurina tidak menyetujui cadangan Idham.

“Dah tu, nak buat macam mana lagi. Takkan awak nak pergi seorang diri pula. Saya tak nak nanti hati awak beralih arah lagi” Jelas kerisauan pada wajah Idham.

Senyuman Zurina makin lebar. “Awak ni, ada pula sampai ke situ. Saya jumpa dia dengan Ila sekali. Takkan saya nak jumpa dia seorang diri pula”

“Manalah tahu kalau...”

“Jangan risaulah. Lagipun, saya memang nak jumpa isteri dia sekali. Rasa bersalah sangat-sangat kat dia” Ingatannya terus melayang pada seraut wajah putih bersih itu. Rasa bersalah sangat kerana menyakiti hati Aqilah yang tidak pernah langsung berdosa kepadanya.

“Kalau macam tu, saya boleh pergi dengan tenanglah. Tapi, kalau hati awak beralih lagi, saya akan kejar awak sampai bila-bila” Begitu bersungguh-sungguh sekali Idham berbicara. Dia tidak mahu lagi melepaskan peluang yang ada. Impiannya hanya untuk memiliki Zurina secara sah. Dia tidak mahu lagi bergelumang dengan maksiat. Biarlah dia dan Zurina sama-sama berubah.

“Awak jangan risau tau”

Idham mengangguk lalu tersenyum senang. “Saya laparlah awak. Tak nak makan ke?”

“Baru ingat nak makan? Saya rasa, awak tak lapar kalau menghadap kerja dua puluh empat jam”, perli Zurina dengan jelingan tajam.

“Sayang ni, janganlah perli. Saya cari duit untuk awak juga”

“Yela tu. Cari duit sampai abaikan saya”, gumam Zurina perlahan.

“Hah, nak merajuk lagilah tu. Tak apa. Kahwin nanti, tahulah apa yang saya nak buat kalau awak merajuk”

“Kahwin pun belum...”

“Sudah, sudah. Jangan nak mula pergaduhan lagi. Saya nak makan. Mamak, sini order...”, potong Idham siap dengan pelat mamak lagi.

Zurina tidak dapat menahan tawanya. Hidupnya kini terisi dengan kehadiran Idham. Memang betullah kata orang, ‘Tak Kenal, Maka Tak Cinta’!


                                                                            bab 56

Haikal masih lagi membelek-belek gaun yang tergantung cantik. Matanya tertancap pada gaun labuh yang berwarna merah hati. Senyumannya menguntum tanpa disedari. Jari-jemarinya menyentuh lembut gaun labuh itu.

“Ya encik, boleh saya bantu?”, sapa salah seorang pekerja di butik itu.

“Saya berkenan dengan gaun ni”, jawab Haikal bersahaja.


“Gaun ni memang cantik. Sesuai sangat kalau encik hadiahkan untuk buah hati”, tutur pekerja itu beserta senyuman manis.

Haikal turut tersenyum. Biasalah, kalau pelanggan datang, mulut kenalah manis. Bak kata orang, manis mulut, lakulah kain kat butik ni.

“Saya nak belikan untuk isteri”

“Oh, dah kahwin...”

“Ya, apa dia?”, soal Haikal dengan kerutan jelas  di dahi. Padahal, telinganya dapat menangkap dengan jelas ayat yang keluar dari mulut pekerja butik ini.

“Eh, tak ada apa-apa. Encik nak gaun ni ke?”

“Saya nak tengok-tengok dulu”, tutur Haikal tetap merendahkan suara.

“Eh, Haikal...”

Terus Haikal mengalihkan tubuhnya mencari gerangan yang memanggil namanya. “Eh, Zu...”

“Awak buat apa kat sini?” Zurina memulakan bicara.

“Saja je jalan-jalan, cuci mata”, ujar Haikal lalu ketawa kecil. Pekerja butik meninggalkan Haikal dan Zurina.

“Cuci mata ke atau cari baju untuk isteri?”, soal Zurina dengan kening terangkat.

“Dua-dua pun boleh. Sambil menyelam minum air. Datang seorang ke?”

“Yup, seorang je. Idham ada kerja. Ila mana?” Matanya liar mencari kelibat Aqilah. Manalah tahu alang-alang sudah terserempak, bolehlah dia memohon maaf.

“Ila tak ada. Dia ada kat rumah”, balas Haikal sekadar apa yang dia tahu tentang isterinya. Sememangnya dia keluar tadi, Aqilah masih terperap di dalam bilik.

“Dah alang-alang jumpa awak, saya nak bagi sesuatu” Zurina mengeluarkan sekeping kad.

Haikal menyambut huluran kad di tangan Zurina. Sebaik saja dibaca, bibirnya sudah menguntum senyuman.

“Datang tau. Jangan tak datang pula”

“Insyaallah...”

“Eh, jomlah kita pergi minum dulu ke. Lagipun, saya ada hal nak bincang dengan awak”

Haikal diam. Teragak-agak untuk dia bersetuju dengan ajakan Zurina. Dia takut terkena buat kali kedua.

“Jangan risau. Saya nak bincang pasal kerja je. Mustahak ni. Itupun, kalau awak nak”

“Boleh juga”, putus Haikal cuba bersangka baik. “Kejap ya” Haikal memanggil pekerja butik di kaunter. “Saya nak gaun ni”

Kening Zurina terangkat. “Wah, bertuah isteri awak ya”, usik Zurina tanpa menyimpan apa-apa perasaan terhadap Haikal. Segala kasihnya tertumpah penuh pada Idham.

Haikal sekadar tersenyum kecil. “Saya pergi bayar kejap”

Selesai saja membayar, Haikal berjalan seiringan dengan Zurina.

“Awak nak makan kat mana?”, soal Zurina sesekali mengerling ke arah Haikal.

“Kalau awak tak kisah, kita makan kat sini boleh?”

Zurina sekadar mengangguk. Sudah terlalu lama dia tidak berbual secara lembut dengan Haikal. Kini, dia sedar Haikal bukan jodohnya. Dia yakin, Aqilah adalah insan istimewa dalam hidup Haikal!

“Awak nak order apa? Biar saya yang order kan” Haikal menawar diri.

“Tak apa ke kalau awak yang order?”

“Saya tak kisah. Awak nak makan apa?”

“Saya nak set Toasted Twister”

“Air?”

“Pepsi je. Terima kasih”, ucap Zurina dengan senyuman.

Haikal sekadar mengangguk lalu beratur untuk menunggu giliran. Fikirannya melayang teringatkan Aqilah. Mesti Aqilah sudah menyediakan makanan tengah hari. Hatinya berbisik sendirian.

‘Awak kata nak makan kat Kedai Fatimah Cantik’ Ingatan Haikal terus mengingati tentang peristiwa dia ditipu oleh Aqilah.

‘Inilah kedainya. Tak nampak kat luar tu? Bukan main besar lagi typo dia’

‘KFC ada kena mengena dengan Kedai Fatimah Cantik ke’

“Yela, inilah kedainya. Tak nak masuk sudah. Saya dah lapar ni” Haikal tersenyum seorang diri. Masih jelas suara Aqilah tika itu. Suara rajuk isterinya yang begitu comel sekali di pendengarannya.

“Selamat datang encik. Makan sini atau ,bungkus?”

Busshhhhh!! Lamunan Haikal berkecai. Tidak sedar dia sudah berdiri di depan kaunter.

“Makan sini. Saya nak satu set Toasted Twister dengan air pepsi. Satu set Snack Plate dengan ice lemon tea” 

Kenapa aku pilih air tu? Ya Allah, rindunya aku kat dia....Luah hati kecil Haikal. Selesai saja dia membuat pembayaran, Haikal mengangkat dulang lalu menuju ke arah meja makan.

“Penat beratur?”, tanya Zurina dengan senyuman.

“Biasa je. Tak penat mana pun”, balas Haikal lalu duduk berdepan dengan Zurina.

“Berapa ni?”

“Berapa apa?” Haikal bingung.

“Harga makanan ni”

“Tak apa. Saya belanja. Makanlah”, ujar Haikal seikhlas hati.

“Betul ni?”

“Betullah”, tutur Haikal bersungguh-sungguh.

Zurina tersenyum lebar. “Terima kasih. Murah rezeki awak dengan isteri”

“Amin. Hmmm...Apa yang awak nak bincangkan dengan saya?”

“Awak nak tak satu kerja ni? Saya ingat nak sub pada awak. Itupun kalau awak nak”

“Awak tahu ke yang saya dah tak kerja dengan...”

“Tahu...”, jawab Zurina laju.

Hilang terus selera makannya. “Macam mana awak tahu?”

“Idham yang beritahu” Zurina meneruskan makan tanpa memandang Haikal.

“Macam mana Idham tahu saya...”

“Sebab awak pun sub kan kerja kat orang bawahan dia. Idham dapat tahu daripada pekerja dia”, potong Zurina tanpa sempat Haikal menghabiskan kata.  

“Oh, saya tak mampu nak ambil tender tu. Sebab tu, saya sub kan kerja pada orang lain. Dapat sikit pun jadilah” Terasa segan pula bila Zurina tahu tentang hal ini.

“Okeylah tu, daripada tak dapat apa-apa langsung”

“Saya mula dari bawah je” Rendah diri cukup terserlah dalam diri Haikal.

“Awak nak tak? Kalau saya dapat tender yang bersesuaian, awak nak tak saya sub kan pada awak?”

“Insyaallah. Kalau saya mampu bolehlah. Jangan terlalu besar sangat. Takut pula saya tak termampu”

“Awak tak nak company saya jadi supplier untuk awak ke?”

“Boleh ke?”, soal Haikal inginkan kepastian. Bila soal kerja yang ditimbulkan, hilang terus seleranya pada makanan. Begitulah orang lelaki. Lebih mementingkan kerja!

“Boleh je. Ini je yang saya dapat tolong dan tebus kesalahan saya pada awak dan juga Aqilah” Wajah Zurina berubah muram.

Haikal diam. Dia sendiri jadi kelu untuk bercakap.

“Mesti awak letak jawatan pasal...”

“Eh, jangan cakap macam tu. Saya letak jawatan bukan sebab awak. Saya nak cuba mulakan perniagaan sendiri”

“Saya tak minta maaf pun pada Ila”

“Ila okey. Awak janganlah risau. Habiskanlah makanan tu”

“Yang awak tak makan kenapa?” Pandangan Zurina tertumpu pada pinggan Haikal yang masih belum terusik lagi ayam gorengnya.

“Oh, saya tak ada selera tiba-tiba. Ingat nak bungkuskan je untuk Ila”

“Hmmm...Macam tu la orang lelaki. Bila bincang bab kerja, hilang terus selera makan. Dahsyat betullah kaum lelaki ni” Kepala Zurina sudah digeleng berkali-kali.

Haikal sekadar tersenyum. Terasa murah benar rezekinya pada hari ini. Alhamdulillah...

*****           

LANGKAH Aqilah laju menuju ke arah dapur. Perutnya sudah bergendang sakan. Itu tandanya dia mahu makan!

“Makan mee maggi sajalah. Nak masak tengah hari pun, dia bukan ada. Sampai hati tinggal aku seorang diri kat rumah. Kejam betul”, bebelnya geram.

Namun, langkahnya terhenti sewaktu melintasi meja makan. “Kedai Fatimah Cantik? Siapa beli?”, soal Aqilah sendirian.

Dia menghampiri meja makan. Penuh perlahan, dia membuka bungkusan kotak KFC. Sebaik saja terbuka, matanya seakan bersinar-sinar. “Wah, sedapnya. Tapi, takkan aku nak makan pula. Mesti dia beli untuk diri dia je. Hmmm....Kecewalah aku kalau macam ni. Tapi....” Aqilah memegang perutnya yang berkeroncong hebat.

Muka Aqilah berkeriut. “Laparlah. Saja je si Haikal ni beli KFC. Tak apa, mee maggi aku lagi sedap”, getus Aqilah tetap menahan gelora nafsunya untuk menikmati ayam goreng KFC.

“Makanlah. Saya belikan untuk awak”

Aqilah tersentak. Suara itu begitu dekat sekali di belakangnya.

“Buat apa nak masak mee maggi kalau orang dah tolong belikan makanan”, sambung Haikal lalu menuju ke sinki.

“Tak apalah. Saya tak nak makan KFC. Saya nak makan mee maggi”, tukas Aqilah tidak mahu kalah.

“Makanlah mee maggi tu. Kalau sakit siapa yang susah?”

“Saya sakit, saya tanggunglah sendiri”, cantas Aqilah tetap meninggikan ego.

“Hah, baguslah. Makanlah mee maggi selalu. Elok sangatlah tu. Kalau awak tak nak makan, biar saya yang makan”, bidas Haikal lantas menuju ke meja makan lalu dicapai kotak KFC. Kemudian, dia berlalu ke ruang tamu.

Gullppp....Liur Aqilah ditelan berkali-kali. Kelat! “Eleh, tak kisah. Kalau aku sakit pun, aku boleh pergi sendiri” Dengan hati yang membengkak, dia terus menyediakan menu mee maggi goreng.

Haikal yang berada di ruang tamu sudah mengeluh panjang. “Degil betullah dia ni. Bukan nak dengar cakap orang. Ikut suka dia je. Kalau sakit, siapa yang susah? Aku juga yang susah! Baik nasihat budak kecil lagi bagus. Daripada nasihat budak besar yang tak makan nasihat”, bebel Haikal seorang diri. Ayam goreng KFC dikunyah dengan hati yang mendongkol geram. Ishk, ishk, kasihan ayam goreng tu. tak bersalah pun, jadi mangsa...

Pprrraaanggggggg!!!

Hampir terpelanting ayam goreng yang berada di tangan Haikal. Dia bingkas bangun dari sofa. Langkahnya laju menuju ke dapur. Dadanya terasa berdebar-debar. Dia mula berasa tidak sedap hati. Sebaik saja tubuhnya tercegat di ruang dapur....

“Ya Allah....Kenapa ni?” Hampir menjerit Haikal tika ini.

“Sa...sakit...”, rintih Aqilah yang sudah terduduk dengan tangan menekan-nekan perutnya.

Haikal menghampiri tubuh Aqilah. Kuali yang terjatuh tidak lagi dihiraukan. Keselamatan Aqilah yang diutamakannya pada masa ini. “Kita pergi hospital”, ujar Haikal mahu mencempung tubuh Aqilah.

Pantas juga Aqilah  menggeleng lalu menolak tubuh Haikal yang mahu mencempung tubuhnya. “Saya nak pergi sendiri”

            “Jangan degil”, bentak Haikal tegas.

            “Tepi...” Aqilah berusaha bangun. Namun, dia terduduk semula. Air matanya mulai menitis. “Sa..sa...kit”, rintihnya tidak dapat menahan lagi.

            Rahang Haikal kelihatan bergerak turun naik. Tanpa mempedulikan penolakan Aqilah, dia terus mencempung tubuh isterinya. “Jangan degil” Haikal seakan-akan memberi amaran. Akhirnya, Aqilah terkulai layu dalam cempungan Haikal.   
 


No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)