bab 63 & 64

bab 63

Pandangan Aqilah jatuh pada bingkai gambar yang terletak elok di atas meja solek. Lama dia memandang wajah Haikal yang kaku. Senyuman kecil menghiasi bibir merahnya. Dengan lemah, dia mencapai bingkai gambar lalu diusap wajah yang tidak bernyawa itu.


Senyuman yang terukir pada wajah Haikal, disentuhnya penuh kasih. Biarlah tidak dapat sentuh orangnya. Asalkan menatap gambar yang tidak bernyawa sudah mencukupi bagi dirinya. Sebelah tangan kiri Aqilah menongkat dagu. Senyumannya makin lebar.

“Ehem, ehem..”

Aqilah tersentak. Hampir hendak terlepas bingkai gambar ke lantai.

Sorry Kak Ila”

“Aisyah ni, kalau masuk bilik selalu tak bagi salam”, tegur Aqilah hampir hilang semangat.

“Opss...Assalammualaikum Kak Ila”

“Waalaikumussalam. Hah, kan bagus kalau bagi salam tadi. Tak adalah akak terkejut”

Aisyah melabuhkan punggung di atas katil. “Ala, maaflah. Tak sengaja”

“Okey, akak maafkan. Tapi, dengan satu syarat” Aqilah bangun lalu menghampiri Aisyah.

“Tolong borak dengan Abang Haikal boleh?”

Aisyah bingung. “Tak fahamlah”

“Maksud akak, Aisyah call Abang Haikal. Boleh? Rindu sangat akak kat dia. Tapi, jangan beritahu yang akak ada kat sini” Sempat lagi dia berpesan.
 “Nak ke dia cakap dengan akak?”

“Kalau rindu, kenapa akak tak call abang?”

“Aisyah jamin, dia pun tengah rindukan akak sekarang ni”, tutur Aisyah penuh yakin.

Terangkat kening kiri Aqilah. “Kalau betul dia rindukan akak, dah lama dia cari akak. Bolehkan kalau Aisyah tolong akak? Kali ni saja”

Aisyah masih lagi berfikir. “Okey, Aisyah setuju. Tapi, dengan satu syarat”

“Amboi, ada syarat juga ke?”

“Boleh ke tidak? Kalau Kak Ila setuju, baru Aisyah call Abang Haikal” Aisyah seperti mengugut Aqilah. Opss, jangan salah faham ya. Bukan mengugut. Cuma, mahukan keadilan. Hehehe...

“Okey, apa syaratnya?”

“Hujung minggu ni, Aisyah nak makan nasi lemak kukus kat Pasar Besar. Boleh tak?”

Aqilah tersenyum kecil. Mahu ketawa pun ada saat ini. “Boleh je. Hal kecil saja tu. Okey, call Abang Haikal cepat. Ada topupkan? Kalau habis nanti, akak topupkan kat Aisyah”

“Hah, tak sangka akak fikir ke hadapan. Bagus betullah Kak Ila ni. Aisyah setuju. Kejap eak, Aisyah cari nombor Abang Haikal”

Aqilah sekadar mengangguk. “Buka loudspeaker tau”

Aisyah mengangguk. Lama mereka tunggu. Akhirnya...

“Assalammualaikum...”

“Waalaikumussalam. Abang sihat?” Aisyah turut memandang Aqilah.

“Alhamdulillah sihat”, jawab Haikal di hujung talian. Lemah saja suaranya.

Aqilah memejam matanya buat seketika. Ya Allah, rindunya dia pada suaminya. Sedangkan, baru satu hari dia pergi tanpa memberitahu Haikal.

“Abang bila nak datang sini?”, soal Aisyah lagi.

Terus terbuka mata Aqilah. Bibirnya diketap kuat. Riak wajahnya seakan tidak selesa dengan pertanyaan yang keluar dari mulut Aisyah.

“Abang sibuk sikit. Mak sihat tak?”, soal Haikal tidak pernah melupakan Hajah Rosiah.

“Alhamdulillah. Mak sihat. Abang sibuk dengan apa?”

“Kerjalah. Dengan apa lagi abang nak sibuk”

“Manalah tahu sibuk dengan Kak Ila ke. Hari minggu pun kerja ke?”, usik Aisyah seolah-olah tidak tahu apa-apa.

Aqilah mengangkat kedua-dua ibu jarinya. Menandakan Aisyah pandai berlakon.

“Kak Ila tak ada kat rumah. Dia kata nak keluar dengan Ana. Abang balik pun, dia tak balik-balik lagi. Kat rumah mama kot Kak Ila tidur”

“Amboi, lewatnya abang balik. Kerja apa yang abang buat sampai lewat sampai rumah?” Aisyah ingin tahu. Nampak sangat busybody!

“Biasalah, business baru nak berkembang. Abang nak usaha dari titik peluh abang sendiri. Kita hidup ni, tak boleh harap ihsan daripada orang je”

“Maksudnya, abang tak kerja dengan Kak Ila lagi?”

“Hmm...Lebih kuranglah”, jawab Haikal beserta keluhan.

Aqilah terdiam. Tidak menyangka Haikal masih lagi terasa hati dengannya. Sedangkan, dia lagi terasa hati dengan Haikal. Sudahlah menipu dirinya. Nampak sangat Haikal masih lagi sayangkan Zurina.

“Abang tak rindu Kak Ila?”, soal Aisyah perlahan.

“Rindu sangat-sangat. Tapi, abang kecil hati sangat dengan dia. Entahlah, mungkin abang perlukan masa nak rawat hati ni dari mengingati benda yang lepas”

Aqilah tersentak. Matanya terasa hangat. Berapa lama lagi abang perlukan masa? Setahun? Dua tahun? Tiga tahun? Takpun, sampai Ila tutup mata baru abang nak lupa kisah lalu? Sedangkan Ila, cuba lupakan apa yang pernah abang lakukan di belakang Ila. Mata ini yang menjadi saksi pada masa itu. Kenapa Ila boleh lupakan? Kenapa tidak abang? Atau, abang sememangnya masih mengharapkan Zurina. Hatinya merintih hiba.

“Kalau rindu, selesaikan masalah ni dengan cepat. Ceritakan hal yang sebenar pada Kak Ila. Jangan menyesal pula” Sebelah tangan Aisyah cuba memegang jari- jemari milik Aqilah. Perbuatannya lebih menenangkan kakak iparnya.

“Insyaallah. Abang memang nak selesaikan masalah ni cepat-cepat. Tolong jangan beritahu mak. Abang tak mahu mak risau”

“Jangan risau. Aisyah takkan beritahu mak. Abang nak tahu?”

“Tahu apa?”

“Kak Ila betul-betul rindukan abang”

Pantas jari Aqilah mencubit lengan Aisyah. Berusaha Aisyah mengetap mulut. Berkerut wajahnya menahan sakit.

“Mana Aisyah tahu Kak Ila rindukan abang?” Tawa Haikal mula kedengaran.

Hati kecil Aqilah terusik. Sesungguhnya, dia amat merindui tawa daripada lelaki itu. Dia terlalu merindui lelaki itu.

“Aisyah perempuan. Kak Ila pun perempuan. Mestilah Aisyah tahu hati dan perasaan Kak Ila. Abang, fikirlah masak-masak. Memanglah abang terasa hati dengan Kak Ila. Tapi, abang ada fikir tak, Kak Ila menderita macam mana? Dia sentiasa ingatkan abang. Pujuklah dia” Nasihat seorang adik kepada abangnya.

“Baiklah. Abang akan cuba. Sekarang, abang nak rehat dulu. Penat sangat. Sampaikan salam abang pada mak”

“Nanti dulu...”

“Apa lagi ni Aisyah?”

“Betul abang sayangkan Kak Ila?”

“Betullah. Takkan abang nak main-main pula. Bagi abang masa nak rawat hati ni. Bila masa dah tiba nanti, abang akan bincang dengan Kak Ila. Sudahlah, abang nak mandi dan solat. Assalammualaikum”

“Waalaikumussalam”, ucap Aisyah lalu mematikan talian.

Aqilah merenung lama wajah Aisyah. “Dia rindukan akak?”

Aisyah mengangguk.
           
“Akak nak nangis” Sebaknya datang tiba-tiba.

“Akak jangan nangis. Nanti mak dengar”, tegur Aisyah memperlahankan suara.

“Akak rindukan Abang Haikal. Terlalu rindu”

“Aisyah tahu. Sabarlah Kak Ila. Beri dia ruang untuk berfikir”

Aqilah mengangguk. “Tapi, kenapa dia mesra betul dengan Zurina? Kalau betul dia rindukan akak, dia takkan curang belakang akak”

“Sabarlah Kak Ila. Semuanya akan selesai”

“Tapi, sampai bila?” Memang Aqilah bukan seorang yang penyabar. Sabarnya pun ada batasnya juga.

“Sabar Kak Ila. Jomlah keluar. Kasihan kat mak seorang diri tengok tv”

“Aisyah keluar dulu ya. Akak nak sembahyang kejap”

Aisyah mengangguk. Hanya doa saja yang mampu dititipkan kepada Allah S.W.T agar hubungan abang dan juga kakak iparnya kembali bersatu. Ya, itu doanya!


bab 64

Haikal gelisah. Sudah acapkali dia cuba menelefon Aqilah. Hanya peti suara yang kedengaran. Dia cuba juga menghubungi Suzana. Berharap Suzana tahu isterinya di mana. Namun, jawapannya tetap menghampakan. Dia cuba menelefon rumah mentuanya. Namun, panggilannya tidak langsung dijawab. Mana semua orang pergi? Haikal mula tertanya-tanya.

“Haikal, awak okey?”

“Tak ada apa-apa. Haikal ingat nak balik Kedah malam ni juga. Mak jangan beritahu Ila boleh?”

Zurina mengeluh. Kerana sikapnya yang terlalu pentingkan diri, rumahtangga Haikal dan Aqilah goyah. Dirinya dihimpit perasaan bersalah.


“Okey. Kenapa?” Haikal tidak langsung memandang Zurina.


“Kalau awak ada hal lain, saya boleh tolong uruskan”

“Eh, tak adalah. Saya okey”

“Manalah tahu isteri awak ajak keluar ke hari minggu macam ni”

Haikal sekadar tersenyum.

“Makanlah. Daripada tadi saya tengok awak asyik pegang handphone je”

“Awak makanlah dulu. Saya...”

“Awak call Ila ke?”

Kepala Haikal mengangguk laju. Dahinya dipicit berkali-kali.

“Saya ada meeting dengan company isteri awak jumaat lepas”

Haikal terkedu. Pandangannya terus beralih ke arah Zurina. “Maksud awak?”

“Awak tak beritahu pasal kerja kat Ila ke?”, tanya Zurina sambil menyedut jus tembikai laici.

Haikal menggeleng. “Awak cakap apa kat dia?”

“Saya cuma beritahu yang awak sakit”, jawab Zurina tenang.

Haikal mula resah. Terus dia bangun. “Saya nak balik dulu. Maaf”

Zurina terkedu. Dia pula yang rasa bersalah. Sudahlah dia tidak minta maaf pada Aqilah. Ditambah pula dengan salah faham yang timbul dalam rumahtangga Haikal berpunca darinya juga ke?

“Assalammualaikum sayang...”

“Waalaikumussalam”

“Awak order untuk saya ke? Mana Haikal?” Belum sempat duduk, soalan sudah keluar dari mulut Idham.

“Haikal ada hal. Kalau ya pun, duduklah dulu”

“Sayang okey tak ni?”

“Tak okey”

“Kenapa pula ni? Saya ada buat salah ke?” Idham tertanya-tanya.

Zurina menyandar tubuhnya. Jari-jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja. Fikirannya lebih tertumpu pada Haikal dan Aqilah.

“Awak ada masalah ke?” Idham cuba berlembut dan menutur dengan tenang.

“Saya rasa bersalah sangat”

“Rasa bersalah? Awak bersalah pada siapa pula kali ni? Pada saya ke?”

“Id, cuba serius sikit. Sekarang bukan masa nak bergurau”, getus Zurina dengan muka yang serius.

“Okey, maaf. Kenapa awak rasa bersalah pula kali ni?”

“Macam ni, saya tak tahu Haikal tak beritahu hal yang sebenar pada Ila. Hari jumaat lepas, saya ada meeting dengan Ila. Pasal projek perumahan. Saya datang lewat sebab tolong hantarkan Haikal ke hospital. Ada kemalangan kecil kat site hari tu. Masa saya hadir meeting tu, saya beritahulah kat Ila pasal Haikal cedera. Baru tadi pula, saya dapat tahu yang Haikal tak pernah beritahu Ila yang dia dan saya bekerjasama”

“Dah tu? Apa yang awak nak rasa bersalah?” Sungguh, Idham tidak faham.

Zurina mengeluh. Sudahlah dia bercerita dengan penuh kesungguhan. Sayangnya, Idham pula lambat tangkap tentang apa yang dia sampaikan. Nafas Zurina ditarik sedalam yang mungkin.

“Saya tak fahamlah...”

“Macam ni, mestilah Ila fikir Haikal dengan saya masih ada hubungan lagi. Orang perempuan ni, senang nak lupa apa yang pernah terjadi dulu. Tapi, bila hati disakiti untuk kesekian kali, susah dia nak percaya pada lelaki. Mungkin juga Ila ingatkan Haikal pura-pura cintakan dia. Saya rasa, pasal kes yang saya guna taktik kotor untuk dapatkan Haikal, pasti Ila tak tahu lagi. Awak teman saya jumpa Ila boleh?” Pandangan Zurina pada Idham penuh mengharap.

“Saya boleh temankan awak. Tapi, awak pasti ke Ila ada kat rumah?”

Zurina mengangkat bahu. Tanda tidak tahu. “Saya tengok Haikal gelisah semacam je. Asyik tekan telefon je saya tengok. Makanan pun dia tak sentuh”

“Dia nak cari Ila kot” Idham cuba membuat andaian.

*****

“ASSALAMMUALAIKUM. Mak, Ila ada kat sana tak?”

“Waalaikumussalam. Ada je kat sini. Kenapa?” Hajah Rosiah diserbu rasa ingin tahu.

Hatinya tidak setenang tadi. “Kamu bergaduh dengan Ila ke?”

“Hmm..”

“Baik cakap dengan mak terus terang. Kalau tak, mak report kat besan mak nanti” Dia cuba mengugut Haikal.

“Jangan macam tu mak. Bukan gaduh pun. Ada salah faham je sebenarnya. Haikal pun tengah pening ni”

“Tahu pun nak pening. Mak dah pesan suruh beritahu hal sebenar pada Ila. Kamu tak nak dengar nasihat mak”

“Mak janganlah nak marahkan Haikal pula. Masalah ni taklah besar mana pun. Haikal pun pening sekarang ni. Lepas satu masalah selesai, datang masalah lain pula. Tak sampai setahun lagi Haikal dengan Ila kahwin. Dah macam-macam berlaku” Fikiran Haikal yang kusut kembali tenang. Isteri dah jumpa, hilanglah kusutnya!

“Tu namanya dugaan. Kalau orang yang tak mampu, dah lama bercerai-berai. Seeloknya kamu baliklah sini. Patutlah mak tengok Ila asyik termenung je. Mak ingatkan dia dah minta izin dekat kamu”

Nafas Haikal dihembus lega. “Bukan salah Ila. Haikal yang salah”

“Bincanglah baik-baik. Kamu berdua masih lagi muda. Jangan disebabkan masalah yang kecil, kamu berdua tak boleh selesaikan. Kamu bertolak esok sajalah. Nak bertolak malam, mak pula yang risau” Begitu sayangnya seorang ibu kepada anak menantunya.

“Baiklah mak. Tolong jagakan Ila bagi pihak Haikal”

“Insyaallah..”

Tubuh Haikal terbenam lemah di sofa. Nafasnya yang panjang dihela dengan tenang. Syukurlah dia sudah tahu ke mana hilangnya Aqilah. Pasti Aqilah rajuk hingga membawa diri ke Kedah. Salahnya juga tidak mahu berterus-terang. Yang makan hati sekarang, isterinya juga!

*****

HAJAH ROSIAH menyusun pakaian yang dilipat ke dalam almari. Dalam tekun dia melakukan tugasan, Aqilah muncul di muka pintu. Daun pintu diketuk perlahan. Hajah Rosiah tersenyum sebaik saja melihat gerangan yang muncul di pintu bilik.

“Masuklah Ila”

“Mak tak tidur lagi?” Aqilah merebahkan punggung di atas katil.

“Mak kemas baju sikit. Kenapa tak tidur lagi ni? Dah lewat malam sangat”

“Ila tak boleh tidur”, jawabnya dengan senyuman.

“Tak boleh tidur atau teringatkan Haikal?” Andaian Hajah Rosiah penuh dengan maksud tersirat.

Aqilah pura-pura menyangkal tekaan Hajah Rosiah. “Mana ada. Abang Haikal sibuk dengan kerja”

“Haikal memang kuat kerja”, tukas Hajah Rosiah lalu merebahkan tubuh di katil. Lenguh-lenguh di badan terasa hilang seketika.

“Ila tolong urutkan boleh?”

Hajah Rosiah tersenyum senang. Lambat-lambat dia mengangguk. Aqilah mencapai minyak panas bersebelahan bantal tidur. Setitis dua, minyak dititiskan di tapak tangan. Penuh hati-hati, kaki mentuanya diurut perlahan-lahan.

“Ila nak tahu tak?” Hajah Rosiah membuka bicara setelah lama berdiam.

Aqilah membalas dengan anggukan.

“Tak semestinya pasangan yang berkahwin tanpa ada rasa cinta, tak boleh kekal. Jodoh tu, DIA yang tentukan. Kita sebagai hambaNYA, kena berusaha. Cuma satu je mak nak pesan, Allah takkan beri ujian pada hambaNYA yang tak mampu hadapi”

Aqilah diam. Memang benar apa yang dikatakan oleh Hajah Rosiah. Bukannya dia tak mampu untuk harungi dugaan itu. Cuma, hatinya perlukan sedikit masa untuk diubati.

“Ila faham mak. Terima kasih atas nasihat mak”
“Mak sayang Ila macam anak kandung mak. Kalau Haikal salah, mak tegur. Kalau Ila salah, mak tegur”

Urutan Aqilah terhenti. Kata-kata Hajah Rosiah seperti dapat menghidu masalah rumahtangganya.

“Abang Haikal ada telefon mak ke?” Naluri Aqilah berkocak ingin tahu.

Hajah Rosiah diam. “Pergilah tidur. Dah lewat malam sangat ni. Esok nak bangun awal pula”

Aqilah patuh. Dia tidak mahu mendesak walaupun nalurinya betul-betul ingin tahu. Tapi, dia yakin Haikal sudah menghubungi Hajah Rosiah. Apa nak jadi, lantaklah. Semua terserah pada Haikal. Kata hatinya memberi kata putus.

“Selamat malam mak”, ucap Aqilah sempat mengucup pipi Hajah Rosiah.

“Selamat malam juga”, jawab Hajah Rosiah lalu memejamkan matanya. Berharap, segala masalah yang menimpa anak menantunya akan selesai dengan cepat.
 

No comments:

Post a Comment

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)