bab 43 & 44

bab 43

Suzana merenung pemandangan di hadapannya dengan penuh rasa rendah diri. Betapa kerdilnya dia melihat ciptaan yang Maha Kuasa. Dalam hati, tidak lekang puji-pujian yang dilafaz. Angin petang yang bertiup membuatkan dirinya terasa tenang. Matanya dipejam seketika.

“Assalammualaikum”

Sepasang mata yang terpejam tadi, kembali terbuka. “Waalaikumussalam”, jawab Suzana tenang.

“Boleh aku duduk?”, pinta Aqilah dengan senyuman.

Kepala Suzana diangguk berkali-kali. Dia bagaikan mahu menangis di atas kesudian Aqilah mahu berjumpa dengannya.

“Kau sihat?”, tanya Aqilah memulakan perbualan.

“Alhamdulillah. Aku sihat. Kau?”

“Alhamdulillah. Aku pun sihat. Macam yang kau tengok sekarang ni”, balas Aqilah mengangkat bahunya.

“Aku...”

“Aku maafkan kau”, potong Aqilah laju.

Mata Suzana mulai berkaca. Lantas, tubuh sahabat baiknya dipeluk erat. Aqilah tersenyum. Hatinya tersentuh. Ingatannya terus melayang pada perbualan dengan...

“Bila Ana nak kahwin pak cik, mak cik?”, soal Aqilah bersahaja.

Seperti biasa, Puan Mariam dan Encik Iskandar hanya diam.

Aqilah tetap berlagak tenang. “Lamakan saya tak datang rumah ni. Maaf sangat-sangat sebab terlampau sibuk dengan kerja”, ujar Aqilah tetap tenang.

Puan Mariam menatap wajah Aqilah dengan perasaan penuh rasa bersalah. “Maafkan mak cik. Sebenarnya, Ana...”

“Dia dah kahwin..” Macam biasa, Aqilah tetap laju dalam bab potong-memotong percakapan orang.

“Macam mana kamu tahu?”, soal Encik Iskandar dengan wajah yang berkeriut.

“Sampai bila kita nak simpan benda ni mak cik , pak cik. Lama mana pun kita simpan, pasti akan terbongkar juga satu hari nanti”

Encik Iskandar terdiam. Wajah Aqilah yang bersih itu ditatapnya seperti anak sendiri. “Kami minta maaf Ila. Saiful dengan Ana kahwin pun tak beritahu kami. Jadi..”

“Tak apa mak cik, pak cik. Saya tak kisah langsung. Kita tutuplah buku lama ya. Saya tak simpan sikit pun dalam hati” Ikhlas Aqilah berkata.

“Ila...”, panggil Suzana menyedarkan Aqilah ke alam realiti. 

“Maaf. Aku mengelamun tadi” Wajah Suzana ditatapnya.

“Aku rasa bersalah pada kau”, luah Suzana kesal.

“Tak apa. Biar kita kesal sekarang. Jangan kesal kemudian hari. Jadi, inilah masalah yang kau tak mahu ceritakan pada aku?”

Suzana mengangguk. “Aku tak mahu kau terluka. Aku malu bila tikam kawan sendiri”

“Kau tak perlu rasa macam tu Ana. Tapikan, boleh aku tanya satu soalan?”

“Boleh”

“Kenapa kau kenalkan Saiful pada aku? Sedangkan kau cintakan dia” Semalaman dia memikirkan tentang hal ini.

Suzana tersenyum hambar. “Aku dengan dia macam langit dengan bumi. Dia dari keluarga berada. Aku pula, biasa saja. Sebab tu, aku kenalkan dia pada kau. Lagipun, kau dengan dia sesuai. Tapi, bila kau orang mula bercinta, aku jadi cemburu. Aku macam kehilangan Saiful. Kau sendiri tahukan, aku dengan Saiful kawan dari kecil lagi. Jadi, aku sambung belajar sebab nak dekat dengan Saiful. Aku minta maaf Ila”, jelas Suzana sayu.

“Dah itu jodoh kau. Terimalah dengan redha. Aku pun dah ada suami sekarang. Untuk apa lagi aku kenangkan benda-benda lepas macam ni. Memang pada mulanya hati aku sakit. Tapi, bila aku fikirkan semula, benda dah jadi. Kita tak mampu buat apa-apa. Aku harapkan kau bahagia di samping Saiful” Aqilah menyeka air jenih pada wajah Suzana.

“Aku dah minta cerai”

Terbeliak mata Aqilah. Terus pelukannya dileraikan. Wajah Suzana ditatap lama. “Kenapa kau minta cerai? Kau tahukan yang benda tu...”

“Aku tahu. Aku tak sanggup tengok dia benci aku”, cantas Suzana menangis teresak-esak.

Tersayat hati Aqilah mendengarnya. “Aku akan tolong kau. Jangan lepaskan Saiful”

“Aku tak kuat Ila. Aku tak tahu macam mana nak selesaikan. Dah puas aku minta maaf. Puas juga aku cuba terangkan. Dia tetap tak nak maafkan aku. Siapalah aku dalam hidup dia”, rintih Suzana lesu.

“Dengar sini”, ujar Aqilah lalu memegang kedua-dua bahu Suzana. Pandangan mereka saling bertaut. “Kau adalah isteri kepada Saiful. Faham?”

Suzana tetap menggeleng kepalanya. “Apa gunanya isteri kalau dia sendiri tak anggap aku ni isteri dia. Perasaan dia takkan berubah. Perasaan benci dia pada aku terlalu dalam”

“Syhh, jangan macam ni”, pujuk Aqilah menarik tubuh Suzana dekat dengannya. Bahu Suzana diusap lembut.

“Aku takut kehilangan dia” Esaknya makin menjadi-jadi.

“Aku faham. Kau tak boleh mengalah. Aku akan tolong kau”, pujuk Aqilah cuba menyakinkan Suzana.

“Maaf aku pun dia tak terima. Macam mana lagi aku nak buat? Aku letih dengan semua ni. Fikiran aku kusut sangat”

“Jangan macam ni. Selama ni, kau kuat daripada aku. DIA takkan bagi ujian ni kalau kau tak mampu. Jadi, sebab kau mampulah DIA turunkan ujian ni pada kau. Yakin pada diri sendiri. Kau lebih tahu apa yang Saiful suka. Kenangan kau dengan dia lagi banyak. Jadi, kenapa kau give up?”

Suzana mendongak mencari sepasang mata itu. Lama dia merenung mata yang bercahaya dengan sinar keikhlasan. Bibir Aqilah menguntum senyuman.

“Kau boleh, Ana! Jangan cepat putus asa!”

Aqilah meleraikan dakapannya. Dia bingkas berdiri. Langkahnya menuju ke tebing tasik. Dengan semangat yang ada, dia menjerit sekuat hati. “Kau mampu buat Ana!” Tidak dihiraukan lagi pada orang yang berekreasi di situ.

Suzana ketawa bersama-sama sisa tangisan. Kau kawan aku dunia akhirat Ila. Desis hati kecilnya.

Aqilah kembali semula pada Suzana. Dia tersenyum lalu menghulurkan tangan pada sahabat baiknya. “Jom, kita balik” Senyumannya tetap segar.

“Terima kasih Ila”, ucap Suzana sebaik saja mencapai tangan Aqilah.

“Selagi aku bernafas, aku nak tengok kau bahagia. Aku akan tolong kau”, janji Aqilah dengan sebelah tangan diangkat sebagai ikrar.

Hati Suzana menjadi tenang seketika. Terima kasih kawanku...



*****

HATI Hajah Rosiah berasa tidak selesa langsung. Sambil berzikir di tikar sembahyang, ingatannya tidak lepas daripada memikir anak menantunya. Entah kenapa hatinya kuat mengatakan rumahtangga Haikal dan Aqilah sedang dilanda masalah.

“Ya Allah, jauhkanlah benda yang tidak diingini berlaku kepada anak menantuku”, mohon Hajah Rosiah penuh mengharap.

“Mak, telefon”, laung Aisyah dari ruang tamu.

Hajah Rosiah terus menanggalkan telekung. Kain yang dipakainya dilipat tinggi supaya tidak terseret ketika berjalan. Sebaik saja dia tiba di ruang tamu, kakinya dihayun laju menuju ke arah Aisyah.

“Siapa?” Sempat lagi dia bertanya.

“Mama Sofea”, jawab Aisyah dalam keadaan berbisik.

Ganggang telefon sudah bertukar tangan. Debaran di dada Hajah Rosiah makin hebat. Bagaikan sudah tahu ada khabar yang tidak sedap akan didengar.

“Assalammualaikum Sofea”

“Waalaikumussalam Kak Rosiah. Sihat?”

“Alhamdulillah sihat. Sofea?”

“Alhamdulillah sihat juga. Macam ni, Sofea telefon pun sebab nak bincang sesuatu” Datin Sofea memulakan bicara.

“Tentang Ila dengan Haikal ke?”, teka Hajah Rosiah laju.

“Lebih kurang macam itulah. Sofea pun teragak-agak nak beritahu”

“Tak apa, istighfar banyak-banyak. Akak kat sini pun rasa tak sedap hati juga”

“Sofea pun tak tahu macam mana nak mula. Serba tak kena jadinya”

“Sekarang ni, Ila dengan Haikal tinggal sekali ke atau asing-asing?”, soal Hajah Rosiah ingin tahu.

“Ila tinggal kat sini”

“Haikal?” Hajah Rosiah yang tadinya berdiri, sudah terduduk di kerusi.

“Tinggal berasingan sekarang ni Kak Rosiah. Bila tanya Ila, dia kata hal kecil. Telefon Haikal, tak dapat-dapat. Nak jumpa dua-dua pun susah. Ingat nak bincang sekali”, jelas Datin Sofea resah menggunung. 

Hajah Rosiah mengurut dadanya. “Astaghfirullahalazim...Kenapa boleh jadi macam tu...Tak apalah, kalau macam tu, akak datang sanalah. Boleh bincang sekali”

“Boleh juga kalau macam tu. Susah, kalau dah dua-dua ego. Tak selesailah jawabnya masalah tu”, keluh Datin Sofea berasa tenang sedikit.

“Boleh juga kalau macam tu. Hujung minggu ni, akak datang. Jangan beritahu Ila atau Haikal pula”

“Insyaallah Kak Rosiah”, jawab Datin Sofea tenang.

“Kita berdoa dan tawakal. Insyaallah boleh selesai”

“Baiklah. Terima kasih Kak Rosiah” Terharu pula dia dengan keprihatinan besannya.

“Tak apalah kalau macam tu. Kalau ada apa-apa, telefon saja. Saya ada kat rumah ni”

“Baiklah Kak Rosiah. Apa-apa nanti, saya beritahu. Assalammualaikum”

“Waalaikumussalam”, jawab Hajah Rosiah lalu meletak ganggang telefon ke tempat asalnya.

“Kenapa mak?”, terpa Aisyah dengan pertanyaan.

“Ishk budak ni, dengar perbualan mak ya?”

Aisyah tersengih-sengih. “Ala, bukan selalu Aisyah curi dengar. Tapikan, macam serius saja Aisyah dengar”

Hajah Rosiah menyandar tubuhnya pada kepala kerusi. Buah tasbih di tangan tidak langsung dilepaskan. “Mak pun tak tahu nak cakap macam mana. Macam serius pun ada juga”

Aisyah blurr. “Apa yang serius? Mak suka bagi Aisyah berteka-teki sendiri”

“Aisyah, ni kan masalah orang dewasa”, tegur Hajah Rosiah lembut.

“Ala mak ni, Aisyah dah dewasalah. Dah boleh kahwin pun”, seloroh Aisyah disambut tawa oleh Hajah Rosiah.

“Amboi, anak mak ni dah gatal nak kahwin ke? Sekolah pun tak habis lagi, ada hati nak kahwin” Pipi Aisyah dicubit manja.

“Mak ni, beritahulah kat Aisyah”, desak Aisyah menggoncang tangan Hajah Rosiah.

“Beritahu apa pula?” Pura-pura dia tidak tahu.

“Mak selalu macam tu. Pasal rumahtangga Abang Haikal dengan Kak Ila”

“Oh pasal tu. Eh, pisang goreng kat kuali nanti hangit pula. Pergi tengok cepat”, alih Hajah Rosiah dengan mata membutang.

“Mak saja nak ubah topik. Tak apa, nanti kalau mak nak balik sana, Aisyah nak ikut juga”, getus Aisyah bingkas bangun menuju ke dapur.

Tawa Hajah Rosiah berderai juga. Dia tersenyum panjang. Aisyah, Aisyah, saling tak tumpah sifat macam arwah ayah. Anak kita dah besar abang. Bisiknya dalam hati. Buah tasbih ditolak perlahan-lahan sambil mulut terkumat-kamit berzikir pada Allah S.W.T




  bab 44

Saiful memandang Aqilah dengan penuh rasa rindu. Dia tahu hukumnya jika mencintai perempuan yang sudah menjadi isteri orang. Wajah Aqilah semakin matang. Itulah pendapatnya pada kali pertama dia melihat Aqilah dari jauh. 

 “Ada apa awak nak jumpa saya?”, tutur Saiful terus kepada pertanyaan. Hatinya gembira tidak terkira apabila mendapat mesej daripada Aqilah. Sekurang-kurangnya, Aqilah mahu juga berjumpa dengannya.


“Jangan salah faham. Saya ajak awak jumpa bukan pasal hal kita”, balas Aqilah bersahaja.


Saiful tersenyum hambar. Kalau bukan hal mengenai dirinya dan juga Aqilah, sudah tentu mengenai Suzana. Dia sudah menjangka hal ini daripada awal lagi.


“Untuk apa kita bercakap tentang Ana?”


“Saya tak nak rumahtangga awak bermasalah disebabkan saya”


“Dia yang cari masalah” Selamba saja Saiful berkata.


Aqilah tersenyum lalu menggeleng kepala berkali-kali. “Awak suami kepada Ana. Jadi, awak kena rendahkan ego awak tu untuk selesaikan masalah ni”


“Nak selesaikan macam mana lagi Puan Aqilah?”, soal Saiful tidak selesa dengan topik yang dibualkan sekarang.


“Sampai bila awak nak buat dia macam tu? Sampai bila awak nak hukum dia macam tu? Saya pun tahu perasaan seorang isteri macam mana”, tutur Aqilah dengan kening terangkat sebelah.


“Habis tu, hati saya yang sakit ni macam mana? Awak tahukan yang saya cintakan awak lebih daripada segala-galanya. Saya sentiasa tunggu email awak. Tapi, tak sangka kesemua email awak, Ana yang balas. Saya rasa kecewa sangat dengan sikap dia. Awak tak marah ke bila dia tikam awak dari belakang?” Saiful meluahkan segala-galanya yang dipendam selama ini.


“Ya, memang saya marah. Itu pada permulaannya. Sekarang tak lagi. Dia cintakan awak. Dah lama dia cintakan awak”


Saiful ketawa. Sinis! “Cinta ke macam tu? Dia tu Cuma pentingkan diri sendiri saja”, bentak Saiful kian bengang.


“Tak elok awak cerita hal buruk tentang isteri awak. Sepatutnya, awak kena jaga maruah dia sebagai seorang isteri”, tegur Aqilah berasa tidak puas hati dengan kata-kata yang keluar dari mulut Saiful. Terasa mahu ditampar-tampar saja muka Saiful tika ini.


Saiful mengangkat bahu. Dia malas ambil tahu pasal Suzana. Lagipun, dia datang sini untuk melepaskan rindu yang telah lama terkumpul. “Kita buka topik lain. Kita cakap pasal hal kita saja. Saya dah lama perhatikan awak. Cuma, saya tak pernah muncul depan awak. Saya akan muncul selepas rahsia ni terbongkar. Sekarang, saya boleh jumpa awak bila-bila masa yang saya nak”


“Oh, macam tu? Jadi, selama ni, awak perhatikan saya dari jauh sajalah?”


Saiful mengangguk laju.


“Kenapa awak sendiri tak datang dan ceritakan segala-galanya pada saya? Kenapa baru sekarang awak berani nak tonjolkan diri di depan saya?”, soal Aqilah begitu sinis.


Saiful terdiam. Dia bermain dengan jari-jemarinya. Pertanyaan Aqilah dibiar berlalu begitu saja.


“Kenapa awak diam? Sebab awak tak nak pikul masalah? Awak biarkan Ana selesaikan masalah ni seorang diri?” Bertubi-tubi soalan yang dilontarkan kepada Saiful.


“Dah salah dia. Biarlah dia tanggung seorang diri”, balas Saiful tiada langsung riak bersalah di wajahnya.


Aqilah mendengus geram. Kalau tidak difikirkan dia kini berada di tempat awam, sudah pasti jus epal akan disimbah pada muka Saiful. Barulah hatinya akan berasa puas!



“Kenapa, awak marah ke Puan Aqilah?”, sindir Saiful dengan renungan tajam.


Aqilah mengetap bibir. “Jangan bagi saya guna bahasa yang kurang sopan pula Encik Saiful”, gertak Aqilah menggenggam penumbuknya di bawah meja.


“Saya faham sangat dengan perangai awak. Saya kenal awak dah lama Ila. Awak bukan jenis penyabar pun”, ejek Saiful tidak menghiraukan hati Aqilah yang makin membara.


Tenang Ila. Kau kena cool. Bercakap dengan mamat ni memang menyakitkan hati. Aqilah menenangkan dirinya. Sebuah senyuman dilemparkan pada Saiful. Jus epal disedut dengan penuh nikmat.


“Pujuklah Ana. Dia seorang isteri yang baik. Memang dia pernah lakukan kesalahan. Tapi, dia buat macam tu sebab nak dapatkan cinta awak”, tutur Aqilah sedaya upaya cuba bertenang.


Saiful mengeluh. Dia ingatkan Aqilah akan menengkingnya. Tapi, berbeza pula dengan andaiannya tadi. Ternyata, Aqilah makin matang. “Saya tak cintakan dia. Saya cintakan awak”, luah Saiful dengan suara yang kendur.


“Untuk apa lagi awak kejar cinta saya, Saiful?”


“Saya betul-betul cintakan awak. Walaupun saya berjauhan, ingatan saya tetap pada awak. Kadang-kadang, saya benci pada awak. Sebab, awak tak pernah balas email saya. Tapi, ternyata kita kena khianat. Awak pun tahukan siapa yang khianat cinta kita?”


Nafas Aqilah ditarik sedalam yang mungkin. Dia mencari kekuatan untuk bercakap dengan Saiful. “Saya tahu”, ucapnya perlahan. “Saya pun terseksa bila awak tak balas email saya. Tapi, itu kisah lama. Semuanya saya dah padam”, sambung Aqilah tetap tenang.


“Begitu cepat sekali awak lupakan cinta kita” Nadanya penuh dengan kecewa.


“Untuk apa lagi dikenang semua tu? Awak dah ada kehidupan sendiri. Begitu juga dengan saya”


“Tolong tinggalkan Haikal”, rayu Saiful penuh mengharap.


Aqilah terpempan. “Haikal suami saya. Syurga saya” Aqilah menegakkan pendiriannya.


Bibir Saiful mengukir senyuman penuh makna. Seolah-olah mengejek Aqilah. Wajah Aqilah dipandang lama. “Suami awak? Kenapa awak dengan dia tinggal berasingan sekarang?”


“Mana awak...”


“Dari mana saya tahu, awak tak perlu tahu. Dia tengah bersuka ria dengan perempuan lain, awak pula masih setia tunggu dia?” Saiful cuba membakar hati Aqilah.


“Itu masalah saya dengan dia. Awak tak perlu masuk campur”


“Macam tu juga dengan saya. Awak tak perlu masuk campur dalam hal rumahtangga saya”, bidas Saiful cukup pedih.


“Ana kawan saya. Mestilah saya kena tolong”, bentak Aqilah geram.


“Masalah sendiri pun awak tak boleh handle. Nak selesaikan masalah orang lain pula. Lain kali, tengok diri tu dulu sebelum nak ‘ceramah’ kat saya”, sindir Saiful dengan muka yang penuh sombong.


“Sekurang-kurangnya, saya cuba selesaikan masalah rumahtangga saya. Haikal suami saya. Selagi kami sah bergelar suami isteri, saya akan pertahankan perkahwinan ni. Saya bukan macam awak. Saya takkan biar perkahwinan ni berakhir macam tu saja. Walaupun saya dengan Haikal berkahwin bukan atas dasar cinta, dia tetap suami saya. Dan saya sayang pada dia. Kalaulah awak fikir macam yang saya fikir, pasti rumahtangga awak akan selamat. Assalammualaikum”, ucap Aqilah terus meninggalkan Saiful. Hatinya puas setelah menghambur segala-galanya yang bermukim di hati.


*****

IDHAM memandang Zurina dengan penuh tajam. Lagak Zurina yang selamba membuatkan hatinya bertambah sakit.


“Apa lebihnya dia dari saya?”


“Apa maksud awak?” Zurina pura-pura tidak faham.


“Jangan pura-pura tak faham”, bentak Idham mula hilang sabar.


Zurina tetap berlagak biasa. Dia membelek-belek jarinya satu per satu. Bagaikan Idham tidak langsung wujud di hadapannya.


“Saya cakap dengan awak. Boleh tak jangan buat saya ni macam tunggul!”, jerkah Idham makin bengang.


“Kalau macam tu, awak balik sajalah. Saya tak ada masa nak layan awak”


“Saya datang sini sebab nak settle masalah kita. Boleh tak jangan buat saya macam ni”, marah Idham dengan muka sudah merah.


“Kita tak ada apa-apa masalah Id. Saya Cuma anggap awak kawan. Tak lebih dari seorang kawan”, tutur Zurina selamba.


Idham meraup mukanya berkali-kali. “Kenapa awak tak pernah faham perasaan saya Zu?”


“Macam mana saya nak faham kalau hati ni tak ada cinta pada awak. Sudahlah Id, pergilah balik. Saya penat sangat”


Hati Idham terasa sangat. Zurina seolah-olah menghalaunya. “Sampai hati awak buat saya macam ni. Selama ni, semua masalah awak saya dengar. Tapi, awak sikit pun tak kisah tentang saya”


Zurina menguap kecil. Bosan pula dia mendengar rintihan Idham. “Bosanlah saya. Kalau nak datang sini untuk menagih simpati, baik tak payah”, rungut Zurina memaling wajah ke arah lain.


“Saya cintakan awak Zu. Saya ikhlas nak jadikan awak sebagai isteri”


“Masalahnya, saya tak pernah cintakan awak. Sampai bila-bila pun saya takkan cintakan awak”, bentak Zurina terus berdiri.


“Tolonglah dengar apa yang saya nak cakap”, pinta Idham turut berdiri.


“Sudahlah Id. Saya penat sangat” Zurina menghampiri pintu utama.
“Tolonglah, jangan buat saya macam ni”, rayu Idham tidak peduli lagi maruahnya yang dipandang murah oleh Zurina.


“Baliklah Id. Untuk apa lagi awak merayu pada yang tak sudi. Lupakan saya dari hidup awak”


Idham lemah. Zurina betul-betul tidak perlukannya lagi. Dia terus melangkah pergi sebaik saja daun pintu dibuka oleh Zurina sendiri. Hatinya hancur. Sia-sia dia menunggu. Selama ini, dia selalu berharap agar cintanya akan berbalas. Namun, hati Zurina tetap keras. Cintanya tidak langsung berharga di mata Zurina. Idham pasrah dan terluka...


*****

HATINYA berdebar-debar sewaktu menghubungi nombor tersebut. Peluhnya mula menapak di dahi. Padahal, cuaca tika itu tidaklah sepanas mana. Mungkin juga dia resah untuk menjawab segala pertanyaan yang akan diaju nanti.


Sebaik saja panggilannya diangkat, “Assalammualaikum”, ucapnya penuh rasa hormat.


“Waalaikumussalam. Ya Allah, Haikal! Mana pergi Haikal? Kenapa buat mama dengan papa risau?”


“Ma, Haikal minta maaf sangat-sangat”, pinta Haikal dengan mata sudah digenangi air hangat.


“Baliklah sini nak. Mama dengan papa tak pernah buang Haikal. Apa pun yang terjadi, kita selesai cara elok”, pujuk Datin Sofea cuba berlembut.


Haikal sudah terduduk di permaidani. Ganggang telefon digenggam dengan erat. “Maafkan Haikal, mama. Haikal perlukan masa”


“Mama tak kisah Haikal. Ambillah seberapa banyak masa yang Haikal nak. Mama cuma nak, Haikal dengan Ila berbaik. Kalau betullah Haikal tak perlukan Ila lagi, tolonglah...”


“Ma, jangan cakap macam tu. Haikal sayangkan Ila. Tak pernah terlintas di hati Haikal untuk lepaskan Ila. Dia isteri Haikal, mama. Tolonglah faham keadaan Haikal sekarang”, pinta Haikal berharap Datin Sofea memahami keadaaannya sekarang.

Baru saja Datin Sofea mahu membuka mulut, kedengaran...


“Mama, jom makan”, sapa Aqilah yang muncul tiba-tiba.


Haikal di hujung talian dapat mendengar jelas suara isterinya. Air matanya menitis. Hatinya sakit. Dia bertambah tergamam apabila yang bercakap kini adalah Aqilah.


“Assalammualaikum. Abang sihat?”


Haikal diam. Lidahnya kelu untuk menjawab.


“Abang, janganlah diam. Cakaplah sesuatu” Aqilah resah.


Keadaan tetap sama. Haikal tetap tidak bercakap. Dia benci Aqilah. Dalam masa yang sama, dia rindukan Aqilah.


“Abang, jangan buat Ila macam ni. Kalau Ila salah, Ila minta maaf....”


Tut, tut, tut...


“Abang, abang...”, panggil Aqilah bagaikan orang sasau. Dia menghentak telefon pada tapak tangan.


Datin Sofea diterpa rasa bimbang. Perlakuan Aqilah amat memeranjatkannya. Terus dicapai telefon dari pegangan Aqilah. “Jangan macam ni Ila...”


“Ma, Abang Haikal...Dia...Ke..kenapa..” Dia terus menangis di bahu Datin Sofea. “Abang Haikal tak sayang Ila mama. Dia letak telefon macam tu saja. Ma, Ila nak telefon dia”, rintih Aqilah berusaha mencapai telefon di tangan Datin Sofea.


“Jangan macam ni Ila...”


“Ma, Abang Haikal mesti tunggu Ila call. Please mama...”, rayu Aqilah sudah terjelopok. Kaki Datin Sofea dipaut. Dia bagaikan anak kecil yang sedang menangis.


“Ila, dengar cakap mama. Jangan macam ni...” Datin Sofea turut terduduk.


“Bagi pada Ila, mama. Ila nak call Abang Haikal...”, rayu Aqilah penuh simpati. Air matanya bagaikan hujan yang turun lebat.
“Nur Aqilah!!”, jerkah satu suara suara garau.


Aqilah tersentak. Begitu juga dengan Datin Sofea. Apabila Datuk Johar mula menggunakan suara yang tinggi, tiada siapa lagi yang berani bercakap. Walaupun sepatah.


“Kenapa anak papa jadi macam ni?”, tegur Datuk Johar dengan tangan mencekak pada pinggang.


Aqilah bangun dengan lemah. Lambat-lambat dia mendapatkan Datuk Johar. Di dada tua itu dia menangis semahu-mahunya. “Ila sayang dia, papa. Tolong Ila papa”, rintih Aqilah dengan tangisan yang tiada mahu hentinya.


“Sabar sayang. Ila kena kuat. Haikal perlukan masa”, celah Datin Sofea cuba memujuk anak tunggalnya.


Dagu Aqilah dijungkitkan oleh Datuk Johar. “Ila, dengar cakap papa”


Aqilah mengangguk sambil teresak-esak.

“Rumahtangga mana yang tak pernah ada masalah, Ila. Ni ujian yang DIA turunkan pada Ila. Yakin pada diri. Doa dan usaha. Insyaallah DIA akan tolong”

Aqilah tertunduk. Bahunya terhinjut-hinjut menahan esakan. Ya, dia lupa. Dia lupa pada Allah S.W.T yang sentiasa ada bersama-sama dengannya. Dia malu. Selama ini, dia selalu memberi kata-kata semangat kepada Suzana. Sedangkan dia? Dirinya sendiri tidak sekuat mana.

“Ila fahamkan apa papa cakap?”, soal Datuk Johar lalu menyeka air mata yang membasahi wajah Aqilah.

Aqilah mengangguk tanda mengerti. Ila sayang abang...Rintih hati kecilnya bersama-sama rindu yang sentiasa mekar untuk lelaki yang bernama Haikal!
 

3 comments:

  1. mana sambungan? x saba tnggu. akan keluarkan novel x?

    ReplyDelete
  2. cerita makin menarik..tazzabar..hehehe

    ReplyDelete

Komen Anda Amatlah Saya Hargai. Salam Sayang Dari Saya, NIERASHIDA :)